Populariti kripto sememangnya semakin meningkat sehingga beratus juta pelabur dari serata dunia mula melibatkan diri dan kini lebih ramai yang telah mendapat pendedahan tentang apa itu cryptocurrency. Artikel ini akan menerangkan maksud crypto dan empat lagi perkara yang akan membantu anda fahami apa itu kripto sebelum anda pertimbangkan keputusan sama ada mahu membuat pelaburan ini atau pelaburan risiko rendah lain.
5 Perkara Anda Perlu Tahu Sebelum Buat Pelaburan Crypto
Secara umumnya, penerimaan kripto ini terbahagi kepada dua perspektif oleh pakar-pakar kewangan dan pelaburan. Ada yang berpendapat ini merupakan ‘wang masa depan’ yang akan terus berkembang. Lagi satu perspektif pula berpendapat kripto ini tidak bernilai kerana nilainya tidak stabil dan adalah spekulatif semata-mata seperti pelaburan NFT.
Pada November 2021, Bitcoin yang merupakan cryptocurrency paling bernilai mencapai nilai yang paling tinggi iaitu $69,000 (RM303,462) setiap unit. Namun begitu, pada 14 Jun 2022, bitcoin mengalami penurunan yang mendadak iaitu melebihi 67 peratus menjadikan nilainya hanya sekitar $21,000 (RM92,358). Ini menunjukkan nilainya masih belum lagi stabil kerana boleh naik dan turun pada bila-bila masa. Berikut adalah lima perkara penting yang anda perlu tahu tentang crypto:
1. Apa Maksud Cryptocurrency?
Secara asasnya, cryptocurrency merupakan pelaburan baru dan konsepnya tidak sama seperti konsep pelaburan yang sudah lama wujud seperti pulangan dividen ASB, pelaburan hartanah dan sebagainya. Untuk anda fahami apa itu crypto, terdapat tiga elemen penting yang anda perlu tahu iaitu maksud crypto itu sendiri, maksud blockchain dan maksud cryptography.
Cryptocurrency merupakan satu bentuk mata wang digital yang yang digunakan sebagai medium transaksi dan ia bergantung kepada teknologi blockchain. Anda boleh bandingkan konsep kripto ini lebih kurang sama seperti konsep mata wang sebenar. Perbezaan utamanya adalah kripto tidak wujud dalam bentuk fizikal seperti wang kertas dan syiling.
Selain itu, kripto tidak tidak mempunyai kuasa pusat seperti Bank Negara yang mengawal dan memantau semua urusan mengenai duit, kredit kad, skor CCRIS, skor CTOS dan sebagainya. Kripto beroperasi dengan sendiri kerana ia merupakan mata wang digital yang didesentralisasi atau decentralized dan wujud di luar perbankan tradisional. Ia bergantung kepada blockchain dan cryptography.
Apa Itu Blockchain?
Anda mungkin tertanya-tanya maksud blockchain. Untuk senang anda faham, semua transaksi kripto bergantung kepada blockchain yang merupakan lejar awam atau open ledger yang merekod semua transaksi di antara pelabur-pelabur. Dengan kata lain, blockchain merupakan satu bentuk penyimpanan rekod digital yang memaparkan lejar transaksi yang kekal dan tidak boleh diubah-ubah atau dimanipulasi.
Di blockchain, anda akan mendapati akan ada banyak kod. Untuk pengetahuan anda, cryptocurrency menggunakan teknik kriptografi atau cryptography untuk berfungsi. Teknik ini dikatakan lebih selamat dan transparent.
Apa Itu Cryptography?
Secara ringkasnya, maksud perkataan kriptografi itu sendiri bermakna “tulisan rahsia”. Cryptography merupakan satu kaedah yang melindungi maklumat dan komunikasi melalui penggunaan kod. Dengan kaedah ini, hanya pihak pemberi dan penerima sahaja yang boleh baca dan faham kod yang disampaikan. Teknik kriptografi memastikan aktiviti transaksi di antara pelabur kripto kekal selamat dan tersembunyi.
2. Bagaimana Cryptocurrency Berfungsi? Apa Beza Kripto dan Bank?
Sekarang anda sudah tahu apa itu cryptocurrency, namun, bagaimana pula dengan cara kripto berfungsi? Unit mata wang kripto dicipta melalui proses yang dipanggil mining atau perlombongan. Sebelum ini, anda mungkin pernah dengar tentang mining Bitcoin atau mining crypto tetapi mungkin anda tidak tahu maksud mining dalam konteks cryptocurrency.
