5 Langkah Buka Akaun Bersama (Joint Account)

Kali terakhir diperbaharui Mar 6, 2023 oleh Shafiq Wahab
5 Langkah Buka Akaun Bersama (Joint Account)

Bila sudah masuk alam perkahwinan, banyak tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai suami dan isteri terutama sekali bab-bab berkaitan kewangan. Disebabkan ini, ada pasangan yang mempertimbangkan untuk buka akaun bersama atau joint account bersama pasangan di untuk berkongsi tanggungjawab membayar komitmen rumah tangga. Artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut lagi mengenai cara akaun bersama atau joint account ini boleh membantu anda.

Apa Maksud Akaun Bersama, Kelebihan Buka Akaun Bersama?

Secara umumnya, joint account merupakan satu bentuk akaun simpanan yang boleh dibuka oleh sesiapa sahaja dan boleh dikongsi dengani dua sehingga empat individu. Ini bermakna individu yang tersenarai dalam akaun bersama boleh mendapat akses untuk mengeluarkan duit simpanan di dalam akaun tersebut pada bila-bila masa tanpa meminta kebenaran daripada pihak yang berkongsi akaun yang sama.

Joint account kebiasaannya digunakan oleh pasangan suami isteri yang mahu menguruskan perbelanjaan rumah tangga bersama-sama. Ada juga situasi akaun bank bersama dibuka antara ibu bapa dan anak, adik-beradik, rakan bisnes dan sebagainya. Anda disarankan untuk buka akaun ini dengan individu yang anda paling boleh percaya. 

Jika akaun bersama digunakan dengan betul, ia boleh membantu anda merancang dan berbelanja dengan lebih berkesan. Berikut merupakan empat kelebihan membuka akaun bersama dengan pasangan anda:

1. Berkongsi Komitmen Bulanan

Ini merupakan antara sebab utama ramai pasangan buka akaun bersama. Anda dan pasangan boleh menggabungkan gaji bulanan masing-masing untuk menguruskan perbelanjaan bagi membayar komitmen bulanan rumah tangga seperti sewa rumah, premium insurans, loan kereta dan sebagainya. Ia sekali gus membolehkan anda dan pasangan menguruskan perbelanjaan dengan lebih baik.

2. Peluang Lebih Tinggi untuk Dapat Jumlah Loan Lebih Banyak

Sekiranya anda terfikir untuk membuat sebarang pinjaman seperti loan rumah, akaun bersama boleh meningkatkan peluang untuk permohonan pinjaman anda lulus. Contohnya, gaji anda sahaja mungkin tidak cukup untuk bank luluskan permohonan pinjaman jika anda mahu beli rumah. Namun begitu, jika gaji anda dengan pasangan digabungkan melalui akaun bersama, peluang untuk bank meluluskan permohonan pinjaman anda adalah lebih tinggi.

3. Sesuai untuk Waktu Kecemasan

Seperti yang dinyatakan di atas, kedua-dua pemegang akaun bersama mempunyai akses yang sama dan boleh mengeluarkan duit pada bila-bila masa. Sebagai contoh, pasangan anda terlibat dalam situasi kecemasan seperti kemalangan kereta atau menghidap penyakit kritikal yang menyebabkan mereka tidak dapat menguruskan kewangan seperti biasa. Anda sebagai pemegang akaun bersama boleh mengakses akaun tersebut dan mengeluarkan jumlah wang simpanan yang diperlukan untuk tujuan-tujuan tertentu.

Tidak dinafikan yang anda juga boleh melakukan perkara yang sama dengan akaun simpanan biasa dengan berkongsi nombor pin dan kata laluan perbankan online pasangan anda. Namun begitu, joint account boleh dikatakan sebagai alternatif yang lebih mudah dan lebih selamat kerana akaun tersebut adalah milik anda juga.

4. Memahami Keadaan Kewangan

Akaun bersama membolehkan anda dan pasangan anda memahami tabiat perbelanjaan masing-masing. Ia memberi anda peluang untuk menjadi proaktif dan membuat perubahan lebih awal sebelum sesuatu perkara yang tidak diingini terjadi. Dengan kata lain, wang akan dapat diuruskan dengan lebih baik apabila anda dan pasangan mengetahui situasi kewangan masing-masing.

syarat buka akaun bersama

Cara Buka Akaun Bersama

Secara asasnya, pembukaan akaun simpanan bersama atau joint account adalah sama seperti akaun simpanan biasa. Anda dan pasangan perlu melakukannya secara fizikal dengan pergi ke cawangan bank berhampiran dengan anda. Antara bank-bank yang menawarkan pembukaan joint account adalah Bank Islam, Maybank dan CIMB. Berikut merupakan langkah membuka akaun bersama:

