Brek Kereta Berbunyi? Ini 6 Perkara Penting Anda Perlu Tahu

Kali terakhir diperbaharui May 29, 2023 oleh Shafiq Wahab
Brek Kereta Berbunyi? Ini 6 Perkara Penting Anda Perlu Tahu

Brek kereta berbunyi pelik setiap kali anda menekan brek? Perkara ini tidak boleh diabaikan. Brek kereta adalah elemen yang amat penting dan perlu diberi perhatian dalam memastikan pemanduan yang selamat dan selesa bagi pemandu dan juga penumpang kereta yang lain. Brek yang tidak makan dan bermasalah sering menjadi punca kemalangan jalan raya yang boleh meragut nyawa. 

Brek kereta