Sebagai ibu bapa, antara salah satu perkara penting yang anda boleh lakukan untuk anak anda adalah daftar SSPN online untuk dijadikan sebagai tabung pendidikan bagi menjamin masa depan yang lebih baik. Artikel ini akan menjelaskan semua yang anda perlu tahu mengenai SSPN termasuk cara daftar SSPN online, cara keluarkan duit SSPN dan banyak lagi.
Kenapa Perlu Daftar Akaun SSPN?
Apa itu SSPN? Maksud SSPN adalah Skim Simpanan Pendidikan Nasional dan ia bertujuan untuk dijadikan tabung simpanan untuk pendidikan tinggi. Instrumen ini diwujudkan oleh pihak PTPTN untuk menggalakkan ibu bapa atau penjaga untuk mula membuat simpanan khas bagi tujuan anak-anak sambung belajar. Simpanan ini hanya boleh digunakan untuk anak anda belajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan sahaja.
Tabung pendidikan SSPN merupakan skim patuh syariah yang menggunakan konsep “Wakalah Bill Istithmar” yang bermaksud pendeposit melantik PTPTN untuk menguruskan deposit mereka untuk tujuan pelaburan. Namun begitu, tidak semua orang boleh membuka akaun SSPN kerana terdapat beberapa syarat utama yang perlu dipenuhi:
- Pendeposit dan penerima manfaat mestilah warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas;
- Pendeposit wajib mengisi borang potongan gaji atau auto debit, direct debit untuk bayaran komitmen bulanan;
- Hanya satu akaun boleh dibuka bagi penerima manfaat;
- Usia penerima manfaat adalah di antara satu hari sehingga umur mencapai 29 tahun;
- Penerima manfaat juga boleh menjadi pendeposit atau membuka akaun bagi diri sendiri;
- Pendeposit yang berbeza boleh membuka akaun SSPN bagi penerima manfaat yang sama dan tiada had bilangan akaun bagi setiap penerima manfaat.
Dividen Tahunan SSPN
Dengan membuat simpanan SSPN, anda sebagai pendeposit berpeluang untuk nikmati manfaat simpanan dan perlindungan serta layak menerima dividen pada kadar yang diisytiharkan. Berikut merupakan senarai kadar dividen SSPN untuk lima tahun yang terkini untuk rujukan anda:
Tahun | Kadar Dividen (%) |
2021 | 3.00 |
2020 | 4.00 |
2019 | 4.00 |
2018 | 4.00 |
2017 | 4.00 |
2 Jenis Akaun SSPN Online untuk Anda Pilih
Secara asasnya, terdapat dua jenis akaun untuk anda pilih iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus. Kedua-dua akaun ini mempunyai perbezaan di antara satu sama lain. Berikut adalah perbezaan yang anda perlu tahu:
1. Simpan SSPN Prime
Untuk pengetahuan anda, Simpan SSPN Prime ini dulunya dikenali sebagai SSPN-i. Penjenamaan semula ini dilakukan selaras dengan pelancaran produk simpanan baharu SSPN. Simpan SSPN Prime yang masih mengekalkan pelbagai manfaat dan keistimewaan yang ditawarkan sebelum ini.
SSPN Prime membolehkan anda menambah deposit mengikut jumlah yang anda mahu simpan pada bila-bila masa. Dengan kata lain, anda tiada komitmen bulanan kerana penambahan deposit dibuat secara sukarela dan mengikut kemampuan anda. Produk simpanan jangka panjang ini bertujuan untuk memupuk sifat menabung dalam kalangan ibu bapa bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak ketika mereka masih kecil. Berikut adalah kelebihan daftar akaun SSPN Prime:
- Simpanan dijamin kerajaan;
- Pulangan dividen yang kompetitif;
- Pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000;
- Layak memohon pinjaman PTPTN;
- Tiada komitmen bulanan;
- Takaful percuma sekiranya baki simpanan anda melebihi RM1,000.
Pendaftaran SSPN Prime Online
Sekiranya anda ingin tahu cara daftar SSPN Prime, anda boleh ikuti cara-cara di bawah:
-
- Layari laman web pendaftaran Simpan SSPN Prime (https://www.ptptn.gov.my/esmas-open-acc-web/#/openAccount);
- Isikan semua butiran seperti nama pendeposit, penerima manfaat, nombor kad pengenalan, pekerjaan, alamat semasa dan lain-lain;
- Masukkan amaun deposit bermula dari RM20 dan membuat pembayaran secara online;
- Pembayaran selesai dan pembukaan akaun anda berjaya dilaksanakan.
