Kesihatan Mental: Ketahui Simptom dan 5 Rawatan Terbaik

Kali terakhir diperbaharui Jul 5, 2023 oleh Syazwani Yahya
Kesihatan Mental: Ketahui Simptom dan 5 Rawatan Terbaik

Seringkali kita dengar kesihatan mental ini dikaitkan dengan masalah seperti kemurungan (depression) atau bunuh diri (suicide). Oleh itu, jangan pandang remeh pasal kesihatan mental ini. Seperti penyakit lain, seseorang yang mengalami masalah mental ini memerlukan rawatan untuk pulih. Kesihatan mental boleh mempengaruhi kehidupan harian, hubungan dengan orang lain dan kesihatan fizikal.

Maksudnya di sini, jika seseorang itu mengalami masalah mental, dia berkemungkinan akan menghadapi masalah seperti tekanan, kemurungan dan kebimbangan boleh menjejaskan kesihatan mental dan mengganggu rutin hariannya. Adakah korang atau kenalan korang menghadapi masalah ini? Kalau korang nak tahu lebih banyak lagi dan fahami tentang kesihatan mental, teruskan membaca artikel ini. Qoala akan menerangkan semuanya!

Memahami Definisi Kesihatan Mental

Kalau korang selalu menangis memang confirm ada masalah mental ke? Apakah definisi kesihatan mental? Apakah kepentingan menjaga kesihatan mental? Kesihatan mental merangkumi kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial kita. Ia mempengaruhi cara kita berfikir, perasaan kita dan juga cara kita bertindak.

Dari segi teori pula, ia menerangkan perkembangan manusia dari segi tingkah laku, psikologi, falsafah dan sosial. Antara ciri-ciri orang yang mempunyai kesihatan mental yang baik adalah dia mampu mengendalikan tekanan, berhubung dengan orang lain dan membuat pilihan dengan betul. Memang kita manusia memang tak dapat lari daripada masalah hidup. Stres dan cabaran lain akan timbul apabila kita bekerja atau menghadapi sesuatu isu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seseorang yang mempunyai kesihatan mental yang baik menyedari kebolehan dirinya untuk mengatasi tekanan dan cabaran lain dalam hidup.

Bagaimana pula dengan mereka yang tak mempunyai kesihatan mental yang baik atau dengan kata lain mempunyai masalah kesihatan mental yang buruk?

Mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental berkemungkinan besar menghadapi kesukaran atau tak dapat menangani stres dan juga cabaran lain dari segi emosi dan juga mental.

Ini akan memberi kesan yang buruk kepada kesihatan mental dan juga kehidupan seharian. Kerja-kerja biasa, interaksi dengan orang lain akan terganggu dan dipengaruhi oleh perubahan pada mood dan kelakuan mereka.

kesihatan mental

Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Kesihatan Mental

Terdapat beberapa faktor dalam kehidupan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan mental kita.

Faktor-faktor ini sama ada boleh menimbulkan risiko kepada, atau melindungi kesihatan mental dan kesihatan korang secara keseluruhan.

Setiap orang mempunyai kehidupan dan juga situasi yang berbeza-beza. Jadi, faktor-faktor yang boleh mengakibatkan masalah kesihatan mental juga berbeza-beza.

Ada banyak faktor yang mempengaruhi kesihatan mental seseorang, berikut merupakan antara faktor-faktor yang lazim.

1. Kehilangan Orang Tersayang

Bila kita kehilangan seseorang yang kita sayang, memang sukar untuk kita terima hakikatnya. Tak ada cara yang betul atau salah untuk korang proses kehilangan seseorang, atau bersedih dan kita boleh mengalaminya dalam pelbagai cara.

Dalam situasi begini, sangatlah penting untuk korang terima  sokongan moral dari keluarga dan juga rakan-rakan. Jangan takut untuk minta tolong.

2. Keganasan Rumah tangga

Keganasan rumah tangga bermakna seseorang tak berasa selamat dan takut kerana tindakan ganas salah seorang atau lebih ahli keluarga. Kalau kita tengok berita sekarang ni, banyak sangat kes-kes seperti penderaan fizikal, rogol dan sebagainya.

