Anda masih lagi tertanya-tanya apa itu NFT? Bila scroll je media sosial tak kiralah Facebook, Twitter, Instagram atau TikTok, mesti anda dah nampak banyak perbincangan atau konten berkaitan NFT. Ia sering diperkatakan sebagai ‘The Next Big Thing’ dan NFT dijangka akan terus berkembang dan menjadi semakin popular. Dalam artikel ini, Qoala akan menjelaskan apa itu NFT, senarai NFT termahal di dunia, NFT Malaysia dan banyak lagi untuk anda ketahui. Anda pun mungkin boleh cuba-cuba untuk menceburi dan melabur dalam NFT selepas membaca artikel ini.
Bagaimana NFT Berfungsi?
2021 merupakan tahun NFT betul-betul meletup dan menjadi perhatian di seluruh dunia. Ramai selebriti dan atlet terkenal yang dah mula melibatkan diri dalam dunia NFT. Antaranya, Justin Bieber, Lionel Messi, Eminem, Stephen Curry dan ramai lagi. Malaysia juga tak ketinggalan dalam dunia NFT ini dengan adanya beberapa platform NFT mendapat sambutan yang hangat. Semakin ramai rakyat Malaysia mula melibatkan diri dalam NFT.
Non-Fungible token atau lebih dikenali dengan nama glamour nya NFT ini merupakan token digital yang membolehkan anda untuk menjual dan membeli hak milik aset digital. Contoh NFT adalah seperti lukisan, muzik, animasi, GIF, video, kosmetik dalam permainan video, dan tiket konsert.
Maksud “Non-fungible” adalah ia unik dan tak boleh digantikan dengan sesuatu yang lain dalam kategori yang sama. Sebabnya nilai yang berbeza-beza dan harga bergantung pada mana-mana pembeli yang sanggup membayar . Contoh non-fungible adalah seperti aset macam berlian, lukisan atau tanah mempunyai keunikan tersendiri dan nilainya boleh berubah-ubah.
Lain pula dengan “fungible”, ia boleh ditukar-tukar sebab nilainya sama sahaja. Contohnya macam bitcoin, satu bitcoin bersamaan dengan satu bitcoin atau duit RM50 sama dengan RM50. Cryptocurrency juga merupakan salah satu contoh fungible. Maksudnya kalau anda tukar pun sama sahaja nilainya.
Berbalik pada NFT, seperti yang Qoala jelaskan tadi, ia merupakan produk atau aset digital. Lagi satu yang anda kena tahu NFT ini digabungkan dengan teknologi blockchain. Blockchain ini membolehkan maklumat digital direkodkan dan diedarkan tetapi tak boleh diedit. Maksudnya aset digital yang dimiliki itu asli dan tak ada unsur tokok tambah dan sebagainya.
Kalau anda nak mudah faham bagaimana NFT ini berfungsi, bayangkan anda ada sebuah digital art yang mempunyai keunikan tersendiri dan kemudian tak sangka ia menjadi viral dan menjadi perhatian ramai. Tapi biasalah lukisan secara online ini mudah je “dicuri” dan kebiasaannya tak ada kredit akan diberikan kepada anda. Jadi, dengan adanya NFT, karya seni pereka artis ini dilindungi dan digital art anda ini dianggap sebagai aset digital yang mempunyai nilai yang tersendiri.
4 Fakta Menarik Tentang NFT
Sekarang anda dah tahu apa maksud NFT, sekarang Qoala nak kongsikan 4 fakta menarik mengenai NFT pula.
1. Kenapa NFT Mahal?
Macam mana nilai sebuah NFT boleh menjadi begitu tinggi dan ada yang sanggup membeli sehingga berjuta-juta ringgit? Dah macam harga rumah mewah. Jadi, siapa sebenarnya yang menetapkan harga sebuah aset digital ini? Aset NFT tidak disertakan dengan label harga, maka ini bermakna nilainya adalah spekulatif semata-mata.
Maksudnya di sini, nilainya bergantung pada pasaran, penawaran dan permintaan. Secara ringkasnya, ia berfungsi seperti semua komoditi lain, di mana mesti ada permintaan untuk ia mempunyai nilai. Satu lagi faktor yang mendorong nilai NFT adalah ianya eksklusif dan rare. Ini bermakna penjual boleh menetapkan harga karya seni mengikut kehendak dan pembeli yang sanggup membeli akan membayar kos itu untuk mendapatkan pemilikan aset digital NFT ini.
Jangan salah faham, pembeli-pembeli NFT tak memperoleh hak cipta atau copyright, cuma mereka tertarik dengan idea yang mereka mempunyai salinan digital yang asli. Pembeli NFT memiliki beberapa baris kod yang membuktikan dia merupakan pemilik satu aset digital yang unik.
2. Senarai NFT Paling Mahal dan Popular
Jom kita tengok antara transaksi NFT yang popular dan antara yang termahal dalam sejarah setakat ini. Pada tahun 2021, Co-founder Twitter, Jack Dorsey telah mengadakan lelongan untuk menjual tweet pertama dalam sejarah Twitter sebagai NFT. Menurut CNBC, tweet tersebut telah dijual sebanyak $2.9 juta (RM12.1 juta) kepada seorang individu untuk memiliki tweet itu.
