Tiada kesepakatan dan perbalahan antara waris untuk tukar nama rumah pemilik meninggal atau merasakan proses tuntutan harta pusaka terlalu rumit untuk diuruskan merupakan antara sebab harta pusaka tidak dituntut. Ketidakfahaman tentang cara tukar nama rumah pemilik meninggal dunia juga antara penyumbang kepada peningkatan kes harta pusaka tidak dituntut di Malaysia.
Tukar Nama Rumah Pemilik Meninggal: Cara Tukar Nama Tanah Pusaka kepada Waris yang Masih Hidup
Masalah harta pusaka tidak diuruskan banyak berlaku di Malaysia. Berdasarkan laporan Utusan Malaysia, dianggarkan hampir RM90 bilion jumlah harta beku dan tidak dituntut. Malah, hampir 90 peratus daripada jumlah harta tidak dituntut ini milik orang Melayu. Bagaimana proses tukar nama rumah pemilik meninggal dunia ini boleh dilakukan?
Apabila pemilik hartanah meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang wasiat, waris-waris disarankan untuk berbincang dengan sebaik mungkin bagi mendapatkan kata putus. Lantik seorang wakil dalam kalangan waris-waris si mati sebagai Pentadbir Harta. Pelantikan Pentadbir Harta bertujuan untuk menguruskan pembahagian harta si mati kepada waris-waris mengikut persetujuan bersama.
Sekiranya persetujuan untuk pembahagian harta yang ditinggalkan tidak berjaya dicapai antara waris-waris si mati, Pentadbir Harta perlu memfailkan permohonan di Mahkamah Syariat untuk mendapatkan Perintah Faraid.
Namun begitu, jika kesemua waris bersetuju dengan pembahagian harta tersebut, maka Pentadbir Harta tadi perlu memfailkan permohonan di Pejabat Pusaka Kecil (untuk nilai hartanah keseluruhan kurang daripada RM2 juta). Atau, anda juga boleh memfailkan permohonan Perintah Pusaka dan Pentadbir Harta di Mahkamah Tinggi sekiranya nilai keseluruhan hartanah melebihi RM2 juta.
1. Nilai Harta Kurang daripada RM2 Juta
Untuk kategori Harta Tak Alih (seperti rumah atau tanah) yang kurang atau tidak melebihi RM2 juta, segala urusan berkaitan bagi mendapatkan hak mentadbir harta boleh dilakukan di Pejabat Tanah (Bahagian Pusaka Kecil) di daerah masing-masing atau di mana-mana Pejabat Tanah berhampiran atau mengikut lokasi harta tersebut berada.
Pentadbir Harta atau wakil yang dipersetujui perlu memfailkan permohonan di Pejabat Pusaka Kecil bagi mendapatkan Perintah Pusaka dan Perintah Pentadbir Harta. ini bagi membolehkan hartanah yang ditinggalkan boleh dibahagikan kepada waris seperti yang dipersetujui atau mengikut bahagian faraid masing-masing.
2. Nilai Harta Melebihi RM2 Juta
Namun sekiranya nilai keseluruhan hartanah yang dimiliki bernilai melebihi RM2 juta, sebarang urusan pentadbiran atau penjualan harta berkenaan perlu dilakukan di Mahkamah Tinggi. Wakil yg dilantik perlu memfailkan permohonan Perintah Pusaka dan Pentadbir Harta di Mahkamah Tinggi.
Selepas Perintah Pusaka dan Pentadbir Harta diterima, Pentadbir Harta yang dilantik perlu membuat serahan Permohonan Pindahan di bawah Seksyen 346(1) Kanun Tanah Negara di pejabat Tanah yang berkenaan. Semasa proses serahan ini dilakukan, anda perlu sertakan bersama Salinan Asal atau Salinan Diperakui Sah Perintah Pusaka dan Pentadbir Harta.
