Punca Tidur Berdengkur, Cara Hilangkan Dengkur

Kali terakhir diperbaharui Jul 25, 2023 oleh Syazwani Yahya
Punca Tidur Berdengkur, Cara Hilangkan Dengkur

Tidur berdengkur adalah satu masalah biasa yang dialami oleh ramai orang. Masalah tidur berdengkur ini juga lebih cenderung berlaku kepada individu lelaki berbanding wanita. Adakah anda salah seorang yang mempunyai masalah ini? Pasangan anda mengalami masalah tidur berdengkur? Apakah puncanya? Macam mana nak hilangkan masalah tidur berdengkur? 

Perkara Penting yang Anda Perlu Tahu Tentang Tidur Berdengkur

Sudah pastinya keadaan menjadi tidak selesa jika kita terpaksa sebilik dengan individu yang tidur berdengkur. Tapi, sebelum anda salahkan individu tersebut, kenali dulu kenapa wujudnya masalah berdengkur ini. Masalah berdengkur berkait rapat dengan gaya hidup seseorang antaranya mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti merokok berlebihan, kurang bersenam, masalah obesiti, pengambilan minuman keras secara berlebihan dan banyak lagi. 

Dengkuran semasa tidur biasanya berlaku apabila aliran udara di dalam saluran pernafasan terutamanya di bahagian mulut dan hidung seseorang itu tersekat. Bunyi itu dikeluarkan apabila tisu di bahagian atas saluran pernafasan bergesel dan bergetar di antara satu sama lain.

Masalah tidur berdengkur memang boleh dianggap sebagai satu perkara yang biasa. Walau bagaimanapun, ia juga boleh menunjukkan masalah kesihatan yang serius dan juga boleh menjadi semakin teruk seiring dengan peningkatan usia. 

Simptom-simptom Tidur Berdengkur 

Selain daripada anda terpaksa mendengar keluhan individu yang tidur sebilik dengan anda, ini adalah simptom lain yang menunjukkan anda seorang individu yang mempunyai masalah tidur berdengkur. 

  • Pernafasan terhenti seketika sewaktu tidur
  • Rasa mengantuk secara berlebihan pada waktu siang
  • Kesukaran untuk menumpukan perhatian
  • Sakit kepala pada waktu pagi
  • Sakit tekak apabila bangun
  • Tidur yang tak cukup
  • Tersedak atau terasa tercekik pada waktu malam
  • Tekanan darah tinggi
  • Rasa sakit dada pada waktu malam

Simptom-simptom yang Memerlukan Anda Berjumpa Doktor 

Ramai orang dapat atasi masalah berdengkur dengan amalkan tips atau petua tertentu. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah kes yang lebih serius, anda perlulah berjumpa dengan doktor lebih-lebih lagi jika anda sering alami masalah seperti berikut:

  1. Sering berasa letih dan mengantuk pada siang hari
  2. Tabiat berdengkur yang sering membuatkan anda terbangun tengah malam kerana sukar bernafas
  3. Berdengkur kerana masalah kesihatan lain seperti obesiti, kemurungan atau masalah jantung

Simptom-simptom ini boleh menandakan masalah tidur yang lebih serius iaitu sleep apnea atau apnea tidur. Ia juga boleh menandakan masalah kesihatan yang mungkin anda tidak sedari seperti sinusitis atau rhinitis yang mengganggu aliran pernafasan. Segera rujuk doktor anda bagi mengatasi masalah ini dan bagi memastikan anda dapat tidur yang lebih berkualiti setiap malam.

Apa Itu Gangguan Apnea Tidur? 

Individu yang berdengkur juga boleh dikaitkan dengan masalah apnea tidur. Apnea tidur adalah satu keadaan apabila saluran pernafasan tersekat sewaktu sedang tidur. Akibatnya, organ individu yang mengalami apnea tidur, terutamanya bahagian otak, mungkin tidak dapat oksigen yang diperlukan. 

Terdapat dua jenis utama apnea tidur:

  1. Apnea tidur obstruktif: Masalah paling biasa yang disebabkan oleh salur udara tersumbat.
  2. Apnea tidur sentral: Tidak disebabkan oleh saluran udara yang tersumbat, tetapi diakibatkan oleh ketidakstabilan dalam kawalan pernafasan pusat (RCC). Kesannya, otak gagal untuk memberi signal kepada otot agar bernafas.
Adakah Apnea Tidur Boleh Membawa Maut? 

