Beza Freehold dan Leasehold: Apa yang Anda Perlu Tahu?

Kali terakhir diperbaharui Nov 17, 2023 oleh Shafiq Wahab
Beza Freehold dan Leasehold: Apa yang Anda Perlu Tahu?

Sekiranya anda sedang berkira-kira untuk beli rumah pertama anda, antara perkara pertama yang perlu dilakukan atau diberi perhatian oleh anda ialah mengambil kira kategori hartanah tersebut sama ada freehold (pegangan bebas) atau leasehold (pegangan pajakan). Apakah yang dimaksudkan dengan hartanah freehold dan leasehold? Apakah beza freehold dan leasehold? Artikel ini akan membantu anda memahami dengan lebih lanjut perbezaan antara leasehold dan freehold serta perkara-perkara lain berkaitan kedua-dua jenis hartanah ini bagi membantu anda membuat pilihan dalam mendapatkan hartanah terbaik untuk anda.

Salah Faham yang Biasa Berlaku Berkaitan Freehold dan Leasehold

Secara asasnya, ramai dalam kalangan pembeli rumah masih keliru dan kurang arif tentang hartanah leasehold dan freehold ini. Berikut merupakan antara salah faham yang biasa berlaku dalam kalangan pembeli berkaitan leasehold dan freehold untuk rujukan dan panduan anda:

1. Perlu Pindah Setelah Tamat Tempoh Pajakan

Salah satu perbezaan ketara antara hartanah freehold dan leasehold ialah tempoh pajakan – tempoh pajakan untuk hartanah leasehold ialah selama 99 tahun manakala tempoh pegangan untuk hartanah freehold ialah selama-lamanya (pegangan kekal). Oleh sebab itu, ramai dalam kalangan pemilik hartanah leasehold berpendapat rumah atau kediaman mereka akan diambil alih oleh kerajaan selepas tamat tempoh pajakan.

Kebiasaannya, pihak kerajaan tidak akan mengambil semula hartanah tersebut dan pemilik boleh memohon untuk lanjutkan tempoh pajakan di Pejabat Tanah negeri masing-masing dan ia tertakluk pada kadar premium tertentu. Setiap negeri menetapkan cara pengiraan bayaran premium yang berbeza.

Meskipun begitu, tidak kira sama ada tanah anda berstatus freehold atau leasehold, kerajaan boleh gunakan kuasa untuk mengambil alih hartanah anda berdasarkan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan anda biasanya akan menerima pampasan untuk hartanah tersebut. Biasanya, kerajaan mengambil keputusan untuk mengambil alih alih satu-satu kawasan bagi tujuan kepentingan awam seperti pembinaan lebuh raya dan sebagainya,

2. Rumah Leasehold Sukar Dijual atau Dipindah Milik

Secara asasnya, hartanah berstatus leasehold yang ingin dijual perlu mendapat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Negeri. Ini berbeza dengan hartanah berstatus freehold yang lebih bebas dan tidak tertakluk pada kebenaran Pihak Berkuasa Negeri. Namun begitu, ada sesetengah kes hartanah berstatus freehold perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu sebelum jual hartanah disebabkan oleh faktor-faktor tertentu seperti sekatan kepentingan.

3. Tempoh Pajakan 99 Tahun

Tarikh tamat tempoh pajakan secara teknikalnya bukan dikira bermula apabila anda beli rumah atau hartanah tersebut. Namun begitu, ia biasanya dikira berdasarkan maklumat yang biasanya dinyatakan pada muka surat hadapan surat hak milikan. Sebagai contoh, jika anda beli rumah pada tahun 2000, ia bukan bermaksud tempoh pajakan akan tamat pada tahun 2099. Tetapi, anda perlu rujuk muka surat hadapan surat hak milikan untuk mengetahui atau mendapatkan tarikh tamat tempoh pajakan yang betul.

Tarikh tamat tempoh pajakan sangat penting kerana ia boleh menjadi faktor penentu dalam hal-hal berkaitan kelulusan loan rumah anda. Ini kerana, bank akan mengambil kira baki pajakan yang tinggal dan permohonan pinjaman berkemungkinan ditolak jika baki pajakan kurang daripada 40 tahun.