Apa Itu Mining dalam Crypto?
Secara ringkasnya, mining melibatkan penggunaan kuasa komputer yang menjana coin crypto seperti Bitcoin. Mining kripto mempunyai dua matlamat iaitu menjana mata wang kripto baharu dan mengesahkan ketulenan urus niaga mata wang kripto pada rantaian blockchain. Sesiapa sahaja yang mempunyai rangkaian internet yang stabil dan mesin mining seperti mining rig, dan graphics card boleh menjadi seorang miner crypto.
Seperti yang telah dinyatakan tadi, idea di sebalik konsep kripto adalah decentralized dan ia tidak mempunyai satu institusi kewangan yang mengawalnya. Ini membolehkan anda membuat transaksi tanpa melalui pihak ketiga seperti bank. Bagaimana anda membuat transaksi tanpa pihak bank?
Idea kripto adalah anda bukan mempercayai satu pihak iaitu bank. Sebaliknya, anda mempercayai ramai pihak dalam blockchain. Sebab itulah crypto sering digelar sebagai transaksi yang telus atau transparent. Dengan cara ini, akan terdapat banyak salinan rekod transaksi dan ini menyukarkan seseorang untuk menipu dalam transaksi kerana semua orang mempunyai salinan rekod transaksi.
Contohnya, jika anda cuba mengubah lejar seperti menukar nilai transaksi dan ia tidak akan sepadan dengan rekod lain dalam blockchain. Akibatnya, transaksi ini akan ditolak. Secara ringkasnya, berikut menjelaskan perbezaan kripto daripada perbankan tradisional:
Sebagai contoh, katakalah anda berada di dalam sebuah kedai kasut sukan dan anda mahu membeli sepasang kasut bernilai RM400.
Transaksi Bank | Transaksi Cryptocurrency |
Anda menggunakan kad bank untuk bayar jumlah RM400. Cara transaksi ini berjalan adalah:
1. Anda swipe kad atau masukkan nombor pin, kemudian akan menunggu isyarat sama ada pembayaran anda diluluskan atau tidak oleh bank. 2. Apabila pembayaran diluluskan, bank akan mengemas kini rekod yang menunjukkan duit berpindah dari akaun anda kepada akaun kedai kasut sukan tersebut. |
Anda menggunakan cryptocurrency untuk beli kasut yang sama. Cara transaksi ini berlaku adalah seperti berikut:
1. Anda transfer nilai kripto tertentu kepada kedai. Blockchain akan menentukan sama ada anda mempunyai dana yang mencukupi. 2. Apabila transaksi diluluskan, rekod transaksi ini dapat dilihat melalui blockchain dalam bentuk cryptography oleh semua pelabur kerana blockchain merupakan satu lejar awam atau open ledger. |
3. Apakah Kebaikan Mata Wang Kripto?
Kenapa crypto popular? Tidak kira nilai crypto naik atau turun, ia sentiasa menjadi topik kewangan yang hangat. Beberapa jenama terbesar dunia kini menerima mata wang digital Bitcoin di Amerika Syarikat, antaranya Microsoft, Paypal, AT&T dan Starbucks. Kripto ini juga digunakan sebagai medium transaksi utama dalam dunia Metaverse. Selain itu, banyak nama syarikat cryptocurrency yang mula terlibat sebagai penaja dalam industri sukan antarabangsa. Pelaburan berjuta-juta dolar telah dibuat kepada dalam industri Formula One, bola sepak, UFC dan banyak lagi.
Kelebihan utama mata wang kripto adalah ia berdasarkan teknologi blockchain dan tidak bergantung kepada satu institusi kewangan. Berikut adalah kelebihan cryptocurrency yang membuatkan ramai berminat untuk melabur:
Identiti Dirahsiakan
Urus niaga mata wang kripto dapat dijalankan adalah tanpa mendedahkan identiti. Ini merupakan satu berita baik bagi pengguna yang mahukan privasi.
Telus
Walaupun identiti anda dirahsiakan semasa transaksi, data akan direkodkan pada lejar awam yang menggunakan teknologi blockchain. Ini bermakna data adalah telus dan boleh dilihat oleh orang ramai pada bila-bila masa.
