6 Pinjaman Pendidikan yang Anda Boleh Pertimbangkan

Kali terakhir diperbaharui May 12, 2023 oleh Syazwani Yahya
6 Pinjaman Pendidikan yang Anda Boleh Pertimbangkan

Pendidikan merupakan satu pelaburan jangka panjang yang penting dalam hidup anda. Memang tidak dinafikan, tidak semua pelajar mampu menanggung sendiri kos atau boleh ditanggung oleh keluarga untuk sambung belajar yang boleh memakan perbelanjaan yang sangat besar. Oleh sebab itu, mengambil pinjaman pendidikan merupakan satu alternatif yang wajar dipertimbangkan.

Perlu Ambil Pinjaman Pendidikan Untuk Sambung Belajar?

Salah satu faktor utama yang menyebabkan seseorang membuat keputusan untuk mengambil pinjaman pendidikan adalah kos sambung belajar itu sendiri. Kos untuk meneruskan pengajian bergantung kepada jenis universiti yang anda pilih iaitu sama ada IPTA atau IPTS. Seperti yang anda mungkin sudah sedia maklum, kos pengajian di IPTS jauh lebih tinggi dan boleh mencapai puluhan hingga ratusan ribu ringgit berbanding kos pengajian di IPTA.

Sekiranya ibu bapa tidak mengambil langkah awal seperti menyediakan simpanan untuk anak sambung belajar melalui SSPN atau insurans pendidikan, maka pinjaman pendidikan adalah langkah yang wajar diambil sekiranya anda mahu menyambung pengajian. Ini bermakna anda mungkin perlu membayar balik hutang pinjaman tersebut selepas tamat pengajian. Berikut adalah antara sebab anda patut memohon pinjaman pendidikan:

Akses Pendidikan

Pinjaman pendidikan boleh memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pendidikan yang  sebelumnya tidak mampu ditanggung oleh keluarga mereka.

Peluang Kerjaya

Dengan mendapatkan pendidikan yang lebih tinggi, anda sebagai pelajar akan dapat meningkatkan peluang untuk memperoleh pekerjaan yang lebih baik dengan gaji yang berbaloi.

Bantuan Kewangan

Pinjaman pendidikan boleh bertukar menjadi sumber bantuan kewangan untuk membantu pelajar membayar kos pendidikan mereka dan mengurangkan beban kewangan keluarga mereka. Contohnya seperti PTPTN, jika anda mendapat first class degree, anda berkemungkinan besar boleh mendapat pengecualian PTPTN yang bermaksud anda tidak perlu membayar semula pinjaman pendidikan anda.

Bina Skor Kredit

Anda juga boleh mula membina skor kredit anda apabila anda mula membayar semula pinjaman pendidikan anda. Skor kredit yang baik akan meningkatkabn permohonan pinjaman anda diluluskan seperti loan rumah, kad kredit dan lain-lain. Disebabkan ini, anda harus pastikan anda menggunakan pinjaman pelajar anda secara bertanggungjawab dan sentiasa membuat bayaran bulanan anda.

ptptn pinjaman pendidikan

Jenis Pinjaman Pendidikan yang Anda Boleh Mohon

Pinjaman pendidikan di Malaysia boleh diperoleh melalui beberapa institusi kewangan seperti bank, koperasi, dan institusi kerajaan. Anda boleh memilih untuk memohon pinjaman pendidikan daripada salah satu jenis pinjaman pendidikan di bawah ini:

1. Pinjaman Pendidikan PTPTN

Pinjaman ini ditawarkan oleh kerajaan Malaysia untuk pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi. Dengan mengambil pinjaman PTPTN, kos pengajian, termasuk yuran pengajian, kos asrama, dan kos sara hidup akan ditanggung oleh pinjaman ini. Selain itu, pelajar yang mendapat pinjaman PTPTN mempunyai tempoh bayaran balik yang fleksibel, bergantung kepada jumlah pinjaman dan pendapatan selepas tamat pengajian.