Beza Freehold dan Leasehold yang Anda Perlu Tahu

Freehold dan leasehold seperti dinyatakan di atas merujuk pada status pegangan hartanah oleh pemilik. Bagi pemilik hartanah yang menerima hartanah untuk tempoh tertentu, mereka biasanya akan menerima geran dalam bentuk hak milik pajakan atau leasehold. Pemilik yang menerima hartanah tanpa had tempoh atau untuk selama-lamanya pula akan menerima geran dalam bentuk hak milik kekal atau freehold. Meskipun begitu, ia tertakluk kepada cukai-cukai dan kadar bayaran tertentu  – hartanah berstatus freehold perlu membayar cukai tanah, manakala hartanah berstatus leasehold perlu membayar cukai tanah dan bayaran premium pajakan.

Kriteria Hartanah Freehold (Pegangan Bebas) Leasehold (Pegangan Pajakan)
Hak Milik
  • Anda mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas aset untuk tempoh tidak terhad (melainkan hartanah dimiliki menghalang pembangunan awam).
  • Hartanah perlu dikembalikan kepada kerajaan negeri sebaik sahaja tempoh pajakan tamat (melainkan tempoh pajakan dilanjutkan).
Pemilikan Tanah
  • Tanah lokasi hartanah dibina merupakan hak milik pemilik.
  • Pemilik hartanah hanya memiliki kediaman tidak termasuk tanah.
Penggunaan Tanah
  • Bebas untuk melakukan kerja-kerja pembangunan tertakluk pada kawalan perancangan bandar dan alam sekitar.
  • Sebarang tujuan atau aktiviti di atas tanah adalah terhad bergantung pada perundangan tanah, kawalan perancangan bandar dan alam sekitar.
Pengagihan Tanah
  • Boleh dibahagikan atau diagihkan tertakluk pada kawalan perancangan bandar.
  • Memerlukan kelulusan kerajaan negeri atau setaraf dengannya.
Pemindahan Hartanah
  • Proses tukar hak milik biasanya lebih cepat dan mudah, dan biasanya mengambil masa kurang daripada enam bulan untuk melengkapkan proses.
  • Tukar hak milikan memerlukan kelulusan daripada kerajaan negeri atau setaraf dengannya dan biasanya mengambil masa antara enam bulan hingga hampir setahun.
Kos Pemilikan
  • Biasanya lebih mahal.
  • Kos pembelian biasanya 20 peratus lebih rendah berbanding hartanah freehold yang setara.
Nilai Hartanah
  • Kenaikan nilai hartanah yang lebih besar dalam jangka masa panjang.
  • Kenaikan nilai hartanah yang tinggi dalam tempoh 20 hingga 30 tahun pertama tetapi semakin susut nilai apabila tempoh pajakan hampir tamat.
Sewa
  • Kadar sewa yang lebih rendah kerana kos penyertaan yang tinggi.
  • Kadar sewa yang lebih tinggi boleh diterima kerana kos pembelian yang rendah dan lebih banyak kemudahan, insentif tambahan lain yang ditawarkan.
Margin Pembiayaan
  • Lebih mudah untuk mendapatkan pembiayaan daripada bank dengan margin maksimum 90 peratus.
  • Sukar untuk mendapatkan pembiayaan atau menerima margin pembiayaan yang lebih rendah jika tempoh pajakan kurang daripada 40 tahun.
Kemudahan Tambahan
  • Tiada melainkan dibina sendiri oleh pemilik.
  • Hartanah leasehold biasanya mempunyai kemudahan tambahan seperti gimnasium, taman permainan, dewan, pengawal keselamatan dan sebagainya.

beza freehold dan leasehold

Freehold dan Leasehold Malaysia: Beli Rumah Mana yang Lebih Berbaloi? Rumah Mana Patut Anda Pilih?

