Bayaran Minimum Kad Kredit Tidak Jejaskan Skor Kredit 2024

Kali terakhir diperbaharui Sep 10, 2024 oleh Shafiq Wahab
Bayaran Minimum Kad Kredit Tidak Jejaskan Skor Kredit 2024

Bayaran minimum kad kredit merujuk kepada amaun minimum yang perlu dibayar setiap bulan untuk memastikan akaun anda kekal dalam keadaan baik. Bayaran minimum sering menjadi pilihan kebanyakan individu khususnya golongan muda yang memiliki kad kredit. Ini kerana mereka tidak perlu buat bayaran penuh tetapi masih boleh gunakan kad kredit seperti biasa dan tidak disenarai hitam oleh CTOS atau CCRIS.

3 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Bayaran Minimum Kad Kredit

Secara konsep, bayaran minimum kad kredit tidak menjadi kesalahan bagi pihak bank. Bank beranggapan pembayaran kad kredit anda bersih tanpa sebarang tunggakan meskipun anda tidak buat bayaran penuh dan hanya buat bayaran minimum kad kredit,

Namun begitu, ia menjadi masalah jika tabiat bayar hutang kad kredit dalam jumlah minimum ini dijadikan rutin. Ia secara tidak langsung menunjukkan ketidakupayaan anda dalam menguruskan kewangan dan anda masih belum bebas kewangan. Adakah bayar amaun minimum untuk hutang kad kredit setiap bulan boleh beri kesan kepada anda?

Artikel ini akan bantu anda memahami impak bayaran minimum kad kredit kepada kewangan anda bagi membantu anda menguruskan kewangan peribadi dengan lebih baik.

Perkara Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Bayaran Minimum Kad Kredit

1. Bagaimana Cara Kira Bayaran Minimum Kad Kredit Anda?

Apabila anda memiliki kad kredit, anda akan menerima penyata bulanan penggunaan kad kredit anda setiap bulan. Biasanya, terdapat tiga perkara penting yang boleh anda lihat pada penyata tersebut:

  • Baki semasa – jumlah keseluruhan penggunaan kad kredit termasuk caj terkini;
  • Baki penyata – jumlah baki dalam akaun untuk kitaran bil tertentu; dan
  • Bayaran minimum kad kredit – amaun minimum yang perlu dibayar untuk elakkan caj lewat bayar.

Kaedah untuk mengira bayaran minimum kad kredit biasanya berbeza-beza mengikut bank masing-masing. Bank-bank di Malaysia biasanya menggunakan formula lima peratus daripada baki tertunggak; atau RM50 (mana-mana yang lebih tinggi) untuk mengira bayaran minimum bagi bulan tersebut. Anda boleh semak terma dan syarat kad kredit anda untuk kepastian.

Anda boleh rujuk jadual di bawah untuk bantu anda memahami kaedah pengiraan jumlah minimum yang perlu dibayar setiap bulan dengan lebih baik:

Transaksi Kad Kredit (Julai 2024) Harga
Philips Wet and Dry Vacuum RM1,890
Barangan runcit di Mydin Hypermarket RM350
Mainan di Mr Toy outlet RM80
Tiket wayang dari GSC Central Square RM50
Pengisian petrol di Shell Bandar Puteri Jaya RM50
Jumlah RM2,420

Baki semasa kad kredit untuk bulan Julai adalah sebanyak RM2,420. Dengan menggunakan formula lima peratus bayaran minimum kad kredit, jumlah minimum yang perlu dibayar adalah sebanyak RM121. Ini bermaksud, jika anda buat bayaran minimum RM121 untuk bulan semasa, anda tidak tidak akan disenaraihitamkan dan tidak menjejaskan peluang anda untuk membuat pinjaman pada masa hadapan.

Penting untuk anda tahu yang pengiraan di atas hanya untuk bantu anda memahami cara kira amaun minimum sahaja. Anda tidak perlu mengira jumlah bayaran minimum ini sendiri setiap bulan. Ini kerana, jumlah bayaran minimum kad kredit serta maklumat bil yang lain ada dinyatakan dalam penyata bulanan anda.

Anda boleh semak penyata kredit anda yang biasanya akan dihantar melalui e-mel pada akhir kitaran bil anda.

2. Apa yang Akan Berlaku Jika Anda Hanya Membayar Jumlah Minimum Setiap Bulan?

Ada ketika anda mungkin terlebih berbelanja atau overspend. Akibatnya, anda tidak mampu untuk membayar amaun penuh komitmen kad kredit anda. Jika situasi ini berlaku, besar kemungkinan anda hanya mampu bayar amaun minimum sahaja.

Meskipun bayaran minimum kad kredit bukanlah jalan terbaik kerana ia tidak akan membebaskan anda daripada hutang tersebut. Tetapi, ia sekurang-kurangnya dapat elakkan anda daripada dikenakan faedah yang tinggi dan mengurangkan baki keseluruhan.

Apabila anda bayar jumlah minimum mengikut penyata bulanan, akaun anda masih dalam keadaan baik. Maksudnya, akaun anda masih aktif untuk digunakan dan penggunaan kad kredit anda tidak akan dihadkan oleh pihak bank. Namun begitu, hutang anda akan meningkat disebabkan kadar faedah yang dikenakan ke atas baki tertunggak.

