Perkahwinan adalah satu perkara yang diidamkan ramai orang. Tapi apa yang terlintas dalam fikiran anda selepas mendengar perkataan perkahwinan?
Duit merisik? Bertunang? Majlis ke dua-dua belah pihak? Duit selepas kahwin? Pelbagai proses perlu ditempuh. Dari proses merisik sehinggalah berakhirnya majlis kedua-dua belah pihak, wang mengalir laju saja.
Hari ini Qoala akan berkongsikan tentang tips simpan duit kahwin, terutamanya untuk hantaran dan majlis kenduri kedua mempelai.
Penting Ke Untuk Simpan Duit Hantaran Dan Majlis Kenduri Ni?
Sebelum kita terus ke tips, ini antara soalan yang sering dipertikaikan. Bukannya aspek perkahwinan lain tak penting. Cuma, dua perkara ini, hantaran dan majlis kenduri kahwin memerlukan kos yang tinggi. Daripada sekecil-kecil perkara, ia memerlukan wang dan ianya tidak dinafikan mahal. Apa yang lebih parah apabila ada sesetengah pihak yang meletakkan beban kesemuanya kepada pihak lelaki untuk menyediakan wang hantaran selain persiapan majlis keluarga lelaki itu sendiri.
Benar, ikatan perkahwinan tidak diukur dengan kemewahan pelamin atau kebesaran majlis tersebut. Bukan juga dilihat
Soalan yang timbul adalah, perlu ke majlis yang grand?
Cara-cara Kumpul Duit Kahwin
Sebut saja pasal duit kahwin, mesti ramai rasa cemas untuk menabung dan menyimpan duit. Jangan risau. Tak ada yang mustahil. Perlu ada cara dan konsistensi, baru boleh menjadi. Ini dia tips-tips simpan duit kahwin bagi yang baru merancang untuk mendirikan rumah tangga.
1. Ketahui kemampuan diri dan tetapkan matlamat
Perkara pertama yang perlu dibuat adalah jumlah yang diperlukan untuk majlis perkahwinan anda. Perbincangan antara kedua-dua belah pihak perlu dibuat bagi membuat analis tentang kemampuan diri. Kos perkawinan ini bergantung sepenuhnya kepada jenis hantaran, pelamin, baju pengantin, katering, jurugambar dan sebagainya.
Anda dinasihatkan untuk berterus terang tentang kemampuan anda pada fasa ini. Justeru itu, ianya penting untuk mengukur baju di badan sendiri. Tetapkan kemampuan diri awal-awal dan nyatakan kepada kedua-dua belah pihak. Jangan disebabkan anda mahu menjaga hati mana-mana pihak, anda terpaksa menanggung beban di kemudian hari.
Sekiranya, anda dijadualkan untuk berkahwin dua tahun lagi dengan sasaran RM20, 000, ini bermakna anda perlu menyimpan kira-kira RM833 sebulan. Kalau tempohnya lebih singkat tentulah lebih besar lagi jumlah tabungan dalam sebulan.
Ini lah pentingnya membuat analisis kemampuan diri. Anda boleh kurangkan kos dengan mengutamakan syaratnya iaitu nikah dan boleh ditambah dengan jamuan makan sederhana sahaja. Jika mahu pelamin, cuba dapatkan idea pelamin DIY yang lebih jimat kosnya tapi tetap cukup menarik untuk mengambil gambar kenangan bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.
2. Menabung Bersama
Tak semestinya satu pihak sahaja yang perlu bersusah payah mengumpul duit kahwin. Ajak pasangan anda untuk sama-sama menabung demi merealisasikan impian yang anda berdua impikan. Mengenai jumlah sasaran, ia boleh ditetapkan pada amaun yang sama, atau jumlah yang berbeza pun tak ada masalah pun. Asalkan anda dan pasangan dapat kata sepakat.
Sekiranya anda dan pasangan mempunyai objektif untuk mengumpul RM20,000, anda boleh menggunakan idea tabung duit kahwin 24 bulan dan setiap seorang boleh mengumpul RM10,000. Pejam celik, pejam celik anda dan pasangan boleh berjaya kumpul duit kahwin berjumlah RM20,000. Kuncinya disini adalah pastikan anda dan pasangan berdisiplin dan konsisten dalam menabung.
Kalau anda berdua mahu berkongsi perbelanjaan perkahwinan, cuba bahagi mengikut pendapatan masing-masing. Bakal suami yang ada pendapatan lebih tinggi, contohnya, boleh menyumbang lebih ke dalam tabung perkahwinan.
