Fahami Perbezaan MRTA, MRTT, MLTA & MLTT di Malaysia

Kali terakhir diperbaharui Jul 5, 2023 oleh Shafiq Wahab
Fahami Perbezaan MRTA, MRTT, MLTA & MLTT di Malaysia

Pihak bank biasanya menawarkan membuat pinjaman perumahan dalam tempoh 30 sehingga 35 tahun untuk anda memiliki rumah idaman. Selain loan rumah, pihak bank juga menawarkan polisi perlindungan rumah seperti MRTA, MRTT, MLTA dan MLTT bagi melindungi kepentingan mereka sekiranya peminjam meninggal dunia atau mengalami kecacatan kekal (Total Permanent Disability/TPD) yang menyebabkan peminjam tidak mampu membayar balik pinjaman. Artikel ini akan menjelaskan semua yang anda perlu tahu tentang keempat-empat insurans pinjaman perumahan ini. 

Apa yang Anda Perlu Tahu Tentang MRTA, MRTT, MLTA & MLTT?

Perlindungan MRTA, MRTT, MLTA atau MLTT bukanlah satu perlindungan yang wajib diambil semasa beli rumah. Namun begitu, sekiranya anda tidak memiliki polisi perlindungan gadai janji ini, kos pinjaman perumahan akan perlu ditanggung oleh ahli keluarga yang lain sekiranya berlaku sesuatu kepada anda seperti kematian atau kecacatan kekal (TPD). Sekiranya bayaran ansuran tidak diteruskan oleh ahli keluarga seperti biasa selepas kematian anda, besar kemungkinan bank akan lelong rumah anda.

Oleh sebab itu, anda disarankan untuk memiliki mana-mana polisi insurans gadai janji ini sekiranya anda ingin memiliki rumah untuk bersedia menghadapi sebarang situasi yang tidak dijangka. Berikut empat jenis perlindungan nyawa untuk pinjaman perumahan atau gadai janji anda termasuk definisi MRTA, MRTT, MLTA dan MLTT untuk panduan dan rujukan anda:

1. Mortgage Reducing Term Assurance (MRTA) 

MRTA atau turut dikenali sebagai Jaminan Tempoh Pengurangan Gadai Janji hanya membiayai lebihan hutang sahaja. Sebagai contoh, jika rumah dibeli berharga RM300,000 dan selepas tujuh tahun, baki pinjaman dianggarkan sekitar RM230,000. Sekiranya pemilik meninggal dunia atau mengalami kecacatan kekal (TPD), insurans hanya akan membayar lebihan baki pinjaman sahaja iaitu RM230,000 dan rumah tersebut akan menjadi milik waris. 

Walau bagaimanapun, ahli keluarga atau waris tidak akan menerima apa-apa lebihan bayaran kerana ia tidak termasuk dalam polisi ini. Pembayaran perlindungan MRTA ini dibayar sekaligus pada permulaan polisi dan biasanya kos MRTA dipengaruhi oleh tiga faktor seperti Umur peminjam; Nilai pinjaman perumahan dan Jangka masa pinjaman perumahan.

2. Mortgage Reducing Term Takaful (MRTT) 

MRTT atau Takaful Tempoh Pengurangan Gadai Janji menawarkan polisi yang lebih kurang sama dan tidak banyak beza dengan MRTA, apa yang membezakan kedua-dua polisi ini MRTT menggunakan takaful kewangan Islam. Dalam erti kata yang lebih mudah, MRTT merupakan versi takaful untuk MRTA. Sama seperti MRTA, ia menawarkan pembiayaan baki hutang sahaja, dan bayaran untuk perlindungan MRTT juga perlu dibuat sekaligus pada permulaan polisi. 

3. Mortgage Level Term Assurance (MLTA)

MLTA atau Jaminan Tempoh Tahap Gadai Janji ini membolehkan penama atau waris untuk mendapat baki lebihan pembayaran pinjaman perumahan. Contohnya, pelan perlindungan MLTA anda bernilai RM300,000 dan baki pinjaman perumahan yang masih belum dijelaskan berjumlah RM200,000. 

