Fahami Risiko Pelaburan, Cakna Risiko Sebelum Melabur

Kali terakhir diperbaharui May 31, 2023 oleh Shafiq Wahab
Fahami Risiko Pelaburan, Cakna Risiko Sebelum Melabur

Meskipun banyak berita memaparkan penipuan pelaburan, masih ramai lagi masyarakat yang mudah percaya dan terpedaya. Kes penipuan skim pelaburan atau penipuan scammer mudah berlaku kerana sikap individu yang kurang cakna terhadap risiko pelaburan dan mengharapkan keuntungan segera dalam tempoh yang singkat. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, seramai 1.7 juta mangsa sindiket pelaburan dilaporkan dalam tempoh empat tahun dengan anggaran kerugian sebanyak RM4.9 bilion.

Ambil Kira Risiko Pelaburan, 4 Risiko Biasa yang Anda Perlu Tahu

Risiko pelaburan secara umumnya berkait rapat dengan keuntungan atau kerugian yang bakal diperoleh. Ini bermaksud, semakin tinggi risiko, semakin banyak pulangan pelaburan (atau risiko kerugian) yang bakal diperoleh. Secara asasnya, setiap instrumen pelaburan mempunyai risiko dan pulangan yang tersendiri.

Namun begitu, apa yang dimaksudkan dengan risiko pelaburan? Secara asasnya, risiko pelaburan merujuk kepada ketidakpastian atau potensi kerugian yang wujud dalam pelaburan. Dalam erti kata lain, ada kemungkinan setiap pelaburan yang anda sertai menerima kadar pulangan yang kurang atau pelaburan menanggung kerugian berbanding jangkaan.

Oleh sebab itu, anda perlu sentiasa bersedia dengan segala risiko yang mungkin dihadapi dalam pasaran saham. Berikut antara risiko yang sering dihadapi oleh pelabur:

1. Risiko Inflasi

Inflasi memberi kesan kepada kuasa beli pengguna. Ia juga menyebabkan nilai wang semakin mengecil dan berlaku kenaikan harga barangan. Jika dahulu sekeping duit RM50 boleh membeli pelbagai jenis barangan keperluan harian.

Namun kini nilai tersebut hanya mampu membeli sebotol minyak masak dan lampin pakai buang sahaja. Sebagai pelabur, anda perlu mengambil kira potensi pulangan yang bakal diperoleh dan memastikan ia melebihi kadar inflasi semasa untuk memaksimumkan keuntungan.

2. Risiko Pasaran

Risiko pasaran merupakan salah satu risiko yang bakal dihadapi oleh pelabur. Secara asasnya, risiko pasaran berkait rapat dengan naik turun pasaran saham. Ia juga dipengaruhi oleh faktor-faktor semasa seperti ketidakpastian ekonomi, keadaan politik dan sebagainya.

Sebagai contoh, turun naik harga emas hari ini di Malaysia berkait rapat dengan faktor-faktor semasa seperti ekonomi dan politik dunia, permintaan, inflasi dan harga minyak serta harga dolar USD.

3. Risiko Kadar Faedah

Apabila berlaku sesuatu perubahan yang tidak dijangka terhadap kadar faedah, sekuriti pendapatan tetap seperti bon akan menerima kesan yang setara. Sekuriti pendapatan tetap sangat sensitif kepada risiko kadar faedah – ia memberi impak langsung sekiranya ada perubahan pada kadar faedah. Biasanya, nilai bon akan jatuh sekiranya kadar faedah meningkat.

4. Risiko Kredit

Selain itu, risiko kredit juga merupakan salah satu risiko yang perlu dipertimbangkan ketika membuat pilihan pelaburan anda. Jika berlaku situasi penerbit bon atau sukuk tidak mampu atau gagal membayar pulangan kepada pelabur disebabkan muflis atau sebagainya, anda mungkin akan menerima impak yang setara.

Pemegang bon berkemungkinan tidak akan menerima faedah atau prinsipal yang dijanjikan jika syarikat yang mengeluarkan bon mengalami masalah kewangan.

