Perancangan Persaraan: Berapa Banyak Perlu Simpan?

Kali terakhir diperbaharui Nov 22, 2023 oleh Shafiq Wahab
Perancangan Persaraan: Berapa Banyak Perlu Simpan?

Selepas bekerja dalam tempoh 30 sehingga 40 tahun, anda mesti mahu bersara dengan tenang dan tidak perlu memikirkan masalah duit lagi kan? Perancangan persaraan merupakan satu perkara yang harus diambil berat walaupun anda mungkin merasakan masih lama lagi untuk anda bersara. Artikel ini akan menerangkan cara menentukan wang persaraan anda. 

Berapa Jumlah Wang yang Anda Perlukan untuk Bersara? 

Jika anda merupakan pekerja sektor swasta, akan tiba satu masa nanti yang anda hanya akan bergantung kepada wang simpanan atau wang KWSP anda sahaja. Berbeza dengan pekerja sektor kerajaan yang kebiasaannya akan mendapat duit pencen setiap bulan selepas persaraan, anda sebagai persara sektor swasta akan menerima wang dalam jumlah yang banyak sekaligus melalui akaun KWSP anda. 

Salah satu cabaran yang paling besar apabila anda menerima wang dalam jumlah yang banyak sebegini adalah memastikan anda boleh menggunakannya sebaik mungkin dan berjimat dengan jumlah tersebut dalam tempoh yang panjang sekitar 15 sehingga 20 tahun. Wang yang anda terima inilah yang akan digunakan untuk menanggung perbelanjaan bulanan anda selepas bersara. 

Oleh sebab itu, anda perlu mempertimbangkan perkara ini dengan serius kerana situasi kewangan anda memainkan peranan yang sangat penting apabila anda bersara nanti. Perancangan persaraan yang baik dan strategik akan dapat membantu anda lebih bersedia menghadapi segala cabaran yang bakal muncul. 

Jumlah Wang yang Disarankan untuk Bersara  

Jawapan untuk persoalan ini adalah subjektif kerana ia bergantung kepada gaya hidup anda sendiri ataupun gaya hidup yang anda idamkan selepas persaraan. Anda juga perlu ambik kira jumlah tanggungan yang anda ada serta jumlah komitmen hutang yang anda perlu langsaikan seperti loan kereta atau pinjaman perumahan.  

Pihak KWSP telah menyarankan jumlah wang minimum untuk bersara sekitar RM228,000 sehingga RM240,000 bermula 1 Januari 2019. Namun begitu, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang tidak mampu pun untuk mencapai amaun ini apabila mencapai umur bersara iaitu 55 tahun.

Secara kasarnya, jumlah yang disarankan ini masih belum mencukupi. Bayangkan jika anda bersara pada umur 55 tahun, untuk anda menjalani kehidupan untuk tempoh 20 tahun yang akan datang selepas persaraan dengan jumlah tersebut, anda hanya boleh menggunakan sekitar RM1,000 sebulan sahaja. 

Walau bagaimanapun, jumlah ini ditentukan untuk perbelanjaan keperluan harian sahaja. Untuk anda menikmati persaraan yang selesa, anda mungkin perlu memerlukan wang yang lebih untuk perbelanjaan perubatan, tanggungan keluarga, insurans, percutian dan hiburan dan sebagainya.

Setiap individu mempunyai gaya hidup yang berbeza-beza dan anda mungkin akan berbelanja lebih daripada RM1,000 sebulan terutama sekali jika anda mempunyai tanggungan seperti ahli keluarga. Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan saranan jumlah wang perbelanjaan yang anda perlu sediakan pada setiap bulan bergantung kepada tiga kategori:

Kategori Jumlah Perbelanjaan Bulanan yang Disarankan oleh Bank Negara
Dewasa Bujang RM2,700
Pasangan tanpa Anak RM4,500
Pasangan dengan Dua Orang Anak RM6,500

Berdasarkan jumlah perbelanjaan yang disarankan oleh Bank Negara Malaysia ini, anda akan menghadapi kesukaran untuk mengharungi hari-hari persaraan dengan wang simpanan RM240,000 seperti yang telah disarankan oleh pihak KWSP. Untuk hidup dalam masa 15 hingga 20 tahun akan datang dengan selesa, anda akan memerlukan simpanan yang lebih banyak.