Video asal “Charlie Bit My Finger,” video ikonik yang pernah viral satu ketika dulu pada tahun 2007 telah dijual sebagai NFT dengan harga $760,999 (RM3.18 juta). Kalau anda cuba mencari video asli ini dengan tontonan mempunyai hampir 900 juta tontonan di Youtube, anda tak akan jumpa sebab ia telah dikeluarkan dan dari platform tersebut. Yang anda akan jumpa cuma video-video salinan dan bukan video asal.
“Disaster Girl” meme daripada foto Zoë Roth pada 2005 melihat sebuah rumah yang terbakar di kawasan kejiranannya, dijual pada tahun 2021 dalam lelongan NFT dengan harga $500,000 (RM2.09 juta) .
Nyan Cat, animasi seekor kucing terbang dengan Pop-Tart yang meninggalkan jejak pelangi, dijual pada harga kira-kira $590,000 (RM2.46 juta)
Anda mungkin ingat 4 NFT yang Qoala kongsikan di atas ini dah cukup mahal. Kalau nak dibandingkan dengan senarai NFT art yang terjual pada tahun 2021, senarai NFT di atas ini mungkin akan nampak murah sahaja. Berikut merupakan senarai 5 NFT termahal yang terjual pada tahun 2021:
- The Merge: USD 91.8 juta (RM383.5 juta)
- Everydays – The First 5000 Days: USD 69.3 juta (RM289.5 juta)
- Human One: USD 28.9 juta (RM120.7 juta)
- CryptoPunk #5822: USD 23.7 juta (RM99 juta)
- CryptoPunk #7523: USD 11.75 juta (RM49.1 juta)
3. NFT Malaysia
Bagaimana pula dengan situasi NFT di Malaysia sekarang ini? NFT di Malaysia boleh dikatakan ia telah berkembang dengan laju. Tambahan pula, banyak juga marketplace seperti Pentas dan TRART yang disediakan untuk memudahkan transaksi NFT tempatan. Trend ini dijangkakan akan terus berkembang dan menarik minat lebih ramai rakyat Malaysia.
Pelbagai NFT yang kita lihat daripada artis tempatan dari animasi 3D, meme internet, sehinggalah ilustrasi warisan budaya kita yang menakjubkan. Ramai pengkarya-pengkarya tempatan yang meletakkan hasil NFT art di marketplace telah mendapat pulangan yang lumayan sehingga berjuta-juta ringgit.
Red Hong Yi telah menjual karya “Doge to the Moon” dengan harga RM325,000.
“Apes stand strong” oleh Katun yang merupakan yang merupakan sebahagian daripada jualan berjumlah RM1.6 juta.
Kalau anda nak tahu, anda juga boleh duit dengan NFT. Macam mana nak buat NFT? Secara ringkas, cara buat NFT dan jual adalah seperti berikut:
- Buat NFT anda sendiri sama ada dalam bentuk gambar, muzik, ilustrasi digital, gif dan sebagainya. Contohnya, anda boleh menggunakan Adobe Illustrator untuk mencipta lukisan digital dan anda boleh menjadikannya unik.
- Selepas anda dah sediakan aset digital, anda perlu pilih platform atau marketplace seperti Pentas untuk anda muat naik.
- Anda perlu menggunakan wallet crypto yang bersesuaian seperti Metamask dan anda juga perlu sediakan wang crypto. Contohnya, platform seperti Pentas menggunakan BNB.
- Upload aset digital anda dan kemudian anda perlu tetapkan harga NFT yang anda ingin jual.
4. Nak Beli NFT? Ketahui Kelebihan NFT dan Keburukan NFT
Seperti mana-mana pembelian karya seni lain, apabila anda membeli NFT, anda sedang membuat pelaburan. Adakah NFT ini satu jenis pelaburan risiko rendah atau tinggi? Seperti mana-mana pelaburan, terdapat kebaikan dan keburukan untuk dipertimbangkan sebelum melabur duit anda untuk karya digital.
Kebaikan NFT
- Ada potensi harga akan terus naik dan boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi.
- Peluang untuk pengkarya menjana pendapatan yang lumayan
- Mempunyai hak milik digital kepada sesuatu yang unik dan tak boleh diganti atau dicari di tempat lain.
Keburukan NFT
- Nilai yang tak menentu sebab pembeli NFT tak ada hak cipta, cuma hak milik. Pemilik tak boleh menghalang salinan lain di platform internet.
- Yuran gas NFT yang tinggi. Ini bergantung pada penawaran dan permintaan.
- Boleh kehilangan NFT sekiranya aplikasi atau platform yang menyimpan aset digital anda gagal untuk berfungsi ataupun penggunaannya diharamkan
Seperti pelaburan yang lain NFT mempunyai risiko-risiko yang tersendiri. Kalau anda nak melibatkan diri, Qoala nasihatkan supaya tambahkan ilmu melabur, membeli dan menjual di platform NFT. Kalau sebelum ini anda kurang jelas dan tak tahu apa itu NFT, diharapkan artikel ini dapat sedikit sebanyak bantu anda untuk faham bagaimana transaksi dan urusan NFT ini dilakukan.
P.S Sekiranya anda sedang mencari insurans kereta murah, layari laman web Qoala untuk nikmati tawaran insurans kereta terbaik di Malaysia. Jangan tunggu lama-lama, jom lindungi kereta anda dengan Qoala!