Kadar bayaran balik pinjaman PTPTN adalah berdasarkan kepada kemampuan pelajar yang telah tamat pengajian, dengan kadar bayaran yang lebih rendah bagi mereka yang pendapatan mereka rendah. Pinjaman PTPTN juga menawarkan kadar faedah yang lebih rendah berbanding pinjaman dari institusi kewangan lain. Jika bayaran balik PTPTN tidak dilakukan mengikut jadual, anda akan dikenakan tindakan tegas daripada pihak PTPTN.

Cara Mohon PTPTN

Untuk memohon pinjaman PTPTN, anda perlu mengikuti langkah-langkah berikut:

    1. Layari laman web PTPTN di https://www.ptptn.gov.my/ dan klik pada pautan “Permohonan Pembiayaan” di bahagian atas halaman;
    2. Pilih jenis pembiayaan yang anda ingin memohon (contohnya, Pembiayaan Pengajian Tinggi atau SSPN-i Plus);
    3. Isi borang permohonan dengan maklumat peribadi anda termasuk maklumat keluarga, pendidikan, dan kewangan;
    4. Sediakan dokumen sokongan seperti salinan kad pengenalan, salinan slip gaji atau penyata bank ibu bapa, surat tawaran pengajian dari institusi pengajian tinggi, dan lain-lain dokumen yang berkaitan;
    5. Lengkapkan borang permohonan dan muat naik dokumen sokongan ke laman web PTPTN;
    6. Setelah permohonan anda diproses, PTPTN akan memberikan keputusan samada lulus atau tidak untuk pinjaman anda.

2. Pinjaman Pendidikan Bank

Anda boleh mendapat pinjaman daripada institusi kewangan seperti bank-bank tempatan dan luar negara untuk pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi. Pinjaman pendidikan daripada pihak bank menawarkan beberapa kelebihan seperti kelajuan permohonan dan pemprosesan yang lebih cepat, keluasan pilihan jenis pinjaman, dan kelajuan pengeluaran.

Antara bank yang menawarkan pinjaman ini adalah pinjaman pendidikan Bank Rakyat yang menawarkan Pembiayaan Pelajaran Boleh Ubah (PBBU Bank Rakyat), pinjaman pendidikan Bank Islam dan pinjaman pendidikan Maybank.

Cara Mohon Pinjaman Pendidikan Bank

Berikut adalah cara-cara untuk memohon pinjaman pendidikan daripada bank:

    1. Cari bank yang menawarkan pinjaman pendidikan;
    2. Semak kelayakan yang diperlukan untuk memohon pinjaman tersebut. Pastikan untuk memahami syarat-syarat dan kadar faedah yang dikenakan sebelum membuat permohonan;
    3. Buat permohonan dengan mengisi borang permohonan yang disediakan oleh bank;
    4. Lampirkan semua dokumen yang diperlukan seperti surat tawaran pengajian, pengesahan pendapatan, dan dokumen peribadi lain yang diperlukan.

Selepas permohonan diluluskan, bank akan mengeluarkan pinjaman pendidikan kepada pelajar. Pelajar perlu memastikan bahawa mereka membayar balik pinjaman secara tepat pada masa yang ditetapkan. Perlu diingatkan setiap bank mungkin mempunyai prosedur yang tersendiri. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk menghubungi pihak bank terlebih dahulu sebelum membuat permohonan.

3. Pinjaman Pendidikan Swasta

Pinjaman pendidikan swasta adalah jenis pinjaman yang diberikan oleh institusi kewangan swasta seperti syarikat kewangan, koperasi atau bank untuk tujuan membiayai kos pengajian pelajar di institusi pendidikan swasta. Pinjaman pendidikan swasta biasanya menawarkan jumlah pinjaman yang lebih tinggi berbanding dengan PTPTN atau bank, tetapi dengan kadar faedah yang lebih tinggi juga.

Anda perlu mempertimbangkan baik-baik sebelum memohon pinjaman pendidikan swasta dan memastikan bahawa anda boleh membayar balik pinjaman tersebut. Oleh sebab itu, fahami terma dan syarat yang dikenakan oleh institusi kewangan sebelum membuat keputusan untuk memohon pinjaman pendidikan swasta.

