Selain caruman wajib melalui kaedah potongan gaji konvensional, ahli berdaftar juga boleh membuat KWSP caruman sendiri atau caruman sukarela ke akaun KWSP masing-masing. KWSP caruman sendiri bukan sahaja memanfaatkan golongan tanpa gaji tetap, tetapi ia turut memberi manfaat kepada mereka yang ingin meningkatkan simpanan untuk persaraan yang lebih baik dan selesa.
Apa Itu KWSP Caruman Sendiri dan Bagaimana Skim Ini Membantu Pekerja?
Di Malaysia, hanya empat peratus golongan yang telah bersara memiliki simpanan persaraan yang mencukupi untuk hidup selesa selepas bersara. Bertitik tolak daripada itu, KWSP telah memperkenalkan skim caruman sendiri sebagai alternatif ke arah dana persaraan yang mencukupi.
Skim ini membolehkan individu yang bekerja sendiri atau pekerja bebas (freelancer) buat simpanan secara sukarela setiap bulan bagi memastikan keselamatan kewangan semasa persaraan. Selain itu, KWSP caruman sendiri juga memberi manfaat kepada individu yang sudah membuat caruman wajib tetapi ingin memaksimumkan simpanan persaraan untuk masa depan yang lebih baik.
Caruman sendiri KWSP boleh dikatakan sebagai pelengkap kepada caruman wajib yang dibuat oleh majikan dan pekerja. Untuk caruman wajib, pekerja menyumbang 11 peratus daripada gaji bulanan, manakala majikan menyumbang 13 peratus daripada gaji pekerja.
Jenis KWSP Caruman Sendiri di Malaysia
KWSP menawarkan pelbagai kaedah caruman kepada ahli yang ingin meningkatkan simpanan persaraan. Buat masa ini, terdapat empat jenis KWSP caruman sendiri yang ditawarkan kepada pekerja di Malaysia. Setiap skim menawarkan manfaat tersendiri dan disesuaikan mengikut latar belakang pendapatan yang berbeza.
1. KWSP Caruman Sukarela
Skim KWSP Caruman Sukarela diwujudkan bagi melindungi tenaga kerja yang tidak dilindungi di bawah Akta KWSP 1991. Ini termasuklah individu yang tidak bekerja di bawah aturan pekerjaan konvensional. Ia merupakan caruman tambahan yang dibuat secara sukarela oleh pekerja selain caruman wajib daripada majikan dan pekerja.
Skim ini membantu individu meningkatkan simpanan persaraan khususnya untuk golongan yang bekerja sendiri, individu yang bekerja dalam sektor berasaskan gig atau pekerja yang bekerja dengan majikan asing. Caruman sukarela KWSP terbuka kepada:
-
- Warganegara Malaysia atau penduduk tetap;
- Berumur bawah 75 tahun;
- Ahli KWSP berdaftar.
2. i-Saraan KWSP
Skim i-Saraan KWSP diwujudkan untuk menggalakkan pekerja gig dan individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk membuat caruman sendiri untuk persaraan. Pencarum boleh mencarum secara sukarela dan menerima manfaat seperti:
-
- Insentif 15 peratus daripada jumlah sumbangan untuk tahun semasa terhad RM500. Had insentif RM5,000 atau sehingga ahli mencapai umur 60 tahun (mana-mana lebih awal);
- Pelepasan cukai;
- Manfaat kematian.
Skim ini terbuka kepada:
-
- Warganegara Malaysia;
- Berumur bawah 60 tahun;
- Mestilah bekerja sendiri tanpa majikan;
- Ahli KWSP berdaftar.
3. i-Suri KWSP
Skim i-Suri menyasarkan suri rumah yang berdaftar di bawah Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih). Ia membolehkan golongan suri rumah menabung sebahagian daripada pendapatan atau elaun yang diterima daripada pasangan atau ahli keluarga lain untuk simpanan hari tua.
Ahli yang mendaftar untuk skim i-Suri boleh menikmati manfaat seperti:
-
- Insentif 50 peratus untuk setiap RM1 yang disumbangkan terhad RM300 untuk tahun semasa. Insentif terhad RM3,000 atau sehingga ahli mencapai umur 55 tahun (mana-mana lebih awal);
- Pelepasan cukai;
- Manfaat kematian.
Skim KWSP i-Suri terbuka kepada:
-
- Suri rumah yang berdaftar di bawah eKasih (Pangkalan Data Kemiskinan Nasional);
- Warganegara Malaysia;
- Berumur bawah 55 tahun;
- Ahli KWSP berdaftar.