Semasa proses tuntutan, polisi MLTA akan membayar sebanyak RM200,000 kepada pihak bank untuk melangsaikan hutang pinjaman perumahan anda dan lebihan baki sebanyak RM100,000 akan diberikan kepada ahli keluarga anda yang telah dinamakan sebagai benifisiari (penama).

Selari dengan perlindungan yang ditawarkan, anda perlu membayar premium yang lebih tinggi berbanding MRTT. Dalam erti kata lain, anda perlu membayar jumlah yang sama secara ansuran setiap bulan kepada syarikat insurans dari tahun pertama sehingga habis tempoh pembayaran. Dari segi kos pula, kos untuk MLTA bergantung pada faktor-faktor seperti jumlah perlindungan, tempoh perlindungan dan usia peminjam.

4. Mortgage Level Term Takaful (MLTT)

Jika MRTT merupakan versi takaful bagi MRTA, MLTT (atau Takaful Tempoh Tahap Gadai Janji) pula merupakan versi takaful bagi MLTA. Dalam erti kata lain, ia menawarkan perlindungan yang sama seperti MLTA tetapi dalam versi patuh Syariah. Sama seperti MLTA, insurans takaful MLTT membayar sebarang lebihan bayaran yang diinsuranskan terus kepada pemilik polisi atau benefisiari (penama) sekiranya tuntutan dibuat. 

mrta vs mlta

MRTA vs MLTA vs MRTT vs MLTT: Polisi Insurans Rumah Terbaik untuk Anda?

Untuk membuat keputusan sama ada anda perlu memilih MRTA, MRTT, MLTA atau MLTT, ia bergantung pada keperluan anda. Berikut merupakan perbezaan dan persamaan di antara keempat-empat polisi untuk rujukan anda:

MRTA MRTT MLTA MLTT
Perlindungan Kematian dan Hilang Upaya Kekal  Kematian dan Hilang Upaya Kekal  Kematian dan Hilang Upaya Kekal  Kematian dan Hilang Upaya Kekal 
Jenis Perlindungan Insurans nyawa gadai janji Insurans hayat Insurans nyawa gadai janji Insurans hayat
Polisi Pembayaran Pembayaran dibuat secara sekaligus pada awal pelan Pembayaran dibuat secara sekaligus pada awal pelan Bayaran dilakukan secara bulanan mengikut tempoh pelan Bayaran dilakukan secara bulanan mengikut tempoh pelan
Jumlah Perlindungan Menurun mengikut tempoh pelan  Menurun mengikut tempoh pelan  Kekal sepanjang tempoh pelan Kekal sepanjang tempoh pelan
Pembayaran Perlindungan Dibuat terus kepada pihak bank atau institusi kewangan yang telah memberikan  pinjaman perumahan Dibuat terus kepada pihak bank atau institusi kewangan yang telah memberikan  pinjaman perumahan Bergantung kepada jumlah tertunggak, terus kepada bank.

Bayaran lebihan akan dibuat kepada benefisiari.

Bergantung kepada jumlah tertunggak, terus kepada bank.

Bayaran lebihan akan dibuat kepada benefisiari.

Konvensional atau Takaful Konvensional Takaful Konvensional Takaful

Secara asasnya, MRTA dan MLTA merupakan perlindungan konvensional manakala MRTT dan MLTT pula merupakan perlindungan insurans Takaful. Anda boleh memilih insurans rumah yang terbaik dan sesuai untuk anda bergantung kepada situasi anda. Sebagai contoh, jika anda merupakan ketua keluarga yang mempunyai ramai tanggungan, anda boleh mempertimbangkan MLTA atau MLTT kerana sekiranya berlaku sesuatu kepada anda, waris boleh mendapat lebihan wang bagi meneruskan kehidupan seperti biasa.

Selain itu, jika anda mempertimbangkan untuk mendapatkan insurans rumah terbaik di Malaysia? Tidak perlu cari jauh-jauh, anda boleh dapatkan insurans rumah anda dengan Qoala!  Selain insurans rumah, Qoala juga turut menyediakan insurans motor dan insurans kereta untuk anda.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60