Kereta, tidak kisah kereta terpakai atau kereta baru merupakan satu keperluan zaman kini kepada ramai orang. Namun, memiliki sebuah kereta memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Disebabkan keperluan memiliki sebuah kereta, terutamanya bagi mereka yang tinggal jauh daripada pengangkutan awam, ramai memilih untuk membeli kereta terpakai kerana harganya yang lebih murah berbanding dengan kereta baru.
Kereta terpakai mudah kini mudah untuk dibeli, namun jika anda tidak membeli tanpa semakan yang menyeluruh, ia boleh mendatangkan beban yang berat kepada anda dalam jangka masa yang panjang. Pelbagai aspek perlu dipertimbangkan sebelum membeli kereta terpakai. Sebagai contoh, pembayaran bulanan, kos tambahan, kos penyelenggaraan dan sebagainya.
Sebelum Mengeluarkan Duit Membeli Kereta Terpakai, Lakukan Ini
Membeli kereta terpakai bukan lah satu perkara mudah. Anda perlu menyemak pelbagai aspek dalam mendapatkan kereta yang terbaik bukan sahaja dari segi kuasa kereta tersebut, malah ia termasuklah kos-kos lain.
1. Tetapkan bajet
Menetapkan bajet yang bersesuaian dengan kemampuan anda adalah perkara pertama yang anda perlu lakukan dalam membeli kereta terpakai. Sama ada menetapkan bajet kereta terpakai pada di bawah harga RM50,000 atau dari segi bayaran pinjaman bulanan yang mampu dibayar. Sebagai contoh bayaran bulanan dalam lingkungan RM300 ke RM500 sebulan dengan tempoh bayaran sehingga lima tahun. Ianya bergantung kepada keadaan komitmen anda pada setiap bulan.
2. Hadkan tahun pengeluaran 5 tahun ke bawah
Antara sebab ramai membeli kereta terpakai adalah kerana harganya yang murah berbanding kereta baru. Namun, dalam pada murah, anda perlu memilih kereta dengan meletakkan had tahun pengeluaran 5 tahun ke bawah. Ini kerana, apabila kereta sudah terlalu lama, ia mungkin mendatangkan beban yang berlebihan kepada anda.
Kereta yang terlalu lama akan cepat meragam dan anda akan menghabiskan wang anda untuk membaikinya. Oleh itu, anda perlu kecilkan pilihan kereta mengikut tahun pengeluaran setakat 5 tahun. Mungkin ada kereta yang berusia lebih 5 tahun yang dalam keadaan yang baik. Namun, ia adalah satu risiko yang kita nak elakkan.
3. Semak mileage
Untuk pengetahuan anda, semakin tinggi jumlah mileage pada sesebuah kereta, semakin rendah lah nilai jualan kereta pakai tersebut. Salah satu panduan dalam membeli kereta terpakai adalah dengan menyemak mileage kereta. Pastikan anda memilih kereta dengan mileage yang rendah atau pun sederhana.
Baru-baru ini tular di media sosial tentang sebuah bengkel yang menawarkan perkhidmatan mengubahsuai mileage. Ini adalah satu tindakan yang salah di sisi undang-undang. Jadi bagi anda yang berminat untuk beli kereta ini, bagaimana cara mudah untuk anda tahu bahawa perbatuan kereta tersebut telah diubah?
Tips semak mileage
Berikut dua tips semak mileage yang boleh anda ikuti:
Rekod penyelenggaraan
Antara perkara yang anda boleh semak adalah rekod penyelenggaran. Dengan rekod tersebut, anda dapat mengetahui sama ada kereta terpakai tersebut diservis tepat pada waktunya atau tidak. Malah, perkara yang telah ditukar atau diganti seperti bendalir dan cecair penyejuk ataupun pemanggilan semula sekalipun boleh diketahui.
Ia juga memaparkan rekod mileage. Jadi, anda boleh padankan sendiri dengan bacaan odometer kereta tersebut. Sekiranya mileage dalam buku tersebut lebih tinggi daripada bacaan odometer, sudah pasti mileagenya telah diubah.
