Ramai dalam kalangan anak muda khususnya gemar untuk mengubah suai kereta yang dimiliki. Biasanya, pemilik ambil keputusan untuk modified kereta untuk peningkatan prestasi. Ada juga yang mementingkan rupa luaran kenderaan atau kosmetik semata-mata. Namun begitu, kereta modified boleh menjadi mimpi ngeri buat sesetengah pemilik kereta. Jika tersilap langkah, anda mungkin berdepan masalah semasa buat tuntutan insurans.
Apa yang Anda Perlu Tahu Tentang Kereta Modified?
Ubah suai kereta bermaksud apa-apa perubahan yang dibuat pada kereta tidak kira dengan tujuan menjadikan kereta modified tampil lebih estetik atau untuk meningkatkan prestasi. Sesebuah kereta dianggap melalui pengubahsuaian apabila sesuatu komponen kereta diubah, digantikan, ditambah atau dialihkan. Dalam erti kata lain, sesebuah kereta itu tidak lagi sama seperti spesifikasi standard pengeluar.
Ada beberapa jenis pengubahsuaian yang biasa dilakukan oleh pemilik kereta antaranya:
- Pengubahsuaian Prestasi – kereta diubah suai untuk meningkatkan prestasi kereta seperti naik taraf transmisi, suspension kereta, brek, enjin dan sebagainya;
- Pengubahsuaian Fungsi – penambahan fungsi pada kenderaan seperti sistem hiburan, navigasi, sensor, lampu tambahan dan sebagainya;
- Peningkatan Estetik merangkumi penambahbaikan rupa luaran dan dalaman kereta seperti pemasangan bampar depan dan belakang, tukar warna kereta, tinted kereta dan lain-lain.
Ubah Suai Kereta yang Tidak Dibenarkan
Apa-apa pengubahsuaian yang dilakukan pada kenderaan yang menyalahi undang-undang boleh menyebabkan anda didenda. Ini tertakluk pada pematuhan peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Bawah Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pengubahsuaian yang dibuat pada mana-mana kenderaan sebelum atau selepas pendaftaran perlu dilakukan secara sah. Dalam erti kata lain, apa-apa pengubahsuaian yang dilakukan mestilah mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh JPJ. Berikut antara jenis ubah suai yang tidak dibenarkan:
- Pemasangan komponen tambahan atau body kit yang menyebabkan perubahan pada identiti kenderaan;
- Pemasangan lampu HID secara retrofit;
- Penukaran sistem pacuan;
- Lampu berkelip-kelip (selain lampu signal kereta/lampu berjaga-jaga) pada bahagian hadapan atau belakang kereta;
- Pemasangan apa-apa lampu tambahan selain warna putih atau amber pada bahagian hadapan dan selain warna merah atau amber pada bahagian belakang;
- Pemasangan hon berirama atau hon dua nada;
- Pemasangan cermin gelap pada cermin hadapan dengan ketelusan cahaya kurang daripada 70 peratus;
- Pemasangan cermin gelap pada cermin sisi dengan ketelusan cahaya kurang daripada 50 peratus;
- Pemasangan cermin gelap pada cermin belakang dengan ketelusan cahaya kurang daripada 30 peratus;
- Penggunaan tayar kepak atau tayar yang terkeluar dari badan kereta.
Ubah Suai Kereta yang Dibenarkan
Meskipun begitu, ini tidaklah bermaksud semua jenis pengubahsuaian perlu mendapat kelulusan. Ada beberapa pengubahsuaian kereta yang boleh dibuat tanpa kelulusan JPJ. Berikut antara jenis ubah suai yang dibenarkan yang tidak perlu mendapatkan kelulusan:
- Pemasangan spoiler, side skirt dan aerofoil;
- Pemasangan door visor;
- Pemasangan bampar pada bahagian hadapan atau belakang kenderaan;
- Pemasangan rim dan tayar kereta yang lebih besar;
- Pemasangan sun roof, moon roof atau canvas top di atas bumbung kenderaan;
- Penukaran kotak gear manual atau automatik;
- Pemasangan roof-rack (atau rel bumbung) / bike carrier
- Pemasangan spotlight.
Untuk senarai penuh, anda boleh rujuk pihak JPJ untuk info lanjut.
Adakah Benar Kereta Modified Tidak akan Dilindungi oleh Insurans?
Secara asasnya, insurans kereta anda hanya melindungi aksesori kereta standard yang dipasang di kilang. Sekiranya berlaku kemalangan atau kecurian kereta, pihak insurans hanya akan menggantikan atau membayar pampasan untuk aksesori kereta standard* sahaja.
Namun begitu, jika aksesori kereta bukan standard rosak atau dicuri, pihak insurans tidak akan melindungi atau memberi pampasan kepada anda. Oleh sebab itu, pemilik kenderaan yang melakukan pengubahsuaian mana-mana komponen kereta perlu memaklumkan kepada syarikat insurans. Ini bagi membolehkan pihak insurans menilai risiko dan menentukan premium serta penerimaan perlindungan.
Penting untuk anda tahu apa-apa pengubahsuaian kereta boleh menjejaskan fungsi dan keselamatan sesebuah kenderaan. Selain itu, ia juga meningkatkan risiko kemalangan sekali gus menjadikan kadar premium kereta anda lebih tinggi. Anda disarankan untuk mengubah suai kenderaan mengikut garis panduan dan kelulusan pihak berkuasa untuk mengelakkan sebarang kesulitan.
Jika pemegang polisi tidak memaklumkan kepada pihak insurans mengenai pengubahsuaian yang dibuat, ia boleh mendatangkan masalah. Andaikan anda terlibat dalam kemalangan akibat pengubahsuaian yang dilakukan, pihak insurans berhak menolak liabiliti di bawah polisi tersebut. Ini bermaksud, besar kemungkinan anda mungkin tidak dapat membuat tuntutan insurans kemalangan.
Bayangkan anda sudah membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk mengubah suai kereta tetapi ada masalah semasa buat tuntutan insurans. Ini semestinya akan merugikan anda kerana anda perlu mengeluarkan simpanan sendiri untuk baiki kerosakan yang berlaku pada kereta anda.
*Anda memerlukan insurans komprehensif untuk mendapatkan penggantian atau pampasan aksesori.
Ubah Suai Kereta dengan Selamat untuk Elakkan Masalah dengan Insurans Anda
Keselamatan anda, penumpang dan pengguna jalan raya yang lain perlu dititikberatkan semasa mengubah suai kenderaan anda. Jika anda mengubah suai kenderaan dan tidak memaklumkan kepada syarikat insurans, ia boleh beri kesan semasa tuntutan insurans dibuat.
Pengubahsuaian kenderaan yang dibuat tanpa kebenaran boleh menyebabkan pihak insurans membatalkan polisi atau tidak membayar tuntutan. Selain itu, anda juga disarankan untuk dapatkan perlindungan tambahan aksesori kereta bagi memastikan kereta anda mendapat perlindungan yang mencukupi.
Untuk info lanjut berkaitan insurans kereta modified dan perlindungan tambahan yang sesuai, layari laman web Qoala Malaysia untuk info lanjut. Qoala menawarkan insurans kereta terbaik daripada beberapa jenama insurans popular Malaysia. Anda boleh lakukan perbandingan dan dapatkan sebut harga percuma di Qoala. Pilih pelan perlindungan insurans terbaik untuk kereta anda hari ini!