5 Strategi untuk Menguruskan Risiko Pelaburan

Pengurusan risiko pelaburan merupakan salah satu elemen penting dalam memastikan anda tidak mengalami kerugian yang besar. Jika pelaburan diuruskan dengan baik, ia dapat membantu anda memaksimumkan keuntungan. Berikut merupakan lima cara yang boleh anda pertimbangkan untuk mengurangkan risiko sebelum melabur:

1. Pelbagaikan Pelaburan Anda

Anda tidak digalakkan untuk menumpukan kepada satu instrumen pelaburan sahaja dan mempelbagaikan pelaburan anda. Ini kerana, setiap pelaburan mempunyai impak kerugian (atau potensi keuntungan) yang tersendiri.

Dengan mempelbagaikan instrumen pelaburan anda, ia secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan risiko kerugian dan memaksimumkan keuntungan anda.

Anda boleh pertimbangkan medium pelaburan seperti Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputra (ASB), unit amanah dan sebagainya.

2. Risiko Pelaburan: Fahami Pelaburan Anda

Secara asasnya, setiap pelaburan yang anda sertai menawarkan tahap kerugian dan keuntungan yang berbeza bergantung pada jenis pelaburan yang anda lakukan. Oleh sebab itu, anda perlu ambil tahu setiap instrumen pelaburan yang anda sertai.

Pengetahuan yang jelas mengenai pelaburan yang disertai dapat mengurangkan risiko pelaburan yang mungkin dihadapi. Fahami potensi risiko, kaji pulangan faedah atau dividen dan prestasi setiap jenis pelaburan yang disertai bagi memastikan pelaburan anda tidak mendatangkan kerugian.

risiko pelaburan

3. Tetapkan Objektif dan Matlamat Pelaburan Anda

Sebelum terlibat dalam mana-mana pelaburan, anda perlu menentukan objektif dan matlamat pelaburan anda. Tanpa objektif dan matlamat yang jelas, ia mungkin akan menyukarkan anda untuk membuat keputusan dan memilih instrumen pelaburan yang sesuai untuk anda.

Antara matlamat biasa yang ditentukan adalah seperti simpanan persaraan, pengurusan hutang, pendidikan anak-anak, mengerjakan haji dan umrah dan sebagainya.

4. Risiko Pelaburan: Ketahui Toleransi Risiko Anda

Setiap pelaburan yang anda sertai mungkin berisiko mengalami kerugian. Oleh sebab itu, anda perlu mengenal pasti tahap toleransi risiko anda. Dengan mengenal pasti tahap toleransi risiko, ia dapat membantu anda memilih jenis pelaburan dan membina portfolio pelaburan yang terbaik dan sesuai untuk anda.

Sebagai contoh, jika tahap risiko anda sederhana (bukan seorang yang suka mengambil risiko), anda boleh memilih pelaburan risiko rendah (skala konservatif) seperti Pelaburan Saham Koperasi Bank Rakyat, Dana Pasaran Wang atau Pelaburan Takaful.

Namun jika anda seorang yang suka mengambil risiko, anda boleh mempertimbangkan pelaburan risiko tinggi yang lebih agresif.

5. Jangka Masa Pelaburan

Jangka masa pelaburan merupakan salah satu toleransi kerugian yang perlu anda pertimbangkan sebelum memilih pelaburan yang sesuai untuk anda. Semakin lama tempoh pelaburan anda, semakin selamat dan semakin tinggi keuntungan pelaburan anda. Di Malaysia, caruman KWSP merupakan salah satu contoh pelaburan jangka panjang terbaik yang boleh anda pilih.

Elak Kesilapan dalam Pelaburan untuk Minimumkan Kerugian

Risiko semestinya sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan seharian. Namun begitu, anda boleh meminimumkan kerugian dengan mengamalkan strategi pelaburan yang betul. Anda disarankan untuk menganalisis, mengkaji dan melakukan penilaian secara menyeluruh sebelum membuat keputusan yang terbaik untuk masa depan anda.

Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans kereta terbaik, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans terbaik di Malaysia dengan jaminan proses beli insurans yang selamat, berpatutan dan mudah.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60