Tujuan Permohonan Pindahan ini dilakukan adalah untuk membolehkan hartanah yang ditinggalkan atas nama si mati (pemilik berdaftar) dipindahkan kepada Pentadbir Harta sebagai pentadbir atau pemegang amanah kepada harta tersebut. Ia membolehkan hartanah tersebut dipindah milik daripada nama Pentadbir Harta kepada nama waris-waris yang berhak seperti yang dinyatakan dalam Perintah Pusaka tadi.
Oleh sebab itu, anda perlu melantik wakil yang amanah, jujur dan bertanggungjawab bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa proses tukar nama pemilik rumah meninggal dilakukan.
7 Proses Mudah Tukar Nama Rumah Pemilik Meninggal
Setelah pemilik harta meninggal dunia, Pejabat Tanah biasanya akan membekukan atau menghalang sebarang transaksi atau turun milik nama setelah mendapat makluman. Ini bermaksud, setelah kematian pemilik asal, waris perlu membuat urusan tukar nama dengan berurusan di Pejabat Tanah mengikut prosedur-prosedur tertentu.
Secara ringkasnya, cara tukar nama tanah pemilik meninggal dunia adalah seperti berikut:
- Lantik Pentadbir Harta dalam kalangan waris-waris si mati;
- Failkan tuntutan pusaka di Pejabat Tanah (Bahagian Pusaka Kecil) atau Mahkamah Tinggi Sivil (jika nilai hartanah melebihi RM2 juta) bagi mencairkan harta tersebut;
- Selepas Pindahan difailkan, Pejabat Tanah atau Mahkamah Tinggi (mana-mana berkaitan) akan keluarkan Perintah Pusaka dengan menetapkan bahagian setiap waris yang berhak ke atas hartanah yang ditinggalkan dan masukkan nama Pentadbir Harta pada Surat Hak Milik Hartanah (geran tanah);
- Setelah nama Pentadbir Harta dimasukkan dalam geran tanah, hartanah tersebut kini boleh dipindah milik kepada waris-waris yang layak mengikut bahagian masing-masing dan tertakluk pada Perintah Pusaka;
- Bawa perintah pusaka tersebut ke Pejabat Tanah untuk urusan turun milik;
- Nama waris akan dicetak pada geran;
- Selesai.
Sekiranya pembahagian hartanah tersebut melibatkan Faraid, Pejabat Tanah biasanya akan terus memasukkan nama Pentadbir Harta dan waris-waris sebagai pemilik berdaftar baharu pada geran tanah mengikut bahagian masing-masing. Selepas kesemua nama waris direkodkan di dalam geran, satu geran tanah baharu akan dikeluarkan oleh Pejabat Tanah.
Sekiranya pemilik berdaftar di dalam geran lebih daripada seorang, Pentadbir Tanah biasanya akan dipertanggungjawabkan untuk memegang geran asal tanah tersebut. Untuk prosedur yang lebih terperinci atau sebarang pertanyaan berkaitan proses ini, anda disarankan untuk merujuk Pejabat Pusaka Kecil untuk info lanjut.
Perkara Perlu Anda Lakukan Setelah Urusan Jualan & Turun Milik Selesai
Urusan turun milik rumah atau tukar nama rumah pemilik meninggal perlu dilakukan dengan kadar segera sebaik sahaja pemilik hartanah tersebut meninggal dunia. Lebih baik jika proses ini dilakukan setelah mencapai persetujuan bersama. Berbincang terlebih dahulu dengan waris lain bagi mencapai persetujuan untuk mengelakkan salah faham atau perbalahan.
Secara asasnya, persetujuan boleh dicapai dengan tiga kaedah berikut antaranya kaedah faraid, muafakat atau bertolak ansur (beri kepada pewaris atau adik-beradik yang lebih memerlukan). Namun begitu, setelah selesai proses tukar nama rumah pemilik meninggal atau jualan harta selesai, pewaris perlu selesaikan segala perbelanjaan berkaitan si mati dengan hasil penjualan tersebut sebelum diagihkan kepada waris termasuklah:
- Perbelanjaan pengebumian si mati;
- Membayar segala hutang-piutang si mati;
- Bayaran kepada ejen, peguam atau apa-apa bayaran tertangguh lain yang berkaitan si mati.