Dalam kebanyakan kes, mangsa akan menghadapi tekanan hidup yang amat buruk dan sekaligus kesihatan mental juga menjadi parah. Menurut Berita Harian, sebanyak 902 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan dari Januari 2021 sehingga April 2021.

3. Hilang Kerja dan Punca Pendapatan

Ramai yang kehilangan punca pendapatan akibat kehilangan pekerjaan atau bisnes terpaksa ‘gulung tikar’ terutama sekali sejak COVID-19 bermula. Ini akan memberikan kesan negatif kepada kesihatan mental. Susah nak meneruskan kehidupan kalau tak ada punca pendapatan terutama sekali kalau ada tanggungan.

4. Dibuli

Buli boleh berlaku kepada sesiapa dan di mana-mana pun. Ia boleh di sekolah, di rumah, di tempat kerja, di ruang media sosial dan sebagainya. Ramai orang yang dibuli berasa takut untuk bersuara. Apa yang biasa terjadi, mereka ini memendam perasaan sehingga boleh menjejaskan kesihatan mental.

Banyak lagi sebenarnya faktor yang menyebabkan seseorang itu menghadapi masalah ini. Seperti yang dinyatakan di atas tadi, setiap orang menghadapi situasi yang berbeza-beza.

kesihatan mental

Simptom-simptom

Jadi, macam mana nak kesan kalau korang mungkin menghadapi masalah kesihatan mental ini? Berikut merupakan simptom-simptom yang korang kena perhatikan:

  • Rasa sedih hampir sepanjang masa
  • Idea untuk bunuh diri terlintas di fikiran
  • Pemikiran keliru atau susah untuk menumpukan perhatian
  • Selalu berasa takut atau bimbang atau sentiasa berasa bersalah
  • Perubahan mood yang melampau
  • Tak mahu bergaul dengan rakan dan tak mahu terlibat dalam sebarang aktiviti
  • Keletihan yang ketara, kurang tenaga atau masalah tidur
  • Pengasingan daripada realiti (khayalan), paranoia atau halusinasi
  • Ketidakupayaan untuk menghadapi masalah atau tekanan harian
  • Masalah memahami dan mengaitkan situasi dan orang
  • Perubahan besar dalam tabiat pemakanan
  • Kemarahan yang berlebihan, keganasan, jadi panas baran

Kadangkala gejala gangguan kesihatan mental muncul sebagai masalah fizikal, seperti sakit perut, sakit belakang, sakit kepala, atau sakit dan sakit lain yang sukar untuk dijelaskan.

Apakah Rawatan Yang Terbaik Bila Dah Didiagnosis?

Untuk pengetahuan korang, kebanyakan mereka yang didiagnosis dengan masalah kesihatan mental pulih dengan pelbagai cara sama ada secara individu atau berkumpulan.

Bagi menentukan jenis-jenis diagnosis dan memeriksa komplikasi yang berkaitan, pesakit mungkin perlu melakukan:

  • Pemeriksaan fizikal. Doktor akan cuba menolak masalah fizikal yang boleh menyebabkan korang mengalami simptom-simptom
  • Ujian makmal. Ini mungkin termasuk, sebagai contoh, pemeriksaan fungsi tiroid anda atau pemeriksaan untuk penggunaan alkohol dan dadah.
  • Satu penilaian psikologi. Seorang doktor atau profesional kesihatan mental bercakap dengan pesakit tentang gejala, pemikiran, perasaan dan corak tingkah laku. Pesakit mungkin diminta mengisi soal selidik untuk membantu menjawab soalan-soalan ini.

Setelah pesakit melalui ujian-ujian di atas dan didiagnosis, sekarang masa untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Rawatan yang sesuai mungkin berbeza-beza untuk setiap individu.

Jom kita tengok sama-sama rawatan bagi merawat masalah ini:

Psikoterapi

Psikoterapi adalah rawatan terapeutik penyakit mental yang disediakan oleh profesional kesihatan mental yang terlatih.  Juga dikenali sebagai terapi, psikoterapi ini merupakan rawatan yang membolehkan pesakit untuk bercakap dan menerangkan keadaan dan perasaannya.