Lebih membimbangkan jika anda terus-menerus menggunakan kad tersebut dan hanya jelaskan bayaran minimum, ia akan meningkatkan baki keseluruhan dan faedah boleh terkumpul dengan cepat. Ia sekali gus menyebabkan anda perlu lebih banyak masa untuk menjelaskan hutang kad kredit ini.

Salah satu cara terbaik – berhenti menggunakan kad kredit buat sementara waktu. Fokuskan kepada usaha untuk melunaskan kesemua baki yang ada terlebih dahulu. Hutang kad kredit yang tertunggak boleh menjejaskan skor kredit dan aliran tunai anda.

Apa yang Akan Berlaku Jika Anda Hanya Membayar Jumlah Minimum Kad Kredit?

3. Apa yang Akan Berlaku Jika Anda Bayar Kurang daripada Bayaran Minimum Kad Kredit yang Ditetapkan?

Bayar hutang kad kredit kurang daripada bayaran minimum yang ditetapkan bukanlah jalan terbaik. Ini kerana, ia secara tidak langsung akan menjejaskan nisbah penggunaan kredit anda. Nisbah penggunaan kredit merujuk pada peratusan yang mewakili jumlah kredit yang digunakan dan dibahagikan dengan jumlah kredit yang tersedia untuk anda.

Pihak bank biasanya akan menggunakan nisbah penggunaan kredit untuk menentukan tahap kesihatan kredit anda. Jika anda menguruskan hutang semasa dengan baik, besar kemungkinan apa-apa pinjaman atau permohonan dengan bank senang untuk diluluskan. Jika sebaliknya, anda mungkin berdepan masalah untuk mendapatkan pinjaman daripada pihak bank.

Nisbah penggunaan kredit yang baik mestilah kurang daripada 30 peratus atau lebih rendah. Selain itu, jika anda bayar kurang daripada bayaran minimum yang dinyatakan atau terlepas tarikh bayaran akhir, anda akan dikenakan kadar faedah yang tinggi. Berikut adalah tiga peringkat kadar faedah kad kredit yang dikawal selia oleh Bank Negara untuk rujukan anda:

  • Tier 1: Memerlukan anda membayar faedah maksimum sebanyak 15 peratus setahun untuk pembayaran tepat pada masanya selama 12/12 bulan;
  • Tier 2: Memerlukan anda membayar faedah maksimum sebanyak 17 peratus setahun untuk pembayaran tepat pada masanya selama 10/12 bulan;
  • Tier 3: Memerlukan anda membayar faedah maksimum sebanyak 18 peratus setahun untuk pembayaran tepat pada masanya kurang daripada 10/12 bulan.

Selain caj faedah, anda juga berkemungkinan akan dikenakan denda lewat bayar yang biasanya dikenakan pada kadar satu peratus daripada baki tertunggak yang belum dibayar. Ia tertakluk kepada minimum RM10 atau mana-mana yang lebih tinggi sehingga maksimum RM100 untuk setiap bulan.

Jumlah denda lewat bayar berbeza antara pengeluar kad kredit, anda disarankan untuk semak terma dan syarat kad kredit tersebut. Lebih buruk lagi, skor kredit CCRIS anda juga akan turut terjejas jika anda bayar kurang daripada amaun minimum yang ditetapkan.

Mengharungi Ketidakpastian Masa Depan Bersama Qoala Malaysia

Mengharungi Ketidakpastian Masa Depan dengan Lebih Yakin Bersama Qoala Malaysia

Walaupun penggunaan kad kredit memberikan kemudahan semasa berbelanja, penting untuk anda merancang pembelian anda. Kad kredit jika tidak digunakan dengan bijak boleh menyebabkan anda terjerumus dalam risiko hutang yang tidak terkawal. Elakkan daripada berbelanja melebihi kemampuan dan sentiasa membayar baki penyata sepenuhnya sebelum tarikh akhir untuk mengekalkan skor kredit.

Bayaran minimum kad kredit boleh memberi kesan besar kepada kesihatan kewangan anda. Anda mungkin perlu ambil masa lebih lama dan memerlukan kos yang lebih tinggi untuk melunaskan bil kad kredit anda. Meskipun kad kredit menawarkan fleksibiliti dalam menguruskan perbelanjaan yang tidak dijangka, penting untuk anda memiliki perlindungan tambahan seperti insurans kesihatan.

Seperti mana kad kredit membantu dalam mengurus keperluan kewangan segera, insurans perubatan dan kesihatan melindungi anda daripada bebanan perubatan yang mungkin dihadapi. Untuk info lanjut berkaitan insurans kesihatan di Malaysia, layari laman web Qoala untuk info lanjut.

Qoala merupakan platform perbandingan dan pembaharuan insurans online paling popular di Malaysia. Dapatkan insurans kesihatan terbaik di Malaysia hari ini.

Kongsi:
About Writer
Editor
Pakar pengurusan kewangan peribadi untuk membantu anda uruskan kewangan dengan lebih baik!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60