Selain KWSP i-Suri, satu lagi skim serupa yang ditawarkan oleh KWSP ialah i-Sayang KWSP. Untuk skim ini, dua peratus daripada gaji suami akan dipotong dan dipindahkan ke dalam akaun KWSP isteri setiap bulan.
4. Simpanan Tambahan Akaun 1
Simpanan Tambahan Akaun 1 membolehkan ahli menyumbang secara langsung kepada simpanan KWSP tersayang seperti ibu bapa, pasangan dan anak-anak. Penerima tidak terhad kepada ahli KWSP sahaja, tetapi dalam kes ini pencarum perlu mengisi borang khusus terlebih dahulu untuk menerima sumbangan yang dibuat untuk mereka.
Cara Bayar KWSP Caruman Sendiri Secara Online
Bagi bukan ahli yang ingin buat KWSP caruman sendiri, anda perlu mendaftar KWSP i-Akaun secara online terlebih dahulu. Untuk mendaftar i-Akaun KWSP, anda boleh rujuk artikel ini. Melalui i-Akaun KWSP, anda boleh mendapatkan maklumat yang diperlukan seperti nombor ahli KWSP dan check baki KWSP.
1. Bayar Caruman Sendiri Melalui i-Akaun KWSP
Anda boleh membuat KWSP caruman sendiri melalui i-Akaun KWSP seperti berikut:
- Log masuk ke i-Akaun anda dan pilih ‘Tambah Sumbangan’;
- Masukkan jumlah sumbangan yang anda inginkan dan slide bar untuk meneruskan;
- Tiada had minimum per transaksi tetapi jumlah sumbangan sukarela mestilah tidak melebihi RM100,000 setiap tahun.
2. Buat Caruman Sendiri Melalui Pindahan Bank
Anda juga boleh membuat caruman secara sukarela melalui pindahan bank atau bank transfer:
- Buka aplikasi perbankan dalam talian pilihan anda;
- Cari KWSP (atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) sebagai penerima bayaran – biasanya di bahagian menu ‘Pembayaran’ atau ‘Bil’;
- Isi butiran yang diperlukan seperti nombor KWSP anda – deposit ke akaun KWSP biasanya akan mengambil masa dalam tiga hari bekerja.
3. Pindahan Caruman Sendiri Melalui Ejen Bank
Selain itu, anda juga boleh buat pindahan caruman sendiri melalui ejen bank. Ahli perlu mengisi borang caruman sendiri dan menyerahkannya bersama bayaran di kaunter. Buat masa ini, hanya terdapat empat ejen bank di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan ini:
- Bank Simpanan Nasional (BSN);
- Maybank;
- Public Bank; dan
- RHB Bank.
4. Bayar KWSP Caruman Sendiri di Kaunter KWSP
Anda juga boleh buat caruman sukarela melalui kaunter pejabat KWSP di seluruh negara. Deposit tunai dihadkan sebanyak RM500 bagi setiap transaksi.
Maksimumkan Simpanan Persaraan dengan KWSP Caruman Sendiri
KWSP caruman sendiri menawarkan fleksibiliti kepada pencarum untuk meningkatkan simpanan persaraan dengan lebih berkesan. Dengan bersikap proaktif dan memaksimumkan sumbangan sukarela anda, anda dapat menikmati persaraan yang lebih selesa dan bebas dari kebimbangan.
Apa yang penting, anda perlu kekal komited dan berdisiplin bagi memastikan misi jangka panjang anda tercapai:
- Tetapkan jadual untuk caruman sendiri secara berkala bagi membolehkan anda membina dana persaraan secara berterusan;
- Tingkatkan simpanan persaraan sambil memanfaatkan pelepasan cukai untuk mengurangkan pendapatan bercukai.
Selain itu, melabur dalam insurans kesihatan dapat memberikan sokongan kewangan yang penting semasa persaraan. Insurans kesihatan membantu menampung perbelanjaan perubatan dan kos penjagaan kesihatan luar jangka yang boleh jejaskan simpanan persaraan anda. Jaringan kewangan ini membolehkan anda menikmati persaraan anda tanpa tekanan.
Untuk maklumat lanjut mengenai insurans kesihatan terbaik di Malaysia, layari qoala.my. Qoala merupakan platform terbaik untuk membandingkan dan memperbaharui insurans di Malaysia.