Masalah apnea tidur ini boleh menyebabkan tahap oksigen rendah dalam badan. Apabila situasi ini berlaku, badan kita akan menjadi lebih tertekan dan bertindak balas sekali gus menyebabkan jantung berdegup dengan lebih kencang dan arteri badan menjadi sempit. 

Kesan kepada jantung dan vaskular termasuk:

  1. Degupan jantung lebih tinggi
  2. Darah tinggi
  3. Keradangan dan tekanan

Kesan ini juga meningkatkan risiko masalah kardiovaskular dan kajian mendapati bahawa masalah ini dapat meningkatkan risiko anda mengalami strok sebanyak dua atau tiga kali lebih besar.

tidur berdengkur: cara hilangkan dengkur

6 Punca Tidur Berdengkur yang Biasa Berlaku

Sebagai individu yang tidur berdengkur, sudah pastinya anda menjadi serba salah terhadap gangguan yang dialami oleh orang lain. Justeru itu, individu yang berdengkur perlu tahu apakah yang menjadi punca kepada masalah tidur berdengkur.

Ada beberapa faktor yang menjadi punca anda berdengkur, antaranya ialah:

1. Masalah Saluran Pernafasan

Jika anda mempunyai masalah pada saluran pernafasan seperti hidung tersumbat dan juga kerongkong yang sempit, ia boleh menjadi faktor utama kepada masalah berdengkur. Bukan itu sahaja, tonsil bengkak dan bahagian larynx yang lembut (selalu dihadapi oleh kanak-kanak) juga boleh menyebabkan saluran pernafasan menjadi kecil dan menyebabkan dengkur berlaku.

2. Tidur yang Tak Cukup

Tidur yang tidak mencukupi boleh mengakibatkan otot di bahagian tekak berada dalam keadaan yang relaks dan tidak dapat menjalankan fungsi dengan sebaiknya. Perkara ini berlaku disebabkan keletihan yang melampau yang akan menyebabkan badan cuba untuk merehatkan diri. Hasilnya, otot dibahagian teka menjadi lemah dan boleh menutup bahagian tekak.

Disebabkan tidur berdengkur, individu tersebut boleh jadi kerap terjaga pada waktu malam sekali gus menjejaskan kualiti tidur dan menyebabkan individu tersebut cepat terasa letih.

3. Posisi Badan yang Tidak Betul

Posisi badan juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan anda tidak berdengkur ketika tidur. Posisi badan yang meniarap antara faktor yang boleh menyebabkan masalah berdengkur. Bagaimana ia boleh berlaku? Apabila kita tidur dalam keadaan meniarap, bahagian belakang leher akan menekan saluran pernafasan yang terletak di bahagian hadapan dan menyebabkan bunyi dengkur terjadi.

4. Pengambilan Alkohol

Pengambilan alkohol juga akan menyebabkan otot yang berada di saluran tekak berada dalam keadaan relaks dan tidak dapat mengecut dan mengembang dengan sepatutnya. Ia secara tidak langsung menyebabkan anda berdengkur semasa tidur

5. Berat Badan Berlebihan atau Obesiti

Masalah berdengkur juga berlaku kepada orang yang mengalami berat badan berlebihan atau obesiti. Ini kerana, pengumpulan lemak yang banyak terutamanya yang terdapat pada leher, tengkuk yang pendek boleh menyebabkan saluran pernafasan tertutup.

6. Genetik

Selain itu, faktor genetik juga turut memainkan peranan. Sekiranya ibu bapa mempunyai saluran pernafasan sebegini, adalah tidak mustahil untuk anak mereka juga mempunyai masalah  pernafasan yang sama. Terdapat beberapa kajian saintifik yang membabitkan blood marker yang telah membuktikan kaitan  antara genetik dengan masalah berdengkur.

Sekarang, anda sudah tahu tentang punca tidur berdengkur, ketahui pula cara atasi atau kurangkan masalah tidur berdengkur yang boleh anda praktikkan.