Contohnya, individu yang berstatus bujang memerlukan RM2,700 sebulan berdasarkan saranan Bank Negara. Ini bermakna, individu tersebut memerlukan simpanan sekitar RM500,000 sehingga RM600,000 untuk menjalani kehidupan dengan selesa setelah bersara kelak.

Faktor-faktor yang Anda Perlu Pertimbangkan Sebelum Bersara 

Berikut merupakan komitmen kewangan lain yang anda mungkin perlu tanggung selepas anda bersara:

  • Tanggungan kewangan untuk pasangan, anak atau tanggungan-tanggungan lain
  • Yuran pengajian anak-anak
  • Pinjaman Perumahan atau komitmen hutang lain yang belum diselesaikan
  • Membeli polisi insurans baharu jika anda sebelum ini bergantung pada perlindungan yang disediakan oleh syarikat atau anda sudah mencapai had umur polisi sedia ada
  • Kadar inflasi kerana harga barang berkemungkinan besar tidak akan kekal sama dan akan naik pada masa depan
  • Gaya hidup anda seperti kekerapan anda mahu keluar bercuti, makan di luar dan sebagainya 

berapa simpanan untuk bersara

5 Tips Simpanan Persaraan

Tidak kiralah sama ada anda masih ada sekitar10, 20 ataupun 30 tahun lagi, anda perlu memikirkan kehidupan selepas persaraan daripada sekarang. Apabila anda sudah ketahui jumlah wang yang anda perlukan untuk bersara dan tempoh yang anda ada sebelum bersara, anda perlu mencari jalan terbaik untuk mencapai sasaran anda. Ikuti lima tips simpanan persaraan di bawah ini:

1. Mengira Kos Perbelanjaan Bulanan

Penting untuk anda menentukan bajet perbelanjaan setiap bulan dengan wang yang anda akan terima dalam jumlah yang banyak daripada KWSP. Anda perlu merancang belanjawan anda atau kenal pasti cara uruskan duit gaji anda untuk supaya anda boleh meningkatkan jumlah simpanan sedia ada. 

Asingkan perbelanjaan anda kepada perkara yang anda perlukan dan perkara yang anda inginkan. Utamakan perbelanjaan untuk perkara yang anda rasa lebih mustahak dan kurangkan perbelanjaan yang anda tidak perlukan.

Selepas bersara, anda tidak lagi mendapat sumber pendapatan setiap bulan, melainkan anda memilih untuk bekerja secara part time. Misi anda adalah memastikan yang anda boleh bertahan dengan jumlah simpanan anda selepas persaraan nanti.

2. Membuat Pelaburan 

Pelaburan boleh bantu meningkatkan jumlah simpanan persaraan anda dan ini merupakan satu pilihan yang anda boleh pertimbangkan. Jenis pelaburan terbahagi kepada dua iaitu pelaburan risiko rendah dan pelaburan risiko tinggi. Mana satu yang patut anda pilih? 

Pilihan ini wajar dibuat bergantung kepada situasi dan umur anda. Sekiranya anda sudah menghampiri umur persaraan, anda disarankan untuk melabur di platform pelaburan yang mempunyai risiko lebih rendah seperti Skim Persaraan Swasta (PRS), pelaburan ASB, Tabung Haji, Takaful dan sebagainya. 

Jika anda masih muda dan baru bekerja dan ingin merancang persaraan anda, anda boleh mempertimbangkan untuk membuat pelaburan yang lebih berisiko tinggi seperti saham. Namun begitu, pastikan anda melakukan penyelidikan komprehensif sebelum membuat pelaburan. Selain itu, anda juga boleh melabur di platform risiko rendah jika anda tidak mahu mengambil risiko yang tinggi.

