Qoala Menjana Sejumlah US$ 65 Juta melalui Terbitan Siri B

Kali terakhir diperbaharui Nov 15, 2022 oleh Ramen Hasniran
Qoala Menjana Sejumlah US$ 65 Juta melalui Terbitan Siri B

JAKARTA, Indonesia, 12 Mei 2022 — Qoala, syarikat insurtech permulaan dari Indonesia, telah berjaya menjana pembiayaan Siri B berjumlah US$ 65 juta. Syarikat ini menawarkan produk insurans yang mensasarkan untuk memenuhi keperluan pengguna seperti insurans kereta, motorsikal, hartanah dan kesihatan melalui platform omnichannel yang telah diperkembangkan dari Indonesia ke Thailand dan Malaysia pada tahun 2021. Qoala menjadikan insurans mudah diakses, mudah difahami, dan lebih mesra dalam membantu pelanggan membuat tuntutan.

Menyaksikan pertumbuhan sebanyak 30 kali ganda dalam pusingan Siri A pada bulan April 2020, Qoala muncul sebagai insurtech yang paling pesat berkembang di rantau ini. Qoala memiliki seramai lebih 50,000 jurujual insurans dan menyediakan platform yang disokong oleh lebih 50 syarikat insurans bagi membolehkan jurujual untuk menjual insurans daripada syarikat insurans yang berbilang sambil menguruskan perkhidmatan pra-jualan dan pasca-jualan mereka.  Tambahan pula, syarikat juga turut membekalkan beberapa produk mikro-insurans inovatif melalui usahasama yang dijalin antara lainnya dengan Traveloka, Redbus, DANA, JD.ID, Shopee, Kredivoa dan Investree.

Terbitan pembiayaan Siri B ini diterajui oleh Eurazeo, firma pelaburan dari Eropah yang sebelum ini telah membiayai syarikat insurtech terbesar di dunia – WeFox.  Ia merupakan julung kali di mana cabang pemodal teroka dari tiga institusi kewangan terbesar di Indonesia iaitu Bank Central Asia, Bank Rakyat Indonesia, dan Bank Mandiri telah bersama-sama melabur dalam satu syarikat, berasaskan kepada keyakinan kukuh mereka terhadap model perniagaan dan pasukan yang terlibat.

Pelaburan Siri B Qoala, Harshet Lunani dan Tommy Martin
Kiri ke kanan: Harshet Lunani (Pengasas dan CEO Qoala), Tommy Martin (Pengasas dan COO Qoala)

Mencatatkan Pertumbuhan Perniagaan Sebanyak 30X Semenjak Terbitan Siri A

  • Menjana US$ 65 Juta melalui pembiayaan Siri B yang diterajui oleh Eurazeo bersama-sama dengan penyertaan dari sebahagian pelabur sedia ada termasuk Flourish Ventures, KB Investment, MassMutual Ventures, MDI Ventures, SeedPlus dan Sequoia Capital India.  Selain itu, BRI Ventures, Daiwa PI Partners, Indogen Capital, Mandiri Capital Indonesia dan Salt Ventures turut menyertai pusingan pelaburan pada kali ini sebagai pelabur baru.
  • Memacu kedudukan Qoala selaku syarikat insurtech yang pertama dan paling pesat berkembang di Asia Tenggara dengan pemilikan lesen dan kehadiran di Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Pembiayaan ini mempamerkan akan keyakinan dan penghargaan dari kedua-dua pelabur baru dan sedia ada Qoala untuk terus memacu pertumbuhan sektor insurtech. “Kami akan terus melabur untuk memperkembangkan jangkauan Qoala dalam pasaran teras kami, dan akan memberi tumpuan untuk mempertingkatkan pengalaman positif bagi produk dan teknologi kami dengan matlamat untuk mengurangkan pelbagai jenis halangan dan kesukaran dalam proses mendapatkan insurans yang masih membelenggu kita pada hari ini,” jelas Harshet Lunani, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Qoala. Beliau turut mengulas bahawa Malaysia merupakan antara 10 pasaran teratas yang paling pesat berkembang bagi produk insurans dalam tempoh sedekad yang akan datang.

