Sekiranya anda peka dengan perkembangan teknologi semasa, anda mesti pernah dengar tentang Metaverse, bukan? Bagi anda yang mungkin tidak tahu apa itu Metaverse, anda boleh ikuti artikel ini. Pada asasnya, Metaverse adalah gabungan pelbagai elemen dalam teknologi yang direka untuk membolehkan pengguna merasai pengalaman hidup dalam dunia digital. Artikel ini akan bantu anda ketahui dengan lebih lanjut mengenai Metaverse dan bagaimana ia bakal mempengaruhi kehidupan seharian anda.
Bersedia Menghadapi Masa Depan dengan Metaverse
Sejak Metaverse diumumkan oleh CEO Meta, Mark Zuckerberg pada Oktober 2021, ia merupakan satu topik yang begitu hangat dibincangkan kerana potensinya yang amat besar. Memetik laporan analisis Bloomberg 2021, platform ini mampu membuka peluang pasaran hampir $800 billion USD. Ini bermakna Metaverse menjanjikan peluang pekerjaan, permainan dan interaksi sosial tanpa had dan menjana pendapatan.
Untuk menjawab persoalan apa itu Metaverse, anda perlu mengetahui konsepnya terlebih dahulu. Istilah ini pada asalnya telah diperkenalkan dalam novel 1992 oleh Neal Stephenson yang merujuk “Metaverse” sebagai ruang virtual yang menggunakan teknologi augmented reality dan virtual reality, boleh diakses melalui rangkaian gentian optik dan ditayangkan ke dalam gogal VR. Ini bermakna anda boleh membeli-belah atau berinteraksi dengan rakan dan keluarga melalui avatar secara online tanpa perlu berjumpa secara fizikal.
Maksud Metaverse
Apa itu Metaverse? Ia merupakan dunia maya 3D yang dicipta menggunakan augmented reality (AR), virtual reality (VR) dan teknologi video. Ini bermaksud pengguna boleh menjalani kehidupan di dunia maya. Tujuan Metaverse dicipta adalah untuk menjadi platform komunikasi moden dan memudahkan anda melakukan aktiviti harian seperti bekerja, bermain, bersosial, dan juga menghadiri konsert secara maya.
Untuk pengetahuan anda, sebenarnya, banyak syarikat yang mahu dan telah cuba merealisasikan konsep Metaverse ini dalam kehidupan sebenar. Syarikat Meta yang dahulunya dikenali sebagai Facebook dilihat mempunyai perancangan yang terbaik dan konsep Metaverse ini dijangkakan bakal memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian anda.
Bagaimana Metaverse Akan Mempengaruhi Hidup Anda? 8 Perkara yang Anda Boleh Jangkakan
Jika visi syarikat Meta tercapai, Metaverse bakal menjadi persekitaran yang komprehensif, ibarat dunia yang baharu yang membolehkan anda melakukan hampir apa sahaja. Disebabkan ini, anda mungkin tertanya-tanya mengenai cara Metaverse bakal mengubah kehidupan seharian manusia. Berikut merupakan lapan perkara yang anda boleh jangkakan:
1. Peluang Pekerjaan di Metaverse
Metaverse dijangkakan akan terus berkembang dan ini bermakna ekonominya juga akan berkembang. Ini akan mencipta peluang pekerjaan baharu dan unik yang tidak terdapat di tempat lain. Sebagai contoh, seseorang boleh menjadi pemandu pelancong Metaverse dan membantu pengguna baharu meneroka dunia Metaverse. Selain itu, tidak mustahil acara seperti majlis perkahwinan di platform Metaverse juga boleh mewujudkan peluang pekerjaan seperti perancang perkahwinan, penghias dan sebagainya.
2. Berinteraksi dengan Rakan Sekerja
Kebanyakan pakar bersetuju bahawa konsep bekerja dalam Metaverse bakal mengubah cara syarikat-syarikat tertentu beroperasi. Seperti yang anda tahu, sejak pandemik COVID-19 terjadi, banyak syarikat telah membenarkan pekerja-pekerja bekerja dari rumah sehingga ke hari ini. Metaverse membolehkan anda berinteraksi secara peribadi di dalam ruang digital melalui teknologi VR.
Anda akan berada seolah-olah di dalam pejabat atau bilik mesyuarat kerana ia terbina dalam dunia maya 3D. Pengguna boleh memanfaatkan alatan kerjasama seperti kanvas papan putih tanpa had, ruang yang berterusan dan papan kekunci VR untuk bekerja dengan rakan sekerja.