2. Simpan SSPN Plus
Simpan SSPN Plus dahulunya dikenali dengan nama SSPN i Plus menawarkan pelbagai manfaat untuk para pelanggan yang mahu menabung untuk tujuan pendidikan. Berbeza dengan SSPN Prime, jika anda memilih SSPN Plus, anda perlu membuat pembayaran bulanan yang konsisten setiap bulan dan jumlah ini bergantung kepada pakej yang anda pilih. Anda boleh membuka akaun simpanan SSPN Plus ini untuk diri sendiri, anak atau anak jagaan yang sah sahaja.
SSPN Plus kini menawarkan lebih banyak pilihan manfaat takaful melalui kerjasama dengan panel syarikat pengendali takaful iaitu Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLMT), Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dan Takaful Ikhlas Family Berhad (TIFB). Berikut adalah kelebihan mendaftar akaun SSPN Plus:
- Simpanan ini dijamin oleh pihak kerajaan;
- Layak memohon pinjaman PTPTN;
- Dapat pengecualian cukai ke atas simpanan bersih tahun semasa sehingga RM8,000;
- Pulangan dividen kompetitif dan konsisten;
- Manfaat takaful, pampasan kematian, 36 penyakit kritikal, khairat kematian dan elaun kemasukan hospital;
- Cabutan dan promosi yang memberikan hadiah lumayan kepada pendeposit;
- Elaun kemasukan hospital;
- Tiada pemeriksaan kesihatan;
- Manfaat perlindungan sehingga RM1.2 juta.
Pakej SSPN i Plus (Simpan SSPN Plus)
SSPN Plus menyediakan skim perlindungan takaful yang lebih murah dan komprehensif berbanding SSPN Prime. Pembayaran bulanan anda bergantung kepada pakej yang anda pilih. Anda boleh rujuk senarai pakej untuk pembukaan akaun Simpan SSPN Plus di bawah:
Pakej |
Bayaran Bulanan |
Intan |
RM30 |
Delima |
RM50 |
Topas |
RM100 |
Zamrud |
RM200 |
Nilam |
RM300 |
Berlian |
RM500 |
Cara Daftar SSPN Plus Online
SSPN Plus ini merupakan satu produk yang kompetitif dan menjadi pilihan utama rakyat Malaysia yang mahu buka akaun SSPN. Jika anda mahu membuka akaun SSPN Plus, ikuti langkah-langkah di bawah:
-
- Layari laman web SSPN Plus (https://www.ptptn.gov.my/sspniplusonline/registermain);
- Lengkapkan pendaftaran dengan memasukkan maklumat diperlukan seperti e-mel dan nombor kad pengenalan;
- Pilih pakej simpanan pilihan dan syarikat pengendali takaful;
- Lengkapkan maklumat akaun;
- Lengkapkan maklumat penerima manfaat;
- Masukkan jumlah pembayaran;
- Pilih kaedah potongan sama ada melalui perbankan internet atau potongan gaji secara auto debit atau direct debit;
- Semak semua maklumat yang telah diisi;
- Pastikan anda (√) pada kotak perakuan diri;
- Pendaftaran akaun baharu SSPN Plus selesai.
Cara Keluar Duit SSPN
Adakah anda boleh keluarkan duit dari akaun SSPN anda pada bila-bila masa terutama sekali sekiranya ada hal-hal tertentu yang tidak dapat dielakkan? Jawapannya bergantung kepada jenis akaun SSPN yang ada buka.
- SSPN Prime: Boleh dilakukan pada bila-bila masa tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan.
- SSPN Plus: Hanya boleh dikeluarkan selepas tiga tahun dari tarikh pembukaan akaun dan jumlah baki minimum yang perlu ada dalam akaun adalah RM1,000. Selepas tempoh tiga tahun, anda boleh mengeluarkan duit pada bila-bila masa.
Anda boleh keluarkan duit SSPN melalui kaunter PTPTN, mesin ATM dan secara online. Berikut adalah cara untuk mengeluarkan duit simpanan SSPN anda jika anda perlu gunakannya sewaktu anda memerlukan atau waktu kecemasan:
Cara Keluarkan Duit SSPN Secara Online
Anda kini boleh melakukan pengeluaran deposit SSPN secara online dengan membuat permohonan di portal penyata di laman web SSPN (https://www.ptptn.gov.my/penyatasp/Utama). Berikut adalah cara membuat pengeluaran duit SSPN online:
- Login SSPN dengan masukkan nombor kad pengenalan dan kata laluan anda;
- Pada halaman menu dalam sistem, pilih akaun simpanan yang ingin membuat pengeluaran;
- Anda akan boleh lihat baki penuh simpanan dan boleh pilih akaun untuk membuat pengeluaran;
- Isi maklumat pengeluaran seperti amaun yang ingin dikeluarkan, nombor akaun bank pendeposit, butiran e-mel pendeposit dan sebagainya;
- Klik ‘Hantar’ dan jika permohonan anda berjaya, pembayaran akan dikreditkan dalam tempoh 14 hari bekerja ke dalam akaun bank anda. Makluman juga akan diberikan melalui e-mel.