Komponen terlalu haus
Secara amnya, setiap komponen kereta mempunyai jangka hayatnya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada cara pemanduan dan penjagaan kereta terpakai tersebut. Sebagai contoh, spark plug kebiasaannya boleh bertahan sehingga 100,000 km. Jadi, sekiranya anda beli kereta yang mempunyai bacaan odometer sebanyak 50,000 km tetapi sudah perlukan spark plug yang baru, lupakan saja kerana sudah tentu ada yang tidak kena dengan kereta tersebut.
4. Semak luaran kereta
Orang puteh kata, don’t judge a book by its cover. Dalam situasi ini, jangan hanya tengok luaran saja yang cantik, pastikan dalaman kereta juga berada pada tahap yang baik. Bukan sahaja dalaman kereta sahaja yang perlu dinilai dan disemak dengan teliti, luaran kereta juga perlu terutamanya dari segi badan kereta.
Anda disarankan untuk memeriksa dan menyemak kereta pada waktu siang kerana pantulan cahaya matahari dapat membantu anda mengetahui tentang keadaan badan kereta. Keadaan seperti calar kecil, haus dan lusuh boleh diterima memandangkan ini adalah kereta terpakai.
Dalam situasi ini, anda perlu menyemak sekiranya badan kereta tersebut mempunyai celahan yang tidak rata pada panel badan berdasarkan pantulan. Sekiranya badan kereta terpakai tersebut mempunyai celahan tidak rata, ia merupakan tanda-tanda bahawa kereta itu pernah mengalami kemalangan.
Lagi satu, anda dinasihatkan untuk mengelakkan kereta terpakai yang mempunyai tompok karat. Anda boleh mencari titik karat yang biasa terdapat di sepanjang bumbung, kawasan sekitar kawasan enjin, lengkungan roda dan di bawah karpet lantai.
5. Periksa dalaman kereta
Ciri dalaman kereta yang penting seperti aircond adalah penting untuk disemak. Ini kerana dengan cuaca Malaysia yang panas, sudah tentunya aircond yang berfungsi dengan baik menjadi keutamaan. Anda harus pastikan aircond pada kereta terpakai tersebut tidak mengeluarkan bau yang busuk, dan tidak mengeluarkan bunyi yang pelik semasa enjin dihidupkan. Ini kerana jika anda tidak menyemak aircond dengan teliti, anda akan mengeluarkan duit yang banyak kerana kos pembaikinya juga tinggi.
Selain itu, antara ciri dalaman lain yang anda perlu semak adalah dari segi power window, tombol signal, wiper, lampu hazard, lampu panel, lampu kabin, sistem kunci dan juga sistem audio. Anda tidak boleh melangkau proses semakan ini terutamanya bagi kereta yang dilengkapi dengan ciri elektronik seperti sistem infotainment yang lengkap dengan ciri touch screen.
Antara semakan lain yang anda boleh buat adalah dengan memeriksa tanda-tanda kulat atau kelembapan. Sekiranya ada, ia menunjukkan kebocoran air pada kereta yang sukar untuk dibaiki. Tarik tikar karpet dan rasa mana-mana tempat yang lembap di lantai, but kereta dan tempat duduk. Kebocoran air di sepanjang pintu juga boleh menjadi tanda bahawa kereta itu mengalami kemalangan serius yang tidak boleh dibetulkan.
6. Periksa enjin kereta
Kereta yang mahal tiada gunannya jika enjin tidak berada dalam keadaan yang baik. Sebab itulah anda perlu memeriksa enjin kereta terpakai yang anda ingin beli.
Panduan pemeriksaan enjin kereta terpakai
Berikut adalah panduan memeriksa enjin kereta yang anda boleh praktikkan.
Maklumat pada geran dan kereta sama
Maklumat penting yang anda boleh semak pada geran adalah nombor chasis dan juga nombor enjin. Pastikan ia padan dengan nombor yang ada pada kereta. Jika tidak padan, kemungkinan kepala enjin kereta tersebut pernah diganti. Kebiasaannya, enjin terdahulu telah rosak dan ditukar sepenuhnya.
Hidupkan enjin ketika sejuk
Minta izin penjual untuk menghidupkan kereta terpakai tersebut. Ini untuk menyemak sama ada enjin berada dalam keadaan baik atau tidak kerana kereta akan mempunyai reaksi yang berbeza dalam keadaan sejuk atau panas. Pada kebiasaannya, enjin yang sejuk susah untuk dihidupkan. Kereta yang sesuai dengan cuaca di Malaysia sepatutnya tiada masalah untuk dihidupkan.
