Pengeluaran KWSP Akaun 2: Syarat Pengeluaran, Cara Keluarkan Duit KWSP

Kali terakhir diperbaharui Feb 2, 2024 oleh Shafiq Wahab
Pengeluaran KWSP Akaun 2: Syarat Pengeluaran, Cara Keluarkan Duit KWSP

Ramai dalam kalangan pembeli rumah pertama yang tidak tahu bahawa anda boleh membuat pengeluaran KWSP Akaun 2 untuk beli rumah sebelum usia 50 atau 55 tahun. Beli rumah sendiri sememangnya menjadi idaman semua orang. Namun apabila memikirkan kos beli rumah yang tinggi seperti kos pengurusan, bayaran downpayment rumah, renovate rumah dan sebagainya, kebanyakan orang berfikir banyak kali sebelum membuat keputusan.

5 Perkara Anda Perlu Tahu Sebelum Buat Pengeluaran KWSP Akaun 2 untuk Beli Rumah

Harga rumah yang kian meningkat dari tahun ke tahun menyebabkan ramai pembeli mengambil keputusan untuk keluarkan wang simpanan KWSP bagi menampung sebahagian kos pembiayaan rumah.

Secara asasnya, kebenaran pengeluaran KWSP Akaun 2 membolehkan ahli membiayai pembelian rumah pertama. Ia bagi membolehkan ahli memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah untuk berlindung apabila menghadapi usia persaraan nanti.

Artikel ini akan membincangkan tentang kelayakan permohonan, syarat pengeluaran KWSP Akaun 2, amaun yang layak untuk dikeluarkan serta perkara-perkara lain berkaitan pengeluaran KWSP untuk rumah.

1. Kelayakan Permohonan Pengeluaran Akaun 2 untuk Beli Rumah

KWSP membenarkan pengeluaran Akaun 2 bagi tujuan pembelian rumah. Sekiranya anda ingin beli rumah baharu dan ingin lakukan pengeluaran Akaun 2, berikut merupakan syarat kelayakan yang ditetapkan oleh pihak KWSP untuk tujuan ini:

  1. Ahli KWSP bertaraf Warganegara Malaysia ATAU Bukan Warganegara;
  2. Ahli belum mencapai umur 55 tahun pada tarikh permohonan;
  3. Ahli masih mempunyai baki simpanan dalam Akaun 2 (minimum RM500).

2. Syarat Pengeluaran KWSP Akaun 2

Berikut merupakan syarat keluarkan KWSP yang ditetapkan bagi membolehkan ahli membuat pengeluaran untuk beli rumah:

  1. Ahli bina atau beli rumah kediaman (jenis banglo, teres, berkembar, apartment, kondominium, studio apartment, service apartment, townhouse atau SOHO, atau rumah kedai dengan unit kediaman);
  2. Surat Perjanjian Jual Beli adalah tidak melebihi tiga tahun pada tarikh permohonan diterima oleh KWSP;
  3. Tidak pernah membuat Pengeluaran Perumahan; ATAU telah membuat pengeluaran untuk beli rumah pertama dan telah menjualnya atau melupuskan pemilikan dan kemudian membeli rumah kedua;
  4. Ahli ingin membeli rumah yang telah diperoleh secara sewa beli daripada pihak yang dibenarkan oleh KWSP;
  5. Ahli membeli tanah dan membina rumah di atasnya serentak secara pakej (tarikh perjanjian beli tanah dengan tarikh perjanjian bina rumah hendaklah dalam tempoh 6 bulan);
  6. Ahli mengambil pinjaman perumahan daripada institusi yang dibenarkan bagi tujuan bina atau beli rumah dengan mana-mana institusi kewangan seperti berikut:
  • Institusi kewangan yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013;
  • Kerajaan Pusat / Negeri atau lain-lain agensi kewangan kerajaan;
  • Majikan ahli;
  • Koperasi / syarikat kerjasama yang berlesen (diluluskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia);
  • Syarikat Insurans berlesen yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia;
  • Pemberi pinjaman yang dibenarkan oleh KWSP; ATAU
  • Secara tunai.

Secara asasnya, ahli tidak layak memohon atau tidak melepasi syarat pengeluaran Akaun 2 KWSP sekiranya:

  1. Membeli tanah atau lot tapak rumah sahaja;
  2. Mengubahsuai, membaiki atau membuat kerja-kerja tambahan kepada rumah yang sedia ada;
  3. Pemilikan harta tidak melalui transaksi jual beli;
  4. Mengambil pinjaman berbentuk Overdraf;
  5. Membeli rumah ketiga;
  6. Membeli rumah di luar negara.

3. Jumlah Simpanan daripada Akaun 2 yang Layak Dikeluarkan

Anda mungkin tertanya-tanya sama ada anda layak untuk mengeluarkan semua atau sebahagian daripada amaun simpanan KWSP anda? Jadual di bawah mungkin boleh membantu anda mengetahui amaun Akaun 2 yang layak dikeluarkan untuk proses pembelian rumah.