Cara Keluar Duit SSPN di Kaunter PTPTN
Anda juga boleh membuat pengeluaran duit SSPN anda dengan pergi ke cawangan PTPTN yang berdekatan dengan anda. Berikut adalah cara keluarkan duit SSPN di kaunter PTPTN:
- Minta borang di kaunter dan lengkapkan segala maklumat;
- Serahkan borang pengeluaran kepada pegawai bertugas di kaunter;
- Duit SSPN yang anda keluarkan akan dikreditkan ke akaun dalam masa yang ditetapkan dan selesai.
Cara Keluarkan Duit SSPN Melalui ATM
Satu lagi pilihan yang anda boleh pertimbangkan adalah keluarkan duit SSPN melalui mesin ATM. Hanya bank-bank yang terpilih seperti Bank Islam dan Bank Rakyat sahaja yang boleh digunakan untuk tujuan pengeluaran:
Pengeluaran SSPN Bank Islam
Jika anda memiliki akaun simpanan, akaun semasa atau akaun pelaburan di Bank Islam yang mempunyai BIDC-i, anda layak membuat pengeluaran wang SSPN. Sebelum itu, anda perlu link atau hubungkan akaun SSPN anda dengan akaun Bank Islam. Setelah anda berjaya hubungkan kad bank Islam dengan akaun SSPN, anda boleh mengeluarkan duit SSPN anda melalui ATM Bank Islam. Berikut adalah cara keluarkan wang SSPN melalui ATM bank Islam:
-
- Masukkan kad bank Islam dan masukkan nombor pin;
- Klik ‘teruskan’ dan anda akan dapat lihat butang pilihan Bank Islam, Tabung Haji dan SSPN;
- Pilih SSPN dan kemudian pilih ‘Pengeluaran Tunai;
- Masukkan jumlah duit yang ingin dikeluarkan;
- Transaksi yang berjaya akan dikenakan caj RM0.50 ke atas akaun SSPN anda;
- Klik teruskan dan proses keluarkan wang SSPN berjaya.
Pengeluaran SSPN Bank Rakyat
Untuk keluarkan duit SSPN di ATM Bank Rakyat, perkara paling penting anda perlu lakukan adalah hubungkan kad Bank Rakyat anda dengan akaun SSPN anda. Berikut adalah cara keluarkan wang SSPN melalui ATM bank Rakyat:
-
- Masukkan kad Bank Rakyat dan masukkan nombor pin;
- Tekan ‘Teruskan’ dan pilih ‘Pengeluaran Tunai’;
- Kemudian pilih SSPN;
- Masukkan jumlah duit yang ingin dikeluarkan;
- Transaksi yang berjaya akan dikenakan caj RM0.50 ke atas akaun SSPN anda;
- Klik teruskan dan proses keluarkan wang SSPN berjaya.
Menjamin Masa Depan Anak Anda, Buka Akaun SSPN Online
Simpanan SSPN ini merupakan satu inisiatif yang baik yang akan membantu anak anda dalam bab pendidikan mereka. Ramai ibu bapa di luar sana sudah mula menabung sejak anak-anak mereka masih kecil lagi bagi jaminan masa depan. Anda boleh membuat pilihan sama ada mahu membuka akaun Simpan SSPN Prime (SSPN-i) atau Simpan SSPN Plus (SSPN-i Plus) bergantung pada keperluan anda.
Selain SSPN, anda juga boleh membuat simpanan anak anda di Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera, simpanan tetap dan banyak lagi. Yang paling penting di sini, anda perlu mula menyimpan dari awal kerana kos sambung belajar terutama sekali di IPTA atau IPTS mungkin akan memakan kos yang sangat tinggi.
Dengan kata lain, anda tidak perlulah menggunakan duit simpanan atau duit KWSP anda untuk menampung kos pembelajaran anak di universiti kerana wang simpanan dalam tabung simpanan anak sudah mencukupi. Bukan itu sahaja, anda juga akan dapat membuat perancangan kewangan dengan lebih baik untuk masa depan keluarga anda.
Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans kereta terbaik dengan perlindungan menyeluruh termasuk perlindungan insurans banjir, layari laman web Qoala, platform insurans terbaik di Malaysia untuk info lanjut.