  1. Sediakan kad pengenalan anda dan pasangan beserta dokumen sokongan seperti bukti kediaman, surat arahan pembukaan akaun daripada pihak KWSP dan sebagainya;
  2. Pergi ke cawangan bank pilihan anda;
  3. Jumpa dengan pegawai bank di kaunter;
  4. Anda perlu masukkan sejumlah wang yang telah ditetapkan oleh pihak bank sebagai duit deposit pendahuluan bagi pembukaan akaun;
  5. Pembukaan akaun selesai.

Anda perlu rujuk dengan pegawai cawangan di bank kerana proses pembukaan akaun akan diuruskan oleh pegawai cawangan. Perlu diingatkan yang setiap bank mungkin mempunyai prosedur yang berbeza-beza. Disebabkan itu, anda disarankan untuk semak dengan pihak bank pilihan anda terlebih dahulu.

Peka Juga dengan Risiko yang Mungkin Dihadapi dengan Akaun Bersama

Walaupun akaun bersama mempunyai kelebihannya yang tersendiri, terdapat juga risiko-risiko penting yang anda wajib tahu. Berikut merupakan perkara-perkara yang anda perlu pertimbangkan sebelum membuat keputusan untuk membuka joint account:

1. Kurang Privasi

Berkongsi akaun bermakna anda turut berkongsi segala maklumat berkenaan dengan aktiviti kewangan anda bersama pasangan. Ini mungkin bermakna yang anda perlu menjelaskan setiap pembelian yang anda lakukan sekiranya pasangan anda ingin tahu. Jika anda seseorang yang mahukan dan menghargai privasi, anda mungkin perlu berfikir panjang sebelum buka akaun bersama.

2. Perbelanjaan yang Tidak Terkawal

Terdapat kemungkinan yang pasangan anda melakukan perbelanjaan yang tidak terkawal dan akhirnya boleh menjejaskan perancangan bajet akaun bersama anda. Disebabkan itu, anda dinasihatkan untuk mencari jalan penyelesaian dari awal sekiranya anda merasakan perkara sebegini boleh berlaku. Contohnya, anda mungkin boleh sarankan joint account ini hanya boleh digunakan untuk perbelanjaan rumah sahaja. Bagi tujuan membeli-belah atau simpanan jangka panjang pula, kekalkan akaun simpanan berasingan.

3. Isu Akses dan Sekuriti

Akaun bersama memberikan kedua-dua pemilik akaun akses yang sama untuk mengeluarkan wang daripada akaun. Disebabkan ini, keselamatan boleh menjadi satu kebimbangan akibat kecuaian daripada pasangan anda. Sebagai contoh, pasangan anda hilang kad bank atau menjadi mangsa scammer perbankan online. Perkara-perkara sebegini adalah di luar kawalan anda tetapi anda boleh selalu ingatkan pasangan anda supaya sentiasa berhati-hati.

4. Pembekuan Akaun

Joint Account boleh dibekukan atas beberapa sebab seperti kematian salah seorang atau kedua-dua pemegang akaun, berlaku perceraian di antara pemegang akaun atau pemegang akaun bankrap. Apabila akaun dibekukan, tiada sesiapa dibenarkan membuat sebarang pengeluaran sehingga isu itu diselesaikan.

Semak sama ada akaun anda mempunyai klausa survivor yang membolehkan pemegang akaun yang masih hidup mengeluarkan wang sekiranya berlaku kematian terhadap pemegang akaun yang lain. Anda dan pasangan juga boleh menulis surat wasiat komprehensif yang merangkumi pengagihan khusus wang dalam akaun bersama terutama sekali jika akaun bersama anda tidak mempunyai klausa survivor.

maybank joint account

Tentukan kegunaan khusus akaun ini bersama pasangan anda sebelum membuka joint account. Contohnya, akaun ini khas hanya untuk perbelanjaan rumah dan utiliti bulanan. Sekiranya anda membuat keputusan untuk meneruskan dan membuka akaun bersama, cari akaun simpanan yang menawarkan kemudahan, perkhidmatan dan tawaran terbaik. Dengan cara ini anda boleh memanfaatkan sepenuhnya akaun bersama atau joint account ini.

Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans kereta terbaik dengan perlindungan menyeluruh termasuk perlindungan insurans banjir, layari laman web Qoala, platform insurans terbaik di Malaysia untuk info lanjut.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60