Pembelian Rumah Individu
  • Perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10 peratus daripada harga rumah – (Harga SPA – Amaun Pinjaman) + (10% daripada Harga SPA); ATAU
  • Semua simpanan Akaun 2.
Pembelian Bersama Ahli Keluarga atau Individu Lain
  • Perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman perumahan dan tambahan 10 peratus daripada harga rumah – (Harga SPA – Amaun Pinjaman) + (10% daripada Harga SPA); ATAU
  • Semua simpanan Akaun 2 pembeli berkaitan, tertakluk kepada amaun maksimum yang layak dikeluarkan.
Pinjaman Perumahan 100 Peratus
  • 10 peratus daripada harga rumah; ATAU
  • Semua simpanan Akaun 2.
Pembelian  Rumah Secara Tunai/Tanpa Pinjaman
  • Harga rumah dengan tambahan 10 peratus daripada harga rumah; ATAU
  • Semua simpanan Akaun 2

4. Cara Keluarkan Duit KWSP Akaun 2 untuk Rumah di Kaunter KWSP

Untuk permohonan pengeluaran KWSP Akaun 2, ahli perlu hadir ke pejabat KWSP berhampiran bagi urusan pengecaman cap jari dan tujuan pengesahan permohonan KWSP pengeluaran rumah ini dibuat oleh pemilik akaun sendiri.

Dokumen Pengeluaran KWSP untuk Rumah

Bagi memudahkan urusan pengeluaran, anda perlu menyediakan dokumen yang diperlukan untuk pengeluaran KWSP Akaun 2. Meskipun begitu, pihak KWSP juga berhak meminta ahli mengemukakan apa-apa dokumen tambahan untuk pengeluaran KWSP dan menolak permohonan yang tidak lengkap dan tidak memenuhi syarat pengeluaran KWSP untuk rumah yang ditetapkan:

      1. Borang Pengeluaran KWSP Akaun 2 untuk rumah atau Borang Pengeluaran KWSP 9C (AHL) (D5);
      2. Salinan dokumen pengenalan diri (jika bukan pemegang Mykad);
      3. Maklumat Akaun Bank (Ahli digalakkan membawa buku akaun bank atau salinan akaun semasa membuat permohonan);
      4. Surat Perjanjian Jual Beli Rumah;
      5. Borang KWSP 3 (pindaan) – jika pengecaman cap ibu jari gagal di kaunter/permohonan melalui pos;
      6. Bukti Hubungan (sekiranya melibatkan pembelian bersama dengan pasangan, ahli keluarga, ibu bapa atau adik-beradik).

Pengeluaran akaun 2 KWSP

5. Cara Pengeluaran KWSP Akaun 2 Online melalui i-Akaun

Selain itu, selari dengan era digitalisasi, urusan pengeluaran duit KWSP juga boleh dilakukan secara online melalui i-Akaun KWSP. Jika anda belum berdaftar, anda boleh ikuti cara keluar duit KWSP seperti berikut:

Cara Daftar i-Akaun KWSP

Berikut panduan pendaftaran i-Akaun KWSP untuk panduan anda:

      1. Daftar i-Akaun di mana-mana kiosk atau kaunter KWSP yang berdekatan – anda akan menerima ID pengguna dan kata laluan sementara;
      2. Kemudian, layari laman web KWSP dalam tempoh 30 hari daripada tarikh anda menerima ID pengguna dan kata laluan sementara;
      3. Klik butang Log Masuk di bahagian atas kanan, dan pilih Ahli.
      4. Masukkan ID pengguna sementara yang diterima, kemudian tekan butang Teruskan;
      5. Masukkan kata laluan yang diterima semasa pendaftaran dan tekan butang Log Masuk;
      6. Terma & Syarat akan dipaparkan, pilih Setuju dan kemudian tekan Teruskan;
      7. Anda akan dibawa ke halaman Pengaktifan i-Akaun. Anda perlu menukar kata laluan sendiri dan pilih gambar dan ungkapan rahsia bagi tujuan keselamatan.
      8. Selesai.

Cara Keluarkan Duit KWSP Akaun 2 Online

Setelah selesai pendaftaran, ahli boleh ikuti langkah ini untuk keluarkan duit KWSP bagi tujuan pembelian rumah:

      1. Log Masuk, kemudian pergi ke halaman Withdrawal/Pengeluaran;
      2. Tekan butang New Application atau Permohonan Baharu untuk memulakan proses permohonan.
      3. Tempoh pengeluaran KWSP Akaun 2: Bayaran akan dikeluarkan dan dibayar kepada pemohon dalam tempoh 15 hari selepas permohonan dibuat dengan syarat dokumen yang lengkap dikemukakan.
      4. Semakan permohonan boleh dibuat dengan melihat kepada transaksi dalam i-Akaun KWSP ahli.

Semoga perkongsian ini boleh membantu anda sekiranya anda ingin lakukan pengeluaran simpanan daripada Akaun 2 KWSP untuk beli rumah baharu anda tidak kira sama ada beli rumah subsale atau beli rumah baharu. Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans rumah terbaik dan komprehensif untuk anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans di Malaysia yang menyediakan pelbagai jenis insurans dengan jaminan proses beli insurans yang selamat, berpatutan dan mudah.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60