Pilihan sama ada untuk melabur dalam hartanah freehold atau leasehold bukanlah isu utama yang perlu dirisaukan. Secara asasnya, anda boleh melabur dalam mana-mana hartanah mengikut bajet dan kemampuan anda. Namun begitu, banyak perkara yang perlu diambil kira sebelum membuat keputusan untuk membeli mana-mana aset dan tidak terhad kepada harga rumah dan status hak milik hartanah semata-mata. Hartanah freehold misalnya amat terhad lebih-lebih lagi jika anda tinggal di kawasan sekitar Lembah Klang seperti Kuala Lumpur atau Selangor. Sekiranya anda ingin membeli hartanah leasehold di Kuala Lumpur, anda perlu pastikan:

  1. Baki tempoh pajakan melebihi 40 tahun. Sekiranya baki pajakan kurang daripada 40 tahun, pastikan tempoh pajakan ini boleh diperbaharui;
  2. Mempunyai akses jalan raya dan pengangkutan awam yang baik;
  3. Beli rumah berhampiran dengan kemudahan awam seperti sekolah, hospital, pasar raya dan lain-lain;
  4. Hartanah berada di bawah harga pasaran;
  5. Mempunyai permintaan sewa yang tinggi.

Secara teori di atas kertas, milikan rumah freehold atau pegangan bebas dikatakan lebih baik berbanding milikan rumah leasehold atau pegangan pajak. Meskipun begitu, anda disarankan untuk menilai kelebihan dan keburukan status hak milik hartanah pilihan terlebih dahulu sebelum memilih mana-mana hak milik hartanah yang paling sesuai untuk anda. Ambil kira lokasi, kemudahan, akses dan keselesaan yang menepati kehendak dan keperluan anda.

Berapa Kadar Premium Perlu Dibayar bagi Hartanah di Kuala Lumpur dan Selangor?

Untuk hartanah di Kuala Lumpur, jumlah premium yang perlu dibayar adalah berdasarkan formula berikut:

1/4 X 1/99 X (Tempoh Pajakan – Baki Tahun Pajakan) X Luas Tanah (sqft) X Harga Pasaran Hartanah dalam Kaki Persegi (RM/sqft)

Sebagai contoh, Aiman memiliki sebuah kondominium berkeluasan 1,300 sqft dengan tempoh pajakan berbaki 30 tahun. Harga pasaran semasa kondominium yang dimiliki dalam kaki persegi ialah RM400/sqft. Berikut cara pengiraan jumlah premium yang perlu dibayar oleh Aiman:

1/4 X 1/99 X (99 – 30) X 1,300 sqft X RM400/sqft) = RM90,606

Bagi hartanah Selangor pula, pemilik biasanya ditawarkan dengan dua pilihan. Pilihan pertama, anda hanya perlu membayar RM1,000 sahaja untuk perbaharui pemilikan hartanah leasehold selama 99 tahun. Namun begitu, kerajaan negeri akan meletakkan kaveat yang menghalang anda daripada jual hartanah tersebut. Bagi pilihan kedua pula, anda boleh membayar kadar premium seperti biasa berdasarkan formula yang sama seperti dinyatakan di atas. Cara ini tidak akan menyebabkan masalah sekiranya anda ingin jual rumah anda.

Rumusan Leasehold dan Freehold

Secara ringkasnya, anda boleh merujuk senarai berikut untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai beza freehold dan leasehold. Dengan mengetahui perbezaan leasehold dan freehold ini, ia secara tidak langsung dapat membantu anda memilih jenis rumah yang sesuai untuk anda:

        1. Penukaran hak milik hartanah leasehold mengambil masa yang lama berbanding hartanah freehold;
        2. Proses tukar hak milik hartanah freehold lebih mudah dan lebih cepat (kurang daripada 90 hari) kerana tidak memerlukan kebenaran daripada kerajaan negeri;
        3. Hartanah freehold berstatus bumiputera boleh dijual kepada pembeli bukan bumiputera. Namun begitu, ia bergantung kepada situasi tertentu kerana ada sesetengah hartanah freehold mempunyai sekatan kepentingan yang boleh mengganggu proses tukar hak milik;
        4. Kelulusan pinjaman perumahan daripada bank untuk hartanah leasehold dengan tempoh pajakan bawah 40 tahun biasanya sukar untuk diluluskan;
        5. Harga hartanah leasehold lebih rendah dan mampu milik berbanding hartanah freehold.

Selain itu, sekiranya anda sedang mempertimbangkan insurans rumah terbaik dan komprehensif untuk anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans di Malaysia yang menyediakan pelbagai jenis insurans rumah dengan jaminan proses beli insurans yang selamat, berpatutan dan mudah.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60