3. Membeli Hartanah
Membeli hartanah virtual di Metaverse dilihat sebagai satu peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan. Disebabkan ini, syarikat-syarikat terkemuka seperti PwC, JP Morgan, HSBC dan Samsung telah pun mengambil tanah lot maya yang ingin dibangunkan untuk untuk tujuan-tujuan tertentu. Kurang daripada setahun yang lalu, harga purata untuk sebidang tanah terkecil yang tersedia untuk dibeli di Decentraland atau Sandbox – dua platform Metaverse terbesar adalah di bawah $1,000. Hari ini ia bernilai pada kira-kira $13,000. Urusan hartanah di Metaverse dilaksanakan menggunakan token mata wang kripto.
Sebaik sahaja anda membeli hartanah, anda boleh menjualnya pada nilai yang lebih tinggi, atau memajakkannya kepada pemaju hartanah di alam Metaverse. Selain itu, anda juga boleh beli rumah virtual di alam Metaverse dan pelbagai perkara anda boleh lakukan seperti renovate rumah tersebut mengikut cita rasa anda.
4. Membeli-belah
Metaverse membolehkan anda melakukan online shopping dengan cara yang baharu dan futuristik. Avatar anda boleh memasuki kedai atau shopping mall maya, mencuba produk seperti pakaian atau kasut seolah-olah anda membeli-belah dalam dunia yang sebenar. Sebagai pengguna Metaverse, anda boleh sama ada membeli produk virtual untuk avatar anda atau melakukan pembelian untuk kegunaan dunia sebenar dengan konsep yang sama seperti anda membeli barangan di platform e-dagang.
5. Digital Artwork NFT
NFT merupakan salah satu bentuk pelaburan yang baharu dan menjadi topik yang hangat dibincangkan terutama sekali di platform-platform media sosial. Anda juga boleh mengumpul NFT digital art di dalam dunia Metaverse. Untuk pengetahuan anda, NFT boleh dijual semula untuk menjana keuntungan. Pengguna hanya boleh mengekalkannya sebagai sebahagian daripada koleksi. NFT juga tersedia di luar Metaverse iaitu melalui pasaran kripto.
6. Menghadiri Pelbagai Majlis dan Acara
Di dalam dunia Metaverse, anda juga boleh menghadiri pelbagai acara atau majlis seperti konsert, perjumpaan korporat, seminar dan sebagainya. Acara-acara seperti ini berpotensi menarik lebih ramai peserta kerana tidak perlu bergerak secara fizikal dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Segelintir pakar berpendapat dengan adanya kemudahan Metaverse, pengguna mungkin tidak perlu lagi beli kereta kerana pengguna boleh berjumpa dengan rakan-rakan, ahli keluarga atau menghadiri kelas melalui platform virtual ini. Contohnya, anda boleh menghadiri seminar daripada seorang pakar dalam sesuatu bidang dalam alam Metaverse. Anda akan berada dalam bilik seminar virtual yang sama.
7. Membuat Kawan atau Menambah Kenalan
Metaverse memudahkan anda untuk bertemu dan berkenalan dengan orang baharu dari mana jua anda berada. Anda boleh berkawan dengan orang dari Brazil, Sri Lanka, Perancis dan sebagainya di dalam dunia Metaverse. Terdapat beberapa permainan Metaverse yang direka khas untuk membantu pengguna bertemu dan berinteraksi di antara satu sama lain. Selain itu, terdapat juga pasangan yang berjumpa di Metaverse dan melangsungkan pernikahan di alam ini.
8. Mencipta Avatar Mengikut Cita Rasa Anda
Anda boleh menjadi sesiapa sahaja di alam Metaverse kerana ada kemudahan mengubah suai avatar anda. Sebagai contoh, pengguna bebas menukar warna rambut, jenis badan, aksesori, jantina, atau muncul sebagai watak fiksyen dalam Metaverse.
Bilakah Anda Perlu Bersedia untuk Metaverse?
Sukar untuk mengetahui dengan tepat masa Metaverse bakal menjadi sebahagian besar dalam hidup kita. Walau bagaimanapun, aspek-aspek tertentu dalam konsep itu sudah pun memasuki kehidupan seharian kita. Contoh yang jelas adalah dalam Meta (Facebook), yang memiliki syarikat Oculus yang bertanggungjawab mencipta set kepala VR.
Sebagai langkah persediaan, anda boleh mempelajari tentang metaverse dengan membaca artikel-artikel yang mempunyai sumber yang boleh dipercayai, mengikuti kursus-kursus berkaitan Metaverse dan mengikuti perbincangan mengenai Metaverse di platform-platform seperti Youtube. Ini akan membolehkan anda untuk membuat persiapan secukupnya menghadapi kemunculan Metaverse. Dengan mengetahui apa itu Metaverse dan 8 perkara yang anda boleh jangkakan, anda akan lebih bersedia.
Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans kereta terbaik untuk kereta baharu anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans terbaik di Malaysia yang turut menyediakan insurans motor dan insurans rumah dengan jaminan proses beli insurans yang selamat, berpatutan dan mudah.