Menabung bersama akan meningkatkan motivasi diri sebab anda mengejar matlamat bersama insan tercinta. Ini boleh diteruskan sehingga semasa bergelar suami isteri.
3. Utamakan Simpanan
Setiap kali dapat gaji, pastikan anda ketepikan dahulu wang untuk simpanan. Simpanan yang perlu disimpan adalah sekurang-kurangnya 20 peratus daripada gaji. Jika dapat menyimpan lebih banyak daripada itu, lebih baik. Berikut adalah formula yang anda boleh guna pakai:
Pendapatan – perbelanjaan = Simpanan
Amalkan tabiat menabung setiap hari walaupun bukan dalam nilai tersebut. Yang penting, simpan. Ataupun jika anda ingin menyimpan di dalam bank, pilihlah bank dengan kadar dividen yang tinggi, sekiranya ada. Kalau ada akaun yang susah untuk dikeluarkan pun lebih baik seperti Amanah Saham atau Tabung Haji. Selain simpanan tidak diganggu, dividen pun anda akan dapat.
4. Kurangkan Perbelanjaan
Antara syarat utama untuk berjaya dalam mengumpul duit kahwin semestinya dengan mengurangkan perbelanjaan. Anda dan pasangan perlu mengutamakan keperluan berbanding kemahuan. Antara contoh kehendak adalah membeli baju kerana hendak mengikuti trend terkini. Macam mana nak bezakan kemahuan dan keperluan?
Keperluan adalah perbelanjaan yang wajib ada agar dapat menjalankan kehidupan seharian dengan baik. Macam duit sewa rumah, makanan dan sebagainya. Manakala kemahuan pula adalah perbelanjaan yang tidak penting, tapi boleh menyebabkan kehidupkan korang lebih selesa seperti pergi ke spa, membeli bag baru dan sebagainya.
Dan kemahuan pula ada perbelanjaan yang boleh membuatkan kehidupan kita lebih selesa, namun ia tidak sepenting keperluan.
Sebelum beli sesuatu, cuba bandingkan harga. Cari nilai terbaik untuk barang yang anda hendak beli. Biasanya anda akan jumpa barang yang serupa pada harga yang amat berbeza tanpa sedikit pun berkurang kualitinya.
Satu lagi cara adalah dengan berbelanja semasa jualan murah atau ketika promosi. Tapi hati-hati. Jangan sampai terlebih beli pula. Gunakan kupon jika ada. Ini betul-betul menjimatkan walaupun hanya beberapa ringgit sahaja perbezaan bagi satu barang.
5. Cari Pendapatan Sampingan
Disebabkan kos hidup yang tinggi membuatkan ramai mencari pendapatan sampingan. Inilah juga yang selalu dicadangkan oleh mereka yang berhasrat untuk mengumpul duit bagi tujuan perkahwinan, beli rumah pertama, beli kereta dan tujuan lain. Selain membuat simpanan daripada pendapatan utama, pendapatan sampingan boleh bantu mempercepatkan proses untuk mencapai matlamat tabungan anda. Ia memang memakan masa dan tenaga tetapi amat berbaloi untuk dilakukan.
Buat Pinjaman Bank Semata-mata Untuk Majlis Kenduri Kahwin? Berbaloi Ke?
Tak dinafikan, nak mendirikan rumah tangga ni bukan senang. Sememangnya sukar. Tambah-tambah lagi jika anda mempunyai gaji yang kecil atau yang cukup-cukup makan. Ia memerlukan masa untuk mengumpul wang tersebut. Disebabkan itu, ramai mengambil jalan pintas untuk cepat berkahwin dengan membuat pinjaman bank. Mana taknya, anda tak perlu lagi bersusah-susah nak simpan atau ikat perut untuk kumpul duit kahwin. Mungkin boleh terus honeymoon ke luar negara dengan menggunakan duit itu.
Nampak dan kedengaran macam senang. Tapi perkara ini sebenarnya boleh menjeratkan diri anda di kemudian harinya. Jika anda berhutang dengan bank, pelbagai masalah boleh timbul selepas kahwin. Ini dia masalah-masalah yang boleh timbul:
1. Makin besar hutang, makin terbeban
Sewaktu mendapat kelulusan daripada pinjaman, kebanyakkan orang tidak nampak tentang beban yang bakal mereka hadapi. Makin besar hutang yang dimiliki, makin terbebanlah si penghutang untuk membayar balik hutang tersebut. Ini kerana, anda perlu membayar hutang termasuk bunga yang telah ditetapkan oleh pihak bank. Makin lama anda tangguhkan bayaran, makin tinggilah beban yang terpaksa ditanggung.
