Ramai individu beranggapan institusi kewangan seperti bank hanya menilai jumlah pendapatan kasar peminjam semata-mata semasa meluluskan pinjaman. Tetapi sebenarnya, pihak bank turut ambil kira kadar nisbah hutang atau lebih dikenali sebagai debt service ratio (DSR) sebelum sesuatu pinjaman diluluskan.
Perkara Penting Anda Perlu Tahu Tentang Nisbah Hutang DSR di Malaysia
Proses permohonan pinjaman tidak kira sama ada pinjaman peribadi atau pinjaman perumahan bukanlah suatu proses yang mudah. Apabila anda buat pinjaman dengan pihak bank, mereka biasanya akan semak nisbah hutang (atau nisbah khidmat hutang) terlebih dahulu untuk ketahui kemampuan anda untuk bayar balik hutang.
Apa yang dimaksudkan dengan nisbah hutang dan bagaimana ia berfungsi? Artikel ini akan bantu anda memahami nisbah khidmat hutang atau DSR di Malaysia.
1. Apa Itu Nisbah Hutang?
Nisbah hutang (DSR) adalah formula nisbah hutang yang biasanya digunakan oleh pihak bank. Nisbah khidmat hutang bermaksud nisbah hutang atau komitmen kewangan terhadap pendapatan bersih yang diperoleh. Dalam bahasa mudah, berapa banyak yang anda peruntukkan untuk bayar hutang dan komitmen daripada gaji bersih yang anda terima setiap bulan.
Nisbah khidmat hutang ini merupakan formula yang digunakan oleh pihak bank untuk kenal pasti kelayakan dan kemampuan peminjam untuk membayar balik pinjaman yang diterima. Biasanya, semakin rendah nilai DSR sekitar 30 hingga 40 peratus, semakin baik kedudukan kewangan dan semakin mudah untuk anda mendapatkan pinjaman baharu.
Anda hanya perlu pastikan nilai DSR anda tidak melebihi DSR maksimum yang ditetapkan oleh institusi bank yang anda ingin mohon. Biasanya, had maksimum DSR adalah berbeza-beza mengikut bank dan bergantung pada profil kewangan individu.
Nilai Debt Service Ratio | Penerangan |
Bawah 30% | Tabiat hutang anda baik. Teruskan amalan berhutang yang baik ini! |
31-50% | Bagus! Cuba untuk kekalkan nilai ini dan elakkan ambil komitmen baharu. |
51-60% | Anda berada dalam situasi hutang yang berbahaya. Semak semula hutang dan kaji semula perbelanjaan bulanan anda. dan uruskan hutang anda. |
61% dan ke atas | Anda perlu dapatkan nasihat professional seperti Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) untuk bantu anda uruskan hutang dengan lebih baik. |
2. Bagaimana Nisbah Hutang Ditentukan?
Pihak bank akan mengambil kira gaji bersih dan komitmen bulanan yang perlu ditanggung seperti hutang kad kredit, hutang PTPTN, pinjaman kereta, pinjaman rumah, pinjaman ASB dan lain-lain. Dengan cara ini, pihak bank boleh tentukan sama ada seseorang itu layak untuk mendapatkan pinjaman seterusnya atau tidak.
Jika tinggi komitmen bulanan, besar kemungkinan sukar untuk anda mendapatkan pinjaman baharu. Selain itu, sekiranya anda mempunyai nilai DSR yang tinggi, pihak bank beranggapan anda seorang peminjam yang berisiko tinggi dan tidak mampu untuk tidak bayar balik pinjaman yang telah dimohon.
3. Bagaimana Nilai DSR Dikira?
Cara kira nilai DSR ini agak mudah untuk difahami. Nilai nisbah hutang di Malaysia dikira menggunakan formula berikut:
Formula Nisbah Hutang (Debt Service Ratio): Pendapatan Bersih ÷ Komitmen Bulanan x 100
Untuk ketahui nilai DSR, gaji bersih (selepas ditolak cukai, caruman KWSP dan SOCSO) dibahagikan dengan jumlah komitmen. Kemudian, didarabkan dengan 100 untuk ketahui nilai DSR dalam peratusan.
