Dengar sahaja perkataan ‘kad kredit’ mulalah bermacam-macam tanggapan negatif bermain dalam minda seperti salah cara guna kad kredit sehingga hidup dibelenggu hutang yang tinggi. Secara asasnya, pengurusan kewangan kredit atau cara guna kad kredit yang betul bergantung sepenuhnya terhadap individu. Jika berdisiplin tinggi, ia semestinya tidak menjadi masalah. Malah, penggunaan kad kredit membuatkan pembelian barang menjadi lebih mudah dan cepat. Namun begitu, jangan terlalu leka swipe kredit kad sehinggakan anda berputih mata apabila terima bil bulanan yang tinggi.
Apa itu Kad Kredit?
Secara asasnya, penggunaan kad kredit merupakan salah satu kaedah pembayaran yang membolehkan pengguna memperolehi barangan atau perkhidmatan secara pinjaman kredit. Sama seperti pinjaman peribadi, anda perlu bayar semula kepada institusi kewangan yang memberi pinjaman tersebut mengikut tempoh ditetapkan.
Jika gagal membayar balik, anda akan dikenakan penalti dan nama anda berkemungkinan besar akan disenaraihitamkan atau diisytiharkan bankrap.
Kebaikan dan Keburukan Kad Kredit: 8 Cara Penggunaan Kad Kredit untuk Mengelakkan Muflis
Ramai golongan muda terutamanya yang baru sahaja mendapat kad kredit tidak mengetahui fungsi atau cara guna kad kredit dengan betul dan bijak. Artikel ini akan membantu anda memahami kelebihan menggunakan kad kredit, keburukan kad kredit dan cara guna kad kredit dengan bijak untuk maklumat dan rujukan anda.
1. Guna, Bayar Balik dan Ulang
Penggunaan kad kredit boleh memberi kesan buruk sekiranya anda tidak pandai menguruskan dan merancang kewangan serta emosi dengan baik semasa berbelanja. Namun begitu, kad kredit boleh memudahkan pengurusan kewangan anda jika digunakan dengan baik.
Anda boleh praktikkan kaedah guna, bayar, dan ulang untuk memastikan anda kekal berdisiplin dan mengelakkan anda daripada berbelanja melebihi kemampuan. Berikut panduan ringkas untuk panduan anda:
- Gunakan kad kredit mengikut bajet bulanan atau tahunan yang ditetapkan;
- Elakkan daripada menggunakan kad kredit jika anda tidak mempunyai jumlah wang yang mencukupi dalam akaun simpanan semasa membeli sesuatu barangan;
- Selesaikan bayaran secara penuh setiap bulan, jangan sesekali menangguhkan bayaran dan meninggalkan sebarang baki tertunggak;
- Ulang langkah ini setiap kali anda berbelanja menggunakan kad kredit terbaik yang anda miliki.
2. Tawar Diri Bayar Dahulu
Ramai dalam kalangan anda yang mungkin gemar makan di luar, membeli-belah atau bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan. Ambil peluang ini untuk menawarkan diri untuk membayar keseluruhan bil tersebut terlebih dahulu, kemudian mereka hanya perlu transfer duit melalui e-Wallet atau QR Pay semula ke akaun anda.
Dengan cara ini, anda boleh nikmati mata ganjaran dan rebat tunai (atau cashback) yang banyak yang boleh menguntungkan anda. Malah, ada juga sesetengah bank pengeluar kad kredit menawarkan pengecualian yuran tahunan sekiranya anda berbelanja melebihi had tahunan yang ditetapkan.
3. Bayar Bil Tepat pada Waktu, Mengikut Tempoh Ditetapkan
Selain itu, anda disarankan untuk bayar hutang kad kredit secara penuh setiap bulan bagi mengelakkan hutang anda bertambah banyak. Sebagai contoh, anda gunakan bil kad kredit sebanyak RM2,000 pada Mei, anda perlu selesaikan kesemua baki hutang ini mengikut tempoh yang ditetapkan.
Jika anda hanya membayar sebahagian atau kadar minimum, anda perlu membayar kadar caj atau bunga tertentu. Biasanya, penggunaan kad kredit tertakluk pada caj-caj seperti berikut:
- Yuran Penyertaan. Bank pengeluar kad biasanya mengenakan kadar yuran tertentu semasa anda memohon kad kredit, kadar bayaran ini mungkin berbeza bergantung pada bank pengeluar kad pilihan anda;
- Yuran Tahunan. Sesetengah bank menetapkan yuran tahunan kad kredit yang perlu dibayar setiap tahun. Meskipun begitu, ada juga kad yang tidak menetapkan sebarang yuran tahunan atau dikecualikan daripada membayar yuran tahunan jika berbelanja melebihi amaun yang ditetapkan;
- Caj Faedah. Kadar faedah akan dikenakan sekiranya anda gagal menjelaskan baki selepas tamat tarikh akhir pembayaran. Malah, caj ini juga boleh bertambah sekiranya anda tidak membuat bayaran dalam tempoh ditetapkan. Di Malaysia, kadar faedah kad kredit biasanya sekitar 13.5 hingga 17.5 peratus setahun;
- Yuran Pendahuluan Wang Tunai. Jika anda cash-out wang tunai di ATM melalui kad kredit anda, anda akan dikenakan caj antara tiga hingga lima peratus daripada jumlah wang yang dikeluarkan;
- Caj Bayaran Lewat. Caj ini akan dikenakan jika anda gagal menjelaskan jumlah bayaran minimum sebelum tarikh ditetapkan. Ini bermaksud, anda bukan sahaja dikenakan caj ke atas baki yang belum dijelaskan, malah anda juga akan dikenakan caj lewat bayar jika anda membuat bayaran selepas tempoh tanpa faedah berakhir.