Namun, jika enjin kereta tersebut susah untuk dihidupkan, ia berkemungkinan mempunyai masalah-masalah seperti ini:
-
- Starter fuse rosak
- Starter relay rosak
- Bateri lemah
- ‘Transponder’ dalam kunci tak ada bateri/bateri lemah
- Fuel pump rosak
- Penapis minyak tersumbat
- Spark plug longgar atau rosak
Periksa ruang enjin apabila dihidupkan
Jika enjin tersebut bergegar/bergerak terlalu banyak apabila kereta dihidupkan, perkara ini barangkali disebabkan oleh mounting enjin yang tak elok. Gunakan lampu suluh dan lihat dengan teliti sekitar ruang enjin untuk mengesan sebarang kebocoran, dan dengar bunyi-bunyi lain yang pelik dengan teliti.
Semak asap ekzos
Sekiranya kereta terpakai tersebut mengeluarkan asap ekzos yang berwarna kebiru-biruan, ia bermakna kereta tersebut sedang membakar minyak enjin. Ia juga mungkin disebabkan oleh cincin piston yang haus, penutup injap (valve seals) haus, atau kerosakan kepala ‘gasket’. Jika ekzos mengeluarkan asap putih, ini juga petanda tidak bagus. Ia mungkin disebabkan oleh kebocoran pada kepala ‘gasket’.
Hidupkan enjin tanpa menggerakkan kereta
Kelajuan ‘idling’ enjin yang tinggi adalah sekitar 1,500 rpm. Tunggu sehingga enjin cukup panas untuk melihat kelajuan ‘idling’ yang asas.
Kelajuan ‘idling’ enjin yang tinggi secara berterusan boleh jadi disebabkan oleh masalah dengan aliran udara yang masuk ke dalam enjin ataupun masalah pada injap kawalan udara ketika kereta pegun. Kelajuan ‘idling’ enjin yang standard adalah sekitar 1,000 rpm. Selalunya, kelajuan ‘idling’ enjin yang sepatutnya ditulis pada stiker di bawah hud enjin.
Kelajuan ‘idling’ enjin yang tidak stabil barangkali ialah tanda kegagalan sensor Mass Air Flow (MAF). Enjin yang lebih kecil (3 silinder) mungkin akan ‘rev’ dengan lebih tinggi pada permulaannya, tapi ia akan menurun ke tahap kelajuan ‘idling’ yang sepatutnya apabila dibiarkan seketika. Kelajuan ‘idling’ dikawal oleh injap kawalan udara pegun (idle air control valve).
Semak kipas radiator
Radiator juga merupakan satu komponen yang penting dalam penjagaan enjin kereta terpakai. Ini kerana kipas adalah sebahagian daripada sistem penyejukan kereta. Ia selalunya hidup apabila suhu air mencapai 87 – 89 darjah Celcius. Jika ia tidak hidup, mungkin motor kipasnya atau ‘relay’ motor kipas yang rosak.
Matikan enjin dan semak minyak enjin
Untuk memeriksa minyak enjin, anda perlu memastikan kereta tersebut diparkir di atas jalan yang rata. ika tidak, beberapa kebocoran lebih susah untuk dikesan. Periksa bahagian bawah kereta untuk sebarang kebocoran. Dengan menggunakan alatan yang ringkas, anda boleh periksa warna, tekstur, dan tahap cecair-cecair kereta.
Selain itu, periksa juga penutup minyak enjin dan batang penyelup. Pastikan ia berada antara tanda minima dan maksima. Jika ia berada di bawah minima, minyak enjin tak cukup. Jika ia berada di atas tanda maksima, mungkin juga penjual tersebut cuba untuk menyembunyikan kebocoran minyak enjin.
7. Pandu uji kereta terpakai
Anda mempunyai hak untuk membuat pandu uji terhadap kereta terpakai yang anda pilih. Justeru itu, beritahu kepada penjual tersebut yang anda mahu membuat pandu uji. Pandu uji penting untuk memberikan keyakinan untuk anda membeli kereta terpakai tersebut.
Semasa pandu uji, lakukan langkah-langkah ini:
- Brek kereta secara perlahan dan juga brek kecemasan. Perhatikan sekiranya ada bunyi yang pelik semasa melakukan brek.
