Harga insurans kereta atau premium insurans kereta secara asasnya berbeza meskipun untuk model kereta yang sama. Ini kerana, ia bergantung sepenuhnya pada jenis perlindungan insurans yang anda ambil dan beberapa faktor-faktor lain. Artikel ini akan membantu anda mengenal pasti faktor yang mempengaruhi harga insurans kereta termasuk cara kira harga insurans kereta di Malaysia.
Cara Kira Insurans Kereta: 9 Faktor yang Menyebabkan Harga Insurans Kereta Murah atau Mahal
Di Malaysia, pemilik kenderaan perlu memperbaharui atau renew insurance kereta setiap tahun termasuk cukai jalan. Ini bagi membolehkan kenderaan yang dimiliki boleh digunakan di atas jalan raya. Dengan memiliki insurans dan roadtax kereta yang sah, ia dapat mengelakkan anda daripada kena saman. Secara asasnya, harga insurans kereta lebih mahal berbanding insurans motor, dan ia dipengaruhi oleh sembilan sebab seperti berikut:
1. Usia Pemandu dan Jantina
Usia pemandu juga boleh mempengaruhi harga insurans kereta. Pemandu yang berumur dalam lingkungan 16 hingga 25 tahun biasanya perlu membayar premium yang lebih tinggi berbanding pemandu yang lebih berusia. Faktor ini mungkin disebabkan oleh statistik kemalangan di Malaysia yang menunjukkan pemandu muda dan pertama kali memandu berpotensi tinggi untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Selain usia, faktor jantina juga memainkan peranan dalam menentukan harga insurans. Ini kerana, berdasarkan statistik kemalangan di Malaysia, kemalangan yang melibatkan pemandu lelaki lebih tinggi berbanding dengan pemandu wanita.
Meskipun mungkin ramai dalam kalangan pemandu lelaki yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini dan berasakan pemandu lelaki lebih cekap memandu berbanding dengan pemandu wanita, ia tetap tidak dapat menolak hakikat bahawa pemandu lelaki perlu membayar premium insurans yang lebih tinggi berbanding pemandu wanita.
2. Nilai Pasaran Kenderaan
Market value kereta atau nilai pasaran kenderaan secara asasnya akan berkurangan dari tahun ke tahun. Ia secara tidak langsung mempengaruhi harga premium insurans kereta. Kenderaan yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi biasanya memiliki harga insurans kereta yang lebih mahal. Sebagai contoh, harga insurans Mazda CX-5 (harga pasaran semasa dianggarkan sekitar RM130,400) biasanya lebih mahal berbanding harga insurans Myvi (harga pasaran semasa kira-kira RM41,000).
3. Usia Kenderaan
Harga insurans kereta turut berkait rapat dengan tahun pengeluaran kereta. Harga insurans untuk model kereta tahun terkini lebih mahal berbanding model kereta tahun 2010. Ini bermaksud, semakin lama usia kenderaan, semakin murah harga insurans kereta. Biasanya, kereta yang berusia 10 tahun dan ke atas memiliki perlindungan insurans yang lebih murah berbanding kereta baharu. Faktor ini juga secara tidak langsung dipengaruhi oleh harga pasaran semasa kereta tersebut.
4. Jenis Perlindungan Insurans
Sudah semestinya jenis perlindungan yang anda pilih mempengaruhi harga insurans anda. Polisi perlindungan komprehensif atau insurans first party biasanya lebih mahal berbanding harga insurans third party. Ini kerana, pelan perlindungan komprehensif menawarkan perlindungan menyeluruh bukan sahaja ke atas kereta pihak ketiga, tetapi termasuk kereta sendiri. Berbeza dengan perlindungan insurans pihak ketiga yang hanya menawarkan perlindungan asas ke atas harta benda pihak ketiga sahaja.
5. NCD Kereta
Diskaun Tanpa Tuntutan (Non-claim Discount) atau turut dikenali sebagai NCD kereta turut memberi kesan kepada harga kereta. Secara asasnya, pemilik kenderaan yang tidak membuat sebarang tuntutan insurans kemalangan dalam tempoh lima tahun pertama boleh menikmati diskaun sehingga maksimum 55 peratus. NCD kereta membolehkan pemilik kenderaan mendapatkan perlindungan insurans pada harga yang lebih rendah semasa renew insurans kereta.
Berikut merupakan contoh perbandingan kadar bayaran untuk dua model kereta yang sama dengan kadar NCD kereta berbeza seperti berikut:
Situasi 1:
Andaikan nilai pasaran semasa model kereta A ialah RM40,000. Ia menerima nilai NCD kereta sebanyak 25 peratus. Model kereta A perlu membayar sebanyak RM938 untuk premium insurans baharunya.