4. Kad Kredit Bukan Sumber Pinjaman Segera
Ada sesetengah kad kredit menawarkan kelebihan pendahuluan wang tunai bagi membantu pemilik kad mendapatkan sumber kewangan segera. Oleh sebab itu, ramai dalam kalangan anak muda yang baru memiliki kad kredit misalnya menyalahgunakan kemudahan ini dengan mendapatkan pembiayaan wang tambahan bagi membantu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi.
Meskipun ia bukanlah suatu tindakan yang salah, anda tidak disarankan untuk berbuat sedemikian kerana kad kredit menawarkan kadar faedah yang lebih tinggi sekitar 18 peratus setahun berbanding pinjaman peribadi sekitar enam hingga lapan peratus sahaja.
5. Gunakan 30 Peratus daripada Had Limit Kad Kredit
Biasanya, had limit kad kredit akan ditawarkan dua atau tiga kali ganda daripada jumlah pendapatan bulanan anda. Jika gaji bulanan anda RM4,000 sebulan, had limit kad kredit biasanya sekitar RM12,000 (atau lebih) bergantung pada bank pengeluar kad kredit. Meskipun dengan had limit kad kredit yang besar, anda disarankan untuk berhati-hati dalam berbelanja.
Jika perlu, hanya berbelanja sekitar 30 peratus daripada had limit yang ditetapkan untuk mengelakkan anda daripada menanggung hutang yang tinggi dan tidak mampu membayar balik hutang mengikut jadual yang ditetapkan.
6. Hadkan Bilangan Kad
Di Malaysia, anda layak memiliki seberapa banyak kad kredit yang anda perlukan daripada dua pengeluar kad jika pendapatan tahunan anda kurang daripada RM36,000 setahun. Namun jika pendapatan tahunan anda melebihi RM36,000, tiada had bilangan kad kredit ditetapkan.
Meskipun begitu, ia tidak bermaksud anda perlu memiliki kad kredit yang banyak. Ini kerana, bilangan kad kredit yang terlalu banyak berkemungkinan boleh merosakkan rekod kredit dan meningkatkan beban hutang yang tinggi anda jika tidak diuruskan dengan baik.
Secara asasnya, semakin banyak kad kredit, semakin tinggi risiko anda berbelanja melebihi bajet. Anda dinasihatkan untuk memastikan baki hutang dalam lingkungan 30 hingga 50 peratus sahaja bagi memastikan rekod kredit anda dalam keadaan baik.
7. Guna Kad Kredit Hanya untuk Perbelanjaan Besar
Anda disarankan untuk menggunakan kad kredit untuk perbelanjaan besar seperti membeli gajet, perkakas elektrik dan sebagainya sahaja. Meskipun begitu, anda perlu menyimpan terlebih dahulu dan sekiranya simpanan sudah mencukupi, barulah beli menggunakan kad kredit dan bayar secepat mungkin.
Jangan biasakan diri dengan hutang kerana hutang yang sedikit jika dibiarkan boleh menjadi bertambah banyak. Selain itu, jika anda perlu membayar perbelanjaan-perbelanjaan kecil, anda disarankan untuk gunakan kad debit, aplikasi e-Wallet atau wang tunai.
Ini kerana, perbelanjaan impulsif meskipun sekadar RM10 atau RM20 setiap hari tanpa sedar boleh menjadi besar dan berpotensi menjejaskan bajet bulanan anda.
8. Guna Kad Kredit untuk Kecemasan
Sediakan sekurang-kurangnya satu kad kredit untuk digunakan semasa kecemasan seperti kereta tiba-tiba mati, kos perubatan anak sakit dan sebagainya. Dalam erti kata lain, sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka yang memerlukan belanja yang tinggi, anda boleh gunakan kad kredit sebagai back up bagi membantu menyelesaikan masalah.
Meskipun begitu, anda masih disarankan untuk mengawal perbelanjaan dan bijak menguruskan ekonomi pada waktu kecemasan untuk mengelakkan anda berbelanja melebihi kemampuan anda untuk membayar balik.
Rancang Perbelanjaan, Gunakan Kad Kredit dengan Bijak
Pantau cara anda berbelanja dan persiapkan diri anda dengan tips dan cara guna kad kredit dengan bijak dan selamat. Perbelanjaan menggunakan kad kredit jika tidak dirancang dengan baik boleh memakan diri. Oleh itu, anda disarankan untuk berbelanja mengikut kemampuan dan bina skor kredit yang sihat bagi memudahkan anda untuk mendapatkan pinjaman rumah atau loan kereta.
Selain itu, sekiranya anda sedang mempertimbangkan insurans kereta terbaik dan komprehensif untuk anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans di Malaysia yang menyediakan pelbagai jenis insurans termasuk insurans motor dan insurans rumah dengan jaminan proses yang cepat, mudah dan selamat.
Terima kasih atas perkongsian baik ini
Sama sama 😄
Sama sama 😃
Pandangan awak, patut ke pegawai kontrak buat kad kredit?
Nak tanya sekiranya ingin membeli laptop secara ansuran menggunakan kredit kad sbb laptop dah uzur😅 berapa interest dikenakan oleh pihak bank
Hi. Biasa kalau nak apply kredit kad boleh cash out ke ?