Cara Mohon Pinjaman Pendidikan Swasta

Berikut adalah beberapa langkah untuk memohon pinjaman pendidikan swasta:

    1. Cari institusi kewangan yang menawarkan pinjaman pendidikan swasta;
    2. Lengkapkan borang permohonan pinjaman pendidikan dan lengkapkan semua maklumat peribadi dan maklumat pendidikan yang diperlukan;
    3. Sediakan dokumen-dokumen yang diperlukan seperti salinan kad pengenalan, surat tawaran pengajian dan dokumen peribadi lain yang diperlukan oleh institusi kewangan.
    4. Tunggu kelulusan permohonan: Selepas permohonan pinjaman dilengkapkan dan dokumen-dokumen diserahkan, institusi kewangan akan menilai kelayakan pemohon dan membuat keputusan sama ada permohonan diluluskan atau ditolak.

jpa pidn

4. Pinjaman Pendidikan Yayasan

Pinjaman ini ditawarkan oleh yayasan atau badan amal untuk tujuan membiayai kos pengajian pelajar. Yayasan atau badan amal ini biasanya menawarkan pinjaman dengan kadar faedah yang lebih rendah atau bahkan tanpa faedah, bergantung kepada polisi dan keperluan yayasan tersebut.

Yayasan atau badan amal ini juga biasanya menawarkan bantuan kewangan lain seperti biasiswa atau sumbangan untuk membantu pelajar menguruskan kos pengajian mereka. Antara yayasan yang menawarkan pinjaman pendidikan adalah Pinjaman Boleh Ubah Yayasan Selangor, Pinjaman Boleh Ubah Yayasan Tenaga Nasional (YTN) dan lain-lain lagi.

Cara Mohon Pinjaman Pendidikan Yayasan

Berikut adalah beberapa langkah untuk memohon pinjaman pendidikan dari yayasan:

    1. Cari yayasan yang menawarkan pinjaman pendidikan;
    2. Semak kelayakan yang diperlukan untuk memohon pinjaman tersebut. Pastikan untuk memahami syarat-syarat dan polisi pinjaman yang dikenakan oleh yayasan tersebut;
    3. Lengkapkan borang permohonan pinjaman pendidikan dan lengkapkan semua maklumat peribadi dan maklumat pendidikan yang diperlukan;
    4. Sediakan dokumen-dokumen yang diperlukan seperti salinan kad pengenalan, surat tawaran pengajian dan dokumen peribadi lain yang diperlukan oleh yayasan.
    5. Selepas permohonan pinjaman dilengkapkan dan dokumen-dokumen diserahkan, yayasan akan menilai kelayakan pemohon dan membuat keputusan sama ada permohonan diluluskan atau ditolak.

5. Pinjaman Pendidikan MARA

Kelayakan dan syarat-syarat untuk memohon Pinjaman Pendidikan MARA bergantung kepada jenis pinjaman yang dipohon dan terdapat beberapa langkah yang perlu diambil untuk memohon pinjaman tersebut. Oleh sebab itu, anda perlu memahami dengan jelas terma dan syarat yang dikenakan oleh MARA sebelum membuat keputusan untuk memohon pinjaman pendidikan dari MARA.

Cara Mohon Pinjaman MARA

Berikut adalah langkah-langkah untuk memohon pinjaman pendidikan dari MARA:

    1. Pastikan anda memenuhi syarat-syarat kelayakan seperti mempunyai gred purata minimum yang ditetapkan dan memenuhi kriteria lain yang diperlukan;
    2. Pilih jenis pinjaman yang sesuai dengan keperluan pendidikan anda;
    3. Lengkapkan borang permohonan pinjaman MARA dan lampirkan dokumen-dokumen yang diperlukan seperti salinan kad pengenalan, surat tawaran pengajian dan dokumen peribadi lain yang diperlukan oleh MARA;
    4. Serahkan permohonan pinjaman MARA dan dokumen-dokumen yang diperlukan ke MARA melalui portal permohonan dalam talian atau ke pejabat MARA yang berdekatan. Pastikan bahawa permohonan diserahkan sebelum tarikh tutup permohonan;
    5. Selepas permohonan diserahkan, MARA akan menilai kelayakan anda dan membuat keputusan sama ada permohonan diluluskan atau ditolak. Anda akan diberitahu tentang keputusan melalui surat atau mesej.