Dalam konteks nisbah hutang, komitmen merangkumi semua hutang yang dimiliki tidak kira sama ada hutang dengan pihak bank atau pun tidak seperti pinjaman kereta, pinjaman perumahan atau hutang PTPTN. Cara paling mudah untuk anda komitmen semasa anda adalah dengan buat semakan melalui laporan CCRIS.
Ambil kira contoh berikut:
Andaikan pendapatan bersih anda adalah sebanyak RM6,000 sebulan. Komitmen yang anda miliki buat masa ini adalah sebanyak RM2,500. Pinjaman baharu yang dimohon dengan pihak bank perlu bayar dalam anggaran RM1,200 sebulan. Dengan menggunakan formula di atas:
Gaji Bersih ÷ Komitmen x 100 = Nilai DSR
RM6,000 ÷ (RM2,500 + RM1,200) x 100 = 60 peratus.
Ini bermaksud, nilai DSR semasa anda ialah 60 peratus. Kadar ini boleh dikatakan agak tinggi dan mungkin menyukarkan anda untuk mendapatkan pinjaman baharu. Namun begitu, ia bergantung sepenuhnya pada bank yang anda mohon kerana setiap bank menetapkan syarat-syarat yang berbeza.
4. Apa Perkara yang Boleh Jejaskan Nilai DSR?
Secara asasnya, ada beberapa perkara yang boleh beri kesan pada nilai DSR anda, antaranya:
- Komitmen bulanan atau jumlah pinjaman yang terlalu tinggi. Tetapi. jika gaji bersih turut meningkat, ia tidak menjadi masalah. Oleh sebab itu, penting untuk stabilkan kedua-dua aspek ini secara seiringan;
- Status pekerjaan turut memainkan peranan. Pihak bank akan menilai sektor atau industri pekerjaan serta tempoh pekerjaan anda. Jika tiada pendapatan bulanan yang stabil, ia dijangka boleh beri kesan kepada bayaran balik;
- Elakkan nama disenarai hitam oleh CTOS atau CCRIS atau ada pinjaman sedia ada yang tertunggak melebihi tiga bulan.
5. Apa yang Perlu Dilakukan Jika Nisbah Hutang Tidak Baik?
Meskipun ada sesetengah bank menetapkan nilai DSR yang baik pada peratusan yang berbeza, penting untuk anda tahu nilai DSR yang ideal adalah sekitar 30 hingga 40 peratus. Jika anda mempunyai nilai DSR yang tinggi, anda boleh ikuti cara berikut untuk menjadikan nilai DSR anda lebih baik berbanding sebelumnya:
- Langsaikan mana-mana hutang yang anda ada dengan secepat mungkin;
- Elakkan penangguhan bayaran kerana ia boleh beri kesan pada CCRIS dan CTOS anda;
- Jika perlu, buktikan rekod kewangan dan simpanan anda yang kukuh dengan menunjukkan anda ada simpanan deposit tetap, bond dan lain-lain;
- Gabungkan hutang anda untuk kurangkan ansuran bulanan, sekali gus mengurangkan jumlah komitmen bulanan anda.
Semak Kemampuan dan Rancang Hutang Anda untuk Ketenangan Fikiran
Secara asasnya, nisbah hutang atau nilai DSR hanyalah untuk menentukan kelayakan anda untuk mendapatkan pinjaman – ia tidak mencerminkan kemampuan kredit anda. Penting untuk anda tahu yang layak untuk dapatkan pinjaman tidak sama dengan kemampuan untuk bayar balik pinjaman.
Anda mungkin layak mendapat pinjaman, tetapi ini tidak bermaksud anda mampu untuk bayar balik komitmen anda. Oleh sebab itu, penting untuk anda menilai semula komitmen dan berhati-hati dengan perbelanjaan anda. Komitmen pinjaman boleh mengambil masa sehingga bertahun-tahun. Jika tidak dirancang dengan baik, ada kemungkinan anda boleh terbeban dengan beban hutang dan komitmen bulanan yang tinggi.
Selain itu, jika anda sedang mencari insurans kereta, anda boleh layari laman web Qoala untuk dapatkan insurans kereta terbaik. Qoala merupakan platform insurans kereta terbaik di Malaysia. Platform ini membolehkan anda bandingkan pelan insurans kereta daripada beberapa syarikat insurans berbeza. Ini sekali gus membantu anda mendapatkan pelan insurans kereta yang sesuai dengan bajet anda.