“Qoala merupakan satu-satunya insurtech yang memiliki lesen dalam tiga pasaran di Asia Tenggara dan melalui pusingan terbitan pembiayaan yang baru ini, kami optimistik dalam mengekalkan momentum pertumbuhan kami. Perniagaan kami di Thailand telah berkembang sebanyak 3x semenjak kami bergabung tenaga dengan FairDee pada Februari 2021, sekali gus memperkukuhkan lagi keyakinan terhadap keupayaan kami untuk terus berkembang.” ujar Tommy Martin, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi Qoala selanjutnya.

“Qoala menyerlah di kalangan insurtech kerana kepelbagaian pasukannya yang berupaya memacu pertumbuhan pesat yang menjanjikan unit ekonomi kukuh walaupun ketika pandemik melanda. Dengan kehadiran mereka di rantau ini & jangkaan pertumbuhan yang memberangsangkan, kami teruja untuk menerajui pusingan kali ini & menyertai Qoala dalam perjalanan mereka,” ujar Tara Reeves, Pengarah Urusan Eurazeo.

“Model perniagaan Qoala untuk memperkembangkan pengunaan insurans di kalangan pengguna yang kurang mendapat perhatian di Asia Tenggara adalah selaras dengan tesis kami untuk menyokong inovasi yang berupaya memperbaiki kedudukan kewangan isi rumah,” ujar Smita Aggarwal, Penasihat Pelaburan Global di Flourish Ventures. “Kami teruja dengan momentum yang dihasilkan oleh Qoala semenjak kali terakhir kami melabur dalam Siri A.  Kami di Flourish Ventures berbesar hati untuk meneruskan komitmen kami dengan Qoala.”

Qoala membezakan dirinya dengan pesaing melalui pengunaan teknologi asas yang lebih unggul. Ia membolehkan kami untuk menawarkan pengeluaran polisi yang paling pantas dalam industri, penetapan harga serta pemberian komisen kepada jurujual insurans secara serta merta yang pertama seumpamanya dalam industri. Kesemua inovasi ini bukan sahaja berupaya menyelesaikan isu-isu penting bagi jurujual insurans dan pengguna malah ia turut membolehkan Qoala untuk memperoleh dan memberi perkhidmatan kepada pengguna pada kos yang lebih rendah, yang menjurus kepada penjanaan unit ekonomi yang lebih tinggi.

Tambahan pula, Qoala mensasarkan untuk menambah bilangan pekerjanya seramai lebih 250 orang pada tahun ini dan akan terus giat membuat pelaburan dalam usaha pembangunan teknologi dan produk. Bagi memperkasakan lagi hak pemilikan pekerja dalam syarikat, Qoala turut merancang untuk memberikan pampasan ekuiti pekerja dan menawarkan hak kepada mereka untuk memperolehi saham dalam syarikat.

*** 

Mengenai Qoala

Qoala merupakan syarikat permulaan dalam bidang teknologi insurans (insurtech) dengan misi untuk memasyarakatkan insurans melalui kombinasi pembangunan produk baru dan proses tuntutan berasaskan mesin pintar.  Qoala, beroperasi di tiga buah negara; Indonesia, Malaysia dan Thailand melalui penawaran pelbagai jenis perlindungan insurans yang merangkumi kesihatan, kenderaan bermotor, hartanah, kemalangan diri, perjalanan dan pelbagai keperluan insurans lain yang boleh diakses dengan pantas, mudah dan telus melalui aplikasi atau laman web Qoala.

Hubungan Media:

Jeremy Jeesandaran | Pegawai Perhubungan Awam, Qoala Malaysia | jeremy@qoala.my | +6016 312 7360

Kongsi:
About Writer
Editor
Pakar pengurusan kewangan peribadi untuk membantu anda uruskan kewangan dengan lebih baik!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60