Dengan psikoterapi, pesakit boleh meneroka dan mendalami pemikiran, perasaan, mood dan juga tingkah lakunya. Pesakit biasanya akan berasa lebih baik dengan bantuan psikoterapi dalam beberapa bulan, tetapi dalam beberapa kes, rawatan lebih lama mungkin diperlukan bergantung kepada keadaan. Apabila memilih ahli terapi, pesakit harus berasa selesa dan yakin bahawa dia mampu mendengar dan faham apa yang nak dikatakan.

Ubat-ubatan

Ubat tidak menyembuhkan masalah kesihatan mental ini secara langsung. Walaubagaimanapun, ia boleh membantu pesakit menangani simptom-simptom. Ubat-ubatan dan juga rawatan psikoterapi adalah antara cara paling berkesan untuk menggalakkan pemulihan. Antara ubat-ubatan yang diambil untuk menangani masalah mental ini adalah seperti Antidepressants, Anti-anxiety medications, Mood-stabilizing medications dan Antipsychotic medications.

Kumpulan Sokongan

Kumpulan sokongan ni macam cheerleader ke? Jawapannya tak sama tapi kumpulan sokongan dan cheerleader ini mempunyai misi yang sama iaitu memberi sokongan kepada pesakit dari segi emosi dan mental.

Kumpulan sokongan merupakan satu mesyuarat kumpulan di mana ahli-ahli membimbing satu sama lain ke arah matlamat pemulihan bersama.

Kumpulan ini selalunya terdiri daripada golongan yang bukan profesional, tapi terdiri daripada individu-individu yang mengalami masalah yang lebih kurang sama.

Anggap mesyuarat ini sebagai zon yang selamat untuk meluahkan perasaan dan juga tempat di mana pesakit boleh belajar dari pengalaman orang lain.

Hospital

Kadangkala pesakit tak mampu tahan beban kesakitan emosi sehingga menjadi sangat teruk sehingga pesakit memerlukan rawatan di hospital psikiatri.

Ini biasanya disyorkan apabila pesakit tak dapat menjaga diri dan cenderung untuk mencederakan diri sendiri atau orang lain.

Pilihan termasuk penjagaan pesakit dalam 24 jam, kemasukan ke hospital atau rawatan intensif.

Inisiatif Sendiri

Pesakit juga boleh membuat pelan untuk bantu diri dengan memahami keadaannya dengan melaksanakan strategi yang boleh membantu memulihkan kesihatan mentalnya.

Selain itu pesakit juga boleh bekerjasama dengan ahli terapi mereka. Bersama-sama, mereka boleh memutuskan rawatan dan cara menjaga yang terbaik, bergantung pada gejala dan keadaan, pilihan peribadi, kesan sampingan ubat dan faktor lain.

Dalam sesetengah kes, masalah kesihatan mental pesakit mungkin sangat teruk sehingga perlu mendapat penjagaan yang rapi dari doktor atau orang tersayang sehingga keadannya cukup sihat untuk mengambil bahagian dalam membuat keputusan.

Kesimpulannya, kesihatan mental ini bukanlah sesuatu yang boleh dan patut dipandang remeh. Apabila ada ahli keluarga atau rakan rapat korang mengadu atau bercerita, janganlah memperkecilkan atau buat tak tahu je.

Kalau korang rasa korang mengalami masalah kesihatan mental, dapatkan nasihat dan rawatan daripada pakar dengan segera. Diharapkan artikel ini dapat membantu korang lebih memahami masalah kesihatan mental ini.

Klik sini untuk tengok senarai hotlines untuk dihubungi sekiranya korang bergelut dengan kesihatan mental. Korang akan mendapat bantuan dan juga sokongan emosi.

P.S Sekiranya anda sedang mencari insurans kereta murah, layari laman web Qoala untuk nikmati tawaran insurans kereta terbaik di Malaysia. Jangan tunggu lama-lama, jom lindungi kereta anda dengan Qoala!

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60