2. Tempoh yang panjang untuk diselesaikan
Buat pinjaman untuk perkahwinan satu atau dua ribu sahaja tak mencukupi. Tentunya anda perlu meminjan belasan atau puluhan ribu. Sudah pastinya anda tidak akan mampu untuk menyelesaikan hutang yang banyak itu dalam tempoh dua atau tiga bulan. Paling tidak, anak dah dua pun hutang masih belum selesai.
3. Komitmen menjadi lebih tinggi
Sekiranya anda sudah terbeban dengan komitmen-komitmen lain seperti hutang kereta, pendidikan, rumah dan banyak lagi. Ditambah pula dengan hutang peribadi yang digunakan sebagai duit kahwin. Sudah pastinya komitmen anda menjadi lebih tinggi. Disini, keadaan kewangan anda akan menjadi sesak kerana wang yang sepatutnya digunakan untuk memberi keselesaan dirumah terpaksa digunakan untuk membayar hutang.
Jika gagal membuat pembayaran ansuran bulanan dengan cantik, secara automatik nama anda akan disenarai hitamkan oleh pihak bank sekaligus mencacatkan rekod kewangan anda.
Pada usia muda ini sepatutnya dalam fasa untuk memiliki aset seperti rumah; tetapi kerana pinjaman peribadi tadi, rumah yang merupakan keperluan terpaksa dilupakan buat sementara.
4. Tak dapat menyimpan
Sejumlah wang yang besar terpaksa digunakan untuk membayar komitmen-komitmen yang tinggi tadi. Secara logik, jika pinjaman duit kahwin anda adalah RM50,000, paling kurang bayaran ansuran yang perlu anda bayar adalah RM400-RM500 sebulan.
Ini belum ditolak perbelanjaan-perbelanjaan yang lain. Disebabkan terlalu banyak yang perlu ditolak setiap kali gaji, simpanan tidak dapat dibuat.
5. Susah Beli Rumah
Apabila komitmen hutang sudah tinggi, ia juga akan menyebabkan anda susah untuk membeli rumah. Bila anda berhasrat untuk membuat pinjaman perumahan, pihak bank akan menyemak nisbah khidmat hutang atau juga dikenali sebagai debt service ratio.
Ada beberapa perkara yang boleh menyebabkan DSR anda terjejas. Sebagai contohnya, sekiranya seseorang tu tak ada pendapatan bulanan yang stabil, ia mungkin akan memberi kesan yang tak baik pada bayaran balik pinjaman.
Bila dah macam tu, bank akan rasa yang ada kemungkinan tinggi anda tak dapat nak bayar balik bila dah bagi pinjaman.
Terlampau banyak bayaran bulanan atau komitmen pinjaman pun boleh menjadi penyebab utama juga.
‘Berhabis’ jadi ‘Raja Sehari’ antara punca perceraian pasangan muda
Tahukah anda, masalah kewangan antara penyebab utama kes perceraian di negara ini? Mengambil contoh statistik melibatkan pasangan bukan Islam, daripada 6,901 kes perceraian dalam kalangan pasangan bukan Islam yang dicatatkan sepanjang tahun lepas, 2,971 kes berpunca daripada masalah itu.
Kalau boleh, elakkanlah berhutang untuk dapatkan duit kahwin. Selagi kita boleh simpan dengan kudrat sendiri, teruskanlah. Cara kumpul duit kahwin sudah ada. Hanya perlu ikut dan jadi lebih kreatif untuk menambah lebih banyak amaunnya.
Kesimpulan
Kesimpulannya, Tak dinafikan, bukannya mudah untuk kumpul duit dengan cara-cara yang disebutkan di atas. Namun, perlu ingat bahawa usaha tangga kejayaan. Jangan terlalu mengikut nafsu untuk melangsungkan majlis kahwin yang meriah.
Jika mampu, tak salah selagi tak melanggar batas syariah. Namun, jika sebaliknya lebih baik ukur baju di badan sendiri. Tak tenang hidup dibuatnya bila fikirkan hutang yang tak pernah habis.
Sampai disini sahaja perkongsian Qoala. Semoga memberi manfaat. Nak renew roadtax dan insurans? Renew je dengan Qoala! Mudah dan pantas.