Decentralization atau Didesentralisasi
Mata wang kripto tidak dikeluarkan oleh bank pusat atau disokong oleh mana-mana kerajaan setakat ini. Ini bermakna tiada campur tangan daripada kerajaan atau pengaruh daripada dasar monetari.
Berpotensi Memperoleh Keuntungan
Melabur dalam kripto sememangnya mempunyai risiko yang tinggi tetapi ia mampu menjana pulangan yang tinggi. Contohnya, pada tahun 2021, nilai Bitcoin meningkat sehingga lebih dua kali ganda.
4. Bagaimana Pula dengan Keburukan Mata Wang Kripto?
Walaupun crypto mempuyai kelebihan-kelebihan yang tersendiri, anda perlu berhati-hati kerana terdapat beberapa keburukan atau major drawbacks yang akan membuatkan anda fikir dua tiga kali sebelum mula melabur. Mesti anda pernah dengan nilai kripto jatuh dan ramai mengalami kerugian yang dahsyat disebabkan kripto sebelum ini. Berikut merupakan antara keburukan kripto yang anda patut tahu sebelum melabur:
Pelaburan Tidak Menentu
Walaupun harga mata wang kripto boleh melonjak tinggi, ia juga boleh jatuh ke nilai terendah dengan cepat. Contohnya, nilai mata wang kripto seperti Bitcoin boleh berubah dengan cepat, jadi sesetengah orang tidak merasakan ia selamat untuk menukar wang sebenar kepada Bitcoin.
Belum Sesuai untuk Dijadikan Sebagai Pelaburan Jangka Panjang
Oleh kerana pasaran kripto ini masih baharu, tidak siapa yang boleh menjangkakan perkara yang akan berlaku. Jadi jika anda ingin membuat pulangan yang stabil, ini mungkin bukan pertaruhan terbaik.
Pelaburan lain seperti pelaburan emas dan pelaburan ASB telah terbukti merupakan satu pelaburan jangka panjang yang baik tapi bagaimana pula dengan crypto? Tiada siapa yang benar-benar tahu apa yang akan berlaku kepada mata wang kripto dalam masa terdekat dan masa hadapan. Oleh itu, pelabur perlu berani kerana keputusan yang dibuat mungkin berdasarkan trial and error.
Terdedah kepada Crypto Scam
Cryptocurrency juga tidak lari dari sindiket scam. Scammer sering menggunakan platform seperti Facebook, Instagram dan Twitter untuk mengajak orang ramai melabur dan menipu menggunakan helah-helah tertentu. Kebiasaannya, sasaran mereka adalah pelabur baharu yang tidak mempunyai pengetahuan mendalam tentang cryptocurrency.
Tidak Ada Pusat Kawalan
Pasaran mata wang kripto tidak dikawal dan tiada peraturan atau polisi yang ditetapkan untuk melindungi anda. Sekiranya, kebanyakan syarikat atau ramai pengguna beralih kepada mata wang kripto baharu daripada anda atau berhenti menggunakan mata wang digital sepenuhnya, mata wang kripto anda akan jadi tidak bernilai.
5. Apakah Jenis Cryptocurrency yang Ada di Malaysia?
Terdapat banyak pilihan jenis crypto yang anda boleh labur. Berikut adalah antara jenis kripto yang anda boleh labur di Malaysia:
- Bitcoin
- Ethereum
- XRP
- Litecoin
- Bitcoin Cash
Patut Ke Anda Mula Masuk Dunia Kripto?
Ingat, pelaburan kripto merupakan satu pelaburan risiko tinggi kerana nilainya boleh berubah-ubah naik dan turun dengan sangat cepat. Oleh sebab itu, ilmu tentang apa itu cryptocurrency memang penting dan anda disarankan untuk dapatkan nasihat kewangan daripada perancang kewangan supaya anda boleh menilai sendiri dan dapat membuat keputusan dengan lebih baik sebelum melibatkan diri dalam dunia kripto.
Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans kereta murah dan terbaik, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala juga menawarkan harga insurans motor terbaik dan insurans rumah terbaik daripada beberapa syarikat insurans di Malaysia. Anda boleh pilih insurans mengikut keperluan dan bajet anda.