- Uji stereng semasa selekoh (selekoh tajam atau selekoh biasa). Kenal pasti sama ada terdapat sebarang bunyi semasa membelok atau memutar stereng.
- Buat pandu uji di kawasan yang tidak rata untuk kenal pasti sekiranya ada sebarang bunyi yang pelik datang daripada komponen-komponen kereta.
- Buat pandu uji dalam pelbagai kelajuan untuk menguji bunyi angin, gegaran enjin atau stereng dan sistem suspensi kereta;
- Uji gear kereta – jika transmisi manual (gear 1-5/6), manakala jika transmisi automatik –masukkan gear D4, D3 atau D2 termasuk R. Pastikan gear bergerak lancar dan tidak tersekat-sekat.
Beza kereta terpakai dan kereta recond
Sering dengan perkataan kereta recond tapi apa bezanya dengan kereta terpakai?
Secara amnya, kereta recond bermaksud kenderaan yang dibaikpulih sepenuhnya dan dijual semula dalam pasaran. Yang membezakan kereta recond dengan kereta terpakai ialah, kereta recond merujuk kepada kereta terpakai yang diimport dari luar negara dan dijual semula di sini.
Jabatan Pengangkutan Jalanraya mengenakan syarat yang ketat untuk membawa masuk kereta terpakai dari luar negara. Ia menyebabkan kualiti kereta recond biasanya dalam keadaan yang baik bahkan seperti kereta baharu berbanding kereta terpakai tempatan.
Panduan membeli kereta recond lebih kurang sama dengan kereta terpakai. Di bawah adalah tips-tipsnya:
1. Pilih pengedar yang terkenal
Anda disarankan untuk memilih pengedar kereta recond yang lebih dipercayai dan juga terkenal untuk mengurangkan risiko ditipu dan sebagainya.
Jika ada tawaran yang baik dari pengedar yang kurang terkenal, tanya kepada pihak bank mengenai status AP (permit import) syarikat tersebut.
Pihak bank selalunya mengetahui siapa yang mempunyai rekod AP yang baik kerana tanpa surat AP, anda tidak boleh membeli kenderaan tersebut atau ia akan mengambil proses yang lama untuk membelinya dan kemudian, menjualnya semula nanti.
Selain itu, anda perlu mencari pengedar yang sah untuk mengelakkan anda daripada membeli besi buruk. Terdapat sendikit yang menjual kenderaan yang pernah mengalami kemalangan yang teruk.
2. Informasi alatan aksesori
Jangan lupa untuk mendapatkan informasi tentang alatan aksesori kereta tersebut. Ini kerana kereta recond dan kereta terpakai mempunyai spesifikasi yang berbeza dari satu unit ke satu unit yang lain.
Pastikan anda mendapatkan maklumat yang tepat dari jurujual mengenai alatan dan aksesori yang ada pada kenderaan itu.
3. Buat kajian harga
Anda disarankan untuk membuat kajian harga untuk mengelakan diri ditipu dengan harga tinggi yang tak masuk akal. Anda boleh mendapat harga pasaran kenderaan tersebut dari laman-laman web seperti Motor Trader, Mudah atau Oto.my sebelum anda melakukan tinjauan ke pengedar-pengedar kenderaan recond.
4. Upah mekanik
Jika anda tidak mahir dalam memeriksa kereta terpakai atau kereta recond, apa yang anda boleh buat adalah dengan upah mekanik bagi melakukan pemeriksaan tersebut. Tambahan lagi, mereka lebih pakar dalam memeriksa kereta tersebut.
Kesimpulannya, anda perlu berhati-hati dalam membeli kereta terpakai atau pun kereta recond. Harga yang murah bukan penentu keputusan membeli. Pelbagai aspek perlu dipertimbangkan. Ini kerana jika kereta terpakai tersebut mempunyai pelbagai masalah, ia akan memberi impak buruk terhadap anda. Bukan sahaja dari segi wang ringgit untuk membaiki, anda juga terdedah dengan risiko kemalangan apabila kereta meragam.
Mujur ada insurans kereta yang dapat memberi perlindungan kepada kereta anda apabila ditimpa kecemasan. Tak tahu nak renew insurans kereta dekat mana? Renew saja di Qoala. Mudah dan pantas!