6. Pinjaman Pendidikan JPA PIDN

Pinjaman Pendidikan JPA PIDN (Program Ijazah Dalam Negara) adalah program pinjaman yang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi pelajar yang ingin menuntut dalam program ijazah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau politeknik di Malaysia. Program ini ditawarkan kepada pelajar berprestasi yang berpotensi dan memerlukan kewangan untuk menampung kos pengajian mereka.

Pelajar yang memenuhi syarat boleh memohon untuk mendapatkan pinjaman Pendidikan JPA PIDN melalui sistem permohonan dalam talian yang disediakan oleh JPA. Permohonan biasanya dibuka pada setiap tahun bergantung kepada keperluan dan belanjawan yang disediakan oleh kerajaan.

Cara Mohon Pinjaman Pendidikan JPA PIDN

Untuk memohon Pinjaman Pendidikan JPA PIDN, anda perlu mengikuti langkah-langkah berikut:

    1. Lawati laman web rasmi JPA di https://www.jpa.gov.my/ dan cari butang permohonan pinjaman pendidikan.
    2. Daftar akaun dalam talian dan lengkapkan semua maklumat yang diperlukan dalam borang permohonan. Pastikan maklumat yang diberikan adalah tepat dan lengkap.
    3. Muat naik dokumen-dokumen yang diperlukan seperti transkrip akademik terkini, salinan kad pengenalan, surat tawaran pengajian dan lain-lain.
    4. Sertai surat pengesahan pendapatan keluarga dan bukti pendapatan ibu bapa atau penjaga.
    5. Pastikan anda membaca dan memahami terma dan syarat yang dikenakan oleh JPA sebelum membuat permohonan.
    6. Hantar permohonan dalam talian dan tunggu kelulusan daripada JPA.

Selepas mendapat kelulusan, anda perlu menandatangani perjanjian pinjaman dengan JPA dan menjalani sesi kemasukan sebagai syarat untuk menerima pinjaman. Pelajar perlu membayar balik jumlah pinjaman selepas tamat pengajian dalam tempoh yang ditetapkan oleh JPA.

pinjaman mara pendidikan

Apa Lagi yang Anda Perlu Tahu Tentang Pinjaman Pendidikan?

Sebelum memohon pinjaman pendidikan, anda juga perlu mempertimbangkan kekurangannya. Pertama sekali, anda sudah mula berhutang walaupun anda masih belum mendapat pekerjaan lagi. Dengan kata lain, hidup anda bermula dengan hutang. Ini boleh meningkatkan komitmen kewangan anda di masa depan apabila anda ingin membuat pinjaman yang lain, seperti untuk beli kereta atau beli rumah, atau mengambil pelan insurans kesihatan dan sebagainya.

Selain itu, terdapat beberapa kelemahan lain yang perlu diambil kira, seperti bunga pinjaman yang dikenakan. Jumlah bayaran balik yang diperlukan mungkin akan meningkat akibat daripada jumlah bunga yang perlu dibayar. Tambahan pula, beberapa jenis pinjaman pendidikan memerlukan jaminan seperti cagaran atau penjamin.

Hal ini mungkin menyukarkan pelajar yang tidak mempunyai cagaran yang mencukupi. Oleh itu, adalah penting untuk mempertimbangkan keseluruhan kos dan tanggungjawab sebelum membuat keputusan untuk memohon pinjaman pendidikan. Semoga artikel ini dapat membantu anda memahami lebih lanjut tentang pinjaman pendidikan di Malaysia dan membolehkan anda membuat keputusan yang bijak dalam memperoleh pinjaman tersebut.

Selain itu, jika anda ingin mendapatkan perlindungan insurans kereta yang komprehensif untuk kereta anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform perbandingan insurans online terbaik di Malaysia. Anda boleh mendapatkan insurans kereta terbaik di Malaysia dengan tawaran proses yang mudah dan pantas pada harga yang menarik dan berpatutan.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60