Situasi 2:
Andaikan pula nilai pasaran semasa model kereta B adalah sama seperti model kereta A. Namun begitu, model kereta ini menerima nilai NCD kereta sebanyak 55 peratus. Harga premium insurans yang perlu dibayar ialah RM368. Dalam erti kata lain, semakin tinggi nilai NCD kereta, semakin rendah harga insurans kereta.
6. Kapasiti Enjin Kereta (CC Kereta)
Kapasiti enjin kereta juga turut memainkan peranan dalam menentukan harga insurans yang perlu dibayar. Semakin tinggi kapasiti enjin kereta, semakin tinggi harga insurans kereta. Harga insurans Honda 2.0 biasanya lebih mahal berbanding harga insurans Proton Saga 1.3.
7. Lokasi Tempat Tinggal
Faktor lokasi juga memainkan peranan dalam mempengaruhi harga insurans kenderaan. Biasanya, harga insurans kereta di Semenanjung adalah lebih mahal atau lebih tinggi berbanding harga insurans kereta di Sabah dan Sarawak. Ia dipengaruhi oleh aspek penilaian risiko yang lebih tinggi di Semenanjung Malaysia berbanding di Sabah dan Sarawak.
Secara asasnya, negeri-negeri seperti Selangor, Johor dan Kuala Lumpur mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, selain mencatatkan kadar kemalangan dan masalah trafik yang tinggi. Ia berbeza dengan negeri-negeri dengan kepadatan penduduk yang rendah seperti Perlis, Terengganu dan Kelantan. Oleh sebab itu, premium insurans di lokasi tertentu seperti Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur) dan Johor biasanya lebih mahal berbanding premium insurans di negeri-negeri lain.
Selain itu, jika kawasan anda berisiko kereta ditenggelami banjir atau bencana alam lain, anda juga mungkin akan dikenakan kadar bayaran premium yang lebih tinggi oleh syarikat insurans.
8. Rekod Pemanduan
Semasa anda memperbaharui insurans kereta, syarikat insurans biasanya akan meneliti sejarah pemanduan anda. Jika didapati kereta pernah terlibat dalam kemalangan, mempunyai rekod kesalahan trafik dan sebagainya, anda berkemungkinan besar akan dikenakan kadar premium yang lebih tinggi. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk pandu dengan cermat dan berhati-hati bukan sahaja untuk keselamatan diri, tetapi untuk mendapatkan harga premium insurans yang lebih berpatutan.
9. Polisi Tambahan
Sekiranya anda membuat apa-apa pertambahan pada polisi sedia ada seperti insurans cermin depan, peril khas dan sebagainya, anda perlu membayar premium yang lebih tinggi berbanding biasa. Di pasaran, terdapat pelbagai pelan insurans tambahan yang boleh anda pilih mengikut keperluan anda. Anda boleh mendapatkan sebut harga insurans bagi menentukan bajet yang sesuai dengan perlindungan yang anda mahukan.
Semak Harga Insurans Kereta Online, Cara Kira Insuran Kereta
Secara asasnya, harga insuran kereta bergantung pada jumlah perlindungan yang diinsuranskan, model kereta, sejarah tuntutan, kadar NCD kereta dan beberapa faktor-faktor lain. Untuk ketahui cara kira insurans kereta, anda boleh ikuti senario berikut – andaikan anda memiliki Perodua Myvi 1.5L yang sudah berusia lima tahun, berapa jumlah premium yang anda perlu bayar?
- Usia Kenderaan: Lima (5) tahun
- Kapasiti Enjin: 1500 cc
- Amaun yang Diinsuranskan: RM30,000
- Kelayakan NCD: 30 peratus
- Manfaat Tambahan: Insurans cermin depan
Anggaran jumlah premium yang perlu dibayar ialah RM795.43. Ini berdasarkan pengiraan seperti berikut:
- Premium Asas: RM1,069
- Tolak NCD Kereta (30 peratus): RM320.70
- Tambah Manfaat Tambahan: RM75
- Tolak Diskaun (10 peratus): RM82.33
- Tambah SST Enam Peratus: RM44.46
- Tambah Duti Setem: RM10
- Jumlah Premium Perlu Dibayar: RM795.43
(Nota: Harga dinyatakan adalah anggaran semata-mata. Harga ini mungkin berubah bergantung pada situasi)
Semoga perkongsian ini boleh membantu anda mengetahui faktor yang boleh mempengaruhi harga insuran kereta anda. Sekiranya anda sedang mempertimbangkan insurance kereta yang komprehensif dan terbaik untuk anda, anda boleh semak harga insurans kereta dengan layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans insurtech yang menyediakan pelbagai jenis insurans terbaik di Malaysia dengan jaminan proses beli insurans kenderaan yang selamat, berpatutan dan mudah.