Petua Menghilangkan Tidur Berdengkur dengan Berkesan

Boleh menjadi tekanan kepada individu yang tidur sebilik dengan individu yang berdengkur. Ia boleh menjejaskan kualiti tidur kedua-dua pihak. Jadi, untuk kurangkan dengkuran ketika tidur, ini beberapa petua yang boleh dicuba:

1. Tidur Mengiring

Tidur terlentang kadangkala membuatkan lidah anda beralih posisi ke tekak. Ini akan membuatkan aliran udara terhalang dan bermulalah dengkuran sebaik sahaja anda menutupkan mata. Bagi mengelakkan situasi ini, anda disarankan untuk cuba tidur dalam posisi mengiring untuk melancarkan lagi aliran udara dan elakkan berdengkur.

2. Kurangkan Berat Badan

Seperti yang diperkatakan tadi, antara punca tidur berdengkur adalah disebabkan oleh masalah berat badan yang berlebihan. Saiz tisu di tekak yang lebih besar pada individu yang mempunyai berat badan berlebihan boleh menyebabkan masalah berdengkur. Apabila anda dapat mengurangkan berat badan, ia bukan sahaja baik dalam mengurangkan masalah dengkur, malah ia sangat membantu meningkatkan kualiti hidup selain dapat mencegah diri daripada pelbagai penyakit lain yang berkaitan.

Ada pelbagai cara untuk kurangkan berat badan antaranya dengan bersenam. Bersenam pula tidak perlu yang berat-berat. Cukup sekadar konsisten dan disiplin yang tinggi.

3. Posisi Kepala Ketika Baring

Anda dinasihatkan untuk meninggikan sedikit kepala ketika baring. Cara ini dapat menggalakkan lagi bukaan aliran udara pada bahagian hidung dengan lebih luas. Anda boleh cuba gunakan bantal yang lebih tebal ketika tidur untuk tinggikan sedikit kepala.

4. Pakai Nasal Strip

Nasal strip berfungsi sebagai alat yang meluaskan bukaan ruang pernafasan pada hidung. Apabila ruang pernafasan pada hidung menjadi lebih luas, ia boleh membantu anda untuk bernafas dengan lebih baik sekali gus mengurangkan masalah tidur berdengkur. Nasal strip ini boleh didapati di mana-mana kedai kesihatan seperti farmasi.

5. Elakkan daripada Merokok

Tabiat merokok tidak mendatangkan apa-apa kebaikan buat kesihatan dan boleh menjadi punca bagi masalah dengkur. Untuk membantu anda berhenti merokok, anda boleh dapatkan kaunseling daripada doktor atau gunakan produk berhenti merokok seperti nicotine patches, gula-gula getah atau lozenges yang boleh dibeli di farmasi.

6. Minum Air yang Mencukupi

Badan yang kekal hidrat bukan sahaja penting untuk kesihatan malah ia juga dapat membantu mencegah masalah dengkur. Jika badan anda kekurangan air, hidung dan tekak akan lebih cenderung untuk merembeskan mukus melekit.

Ini boleh mengakibatkan dengkuran lebih mudah terjadi ketika tidur. Oleh itu, banyakkan minum air demi kesihatan dan tidur yang lebih berkualiti.

7. Hidu Wap Air Panas

Anda juga boleh cuba gunakan semangkuk air panas dan hidu wapnya sebelum masuk tidur. Cara ini dapat membantu anda untuk bernafas tanpa sekatan lebih-lebih lagi jika anda sedang selsema atau sering alami masalah hidung tersumbat. Anda juga boleh cuba mandi air suam sebelum masuk tidur.

Renew Insurans di Qoala untuk Ketenangan Minda

Apa yang boleh dirumuskan adalah, terdapat pelbagai faktor yang boleh menjadi punca kepada masalah berdengkur. Cara mengatasinya juga ada pelbagai. Jika anda mempunyai masalah tidur berdengkur, anda boleh mencuba petua-petua yang telah dikongsikan di atas.

Walau bagaimanapun, sekiranya ia menjadi lebih parah, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor bagi rawatan lebih lanjut. Jangan endahkan. Takut ia boleh menjadi penyakit berbahaya. Sampai di sini sahaja perkongsian Qoala hari ini, semoga bermanfaat! Nak renew roadtax dan insurans kereta? Renew saja dengan Qoala. Mudah dan pantas!

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60