Semoga panduan tukar nama rumah pemilik meninggal dunia ini membantu anda. Selain itu, sekiranya anda sedang merancang untuk mendapatkan perlindungan insurans rumah, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform perbandingan insurans terbaik di Malaysia dengan jaminan harga insurans murah dan mampu milik.
Saya ada soalan untuk di tanyakan..saya nk tanya berapa lama urusan tanah tukar milik? Kami adik beradik dh hantar geran asal ke pejabat tanah hampir setahun lebih.apakah nk tunggu ada yg meninggal lagi ke mcm mana
sekiranya rumah si mati dijual oleh waris, selalunya berapa lama proses tukar nama dari pentadbir harta ke pembeli rumah yg baru?
Ayah saya dah meninggal dunia,geran nama arwah.anak-anak semua perempuan.boleh ke buat pertukaran hak milik…macammana proses..
Ayah mertua saya dh meninggal 7 tahun yang lalu..geran rumah atas nama ayah mertua…ayah mertua ada 2 anak lelaki, anak yang kedua sudah meninggal 2 tahun lalu..boleh ker rumah tersebut buat pertukaran nama atas nama mak mertua saya..terima kasih
Ayah dah meninggal. Rumah flat atas nama dia. Nak tukar nama, tapi strata title belum buat. Pemaju dah bankrap, hilang entah ke mana. Pejabat tanah perlu buat carian rasmi tapi tak boleh , sebab tak ada strata title. Tolong nasihat macamana ?
ayah saya dah meninggal dunia,geran atas nama arwah.anak-anak semua perempuan.boleh ke buat pertukaran hak milik…macammana proses..
Kedua ibu bapa telah meninggal dunia masing2 meninggalkan sebidang tanah. Kami punyai 8 adik beradik. 4 lelaki (semua telah meninggal dunia) dan 4 perempuan yangbmasih hidup. Gran tanah ibu dab bapa pula banyak nama keluarga lain. Kami bercadang utk jual tanah ibu dan bapa kami, supaya duitnya bolehlah dibahagikan kepada semua waris ygb 8 orang tadi. Bolehkah saya mendapatkan pencerahan apa yg perlu saya lakukan supaya pembahagian itu adil kepada semua waris yg ada. Tk
Saya nak tanya…. Tanah arwah ayah sy masih atas nama arwah mak ayah jadi… Proses dia mcm.mana…sama ke mcm tukar tanah biasa atau pon lain
bagaimana cara menukar hak milik tanah sekiranya pemilik dan waris tidak dapat dikesan
Mak mertua dan ank lelaki mmg pewaris sah rumah tu. Boleh buat pertukaran nama waris mengikut Faraid
Ayah Ada adik Beradik lain tak? Di sebab kan arwah ayah tiada anak lelaki maka adik Beradik termasuk pewaris harta arwah ayah .Begitu juga kalau arwah ayah masih ada mak & ayah .Mereka Berhak ke atas harta arwah ayah Apa2 Rujuk mahkamah shariah .
Arwah ibu sy telah meninggal 18 tahun yg lepas,
Sy dan adik beradik baru tahu yg arwah ibu mempunyai rumah dan rumah tersebut mempunyai 2 nama,iaitu arwah ibu sy dan abgnya yg masih hidup.
Boleh kah bahagian nama arwah ibu sy ditukarkan kepada nama sy dan adik beradik?(4 org)
Dan apa yg perlu kami lakukan?
assalamualaikum sy nak tanya macam sy anak saudara. mk saudara sy dh mninggl sblum mninggal dia amanah kn sy jaga tanh nya tp tnh tersbut tiada geran hanya dpt copy geran di pejabat daerah. mcm mna sy nk jual atau tukar nama. sbb sy dah tnya nenek nenek kata xnk tuntut pusaka tersbt sbb tiada bergeran. niat sy nak melangsai kan hutang arwah. sudah hampir 4tahun masig belum selesai.