3. Jangan Keluarkan Duit Simpanan KWSP Jika Tidak Perlu

Meskipun kerajaan baru-baru ini membenarkan pengeluaran sebahagian daripada akaun 2 KWSP secara one-off sebanyak RM10,000, ini tidak bermaksud anda perlu mengeluarkannya. Anda tidak digalakkan untuk mengeluarkannya melainkan anda memang terdesak memerlukan wang tersebut untuk tujuan-tujuan tertentu terutamanya bagi meneruskan kelangsungan hidup. Elakkan mengeluarkan duit ini untuk pelaburan atau sebagai modal perniagaan.

Ingat, tujuan simpanan KWSP anda adalah untuk persaraan anda. Ini bermaksud, mengeluarkan simpanan KWSP anda sekarang bermakna wang persaraan anda akan berkurangan. Duit KWSP RM10,000 bukanlah jumlah yang sedikit. Bayangkan dengan kadar dividen KWSP sebanyak enam peratus setahun, RM10,000 boleh bertambah menjadi RM17,908 selepas 10 tahun, menjadi RM32,071 selepas 20 tahun dan menjadi RM57,434 selepas 30 tahun.

4. Berhati-hati dengan Scammer 

Banyak kes scam yang terjadi di Malaysia biasanya berlaku pada golongan yang menghampiri umur persaraan ataupun yang sudah bersara. Scammer yang mempunyai kebolehan yang tinggi boleh ‘bau’ duit yang banyak yang masuk atau bakal masuk ke dalam akaun anda. Jika anda selalu baca berita, anda akan dapati ramai pesara yang kehilangan semua wang simpanan persaraan mereka disebabkan terpedaya dengan tipu helah scammer

Biasanya, pihak scammer akan menjanjikan pulangan wang yang tinggi dalam masa yang singkat. Bagi anda yang mungkin ingin menggandakan simpanan untuk persaraan, ia mungkin boleh menarik minat anda untuk terjebak dengan skim sebegini. Oleh sebab itu, jika anda ditawarkan untuk masukkan wang anda ke dalam skim yang mencurigakan dan menjanjikan pulangan yang tinggi yang tidak masuk akal, jangan terburu-buru membuat keputusan dan dapatkan nasihat pakar kewangan anda. 

5. Selesaikan Semua Pinjaman Sedia Ada Secepat Mungkin

Sebolehnya, rancang hutang dan komitmen anda bermula sekarang. Elakkan daripada berbelanja atau berhutang melebihi kemampuan anda. Jika perlu, simpan duit terlebih dahulu sebelum beli barangan yang anda perlukan untuk mengelakkan komitmen terkumpul yang tinggi sehingga mencapai umur persaraan.

Jika boleh, apabila anda bersara nanti hanya tinggal sekurang-kurangnya satu loan sahaja untuk anda selesaikan. Dengan cara ini, anda dapat menikmati persaraan anda dengan lebih baik dan anda tidak perlu pening kepala untuk memikirkan komitmen dan hutang lain yang perlu ditanggung.

simpanan persaraan

Mulakan Perancangan Persaraan Anda Hari Ini

Perancangan persaraan yang baik akan membantu anda menikmati kehidupan yang lebih tenang pada masa akan datang. Jika anda masih belum mula merancang kehidupan selepas bersara, anda disarankan untuk mula memikirkan mengenai perkara ini bermula daripada sekarang. Ini kerana, perancangan persaraan akan memakan masa bertahun untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Diharapkan perkongsian artikel kali ini dapat membantu anda.

Sekiranya anda sedang mencari insurans kereta terbaik, anda boleh dapatkannya di Qoala. Selain insurans kereta, Qoala juga menawarkan jenis insurans lain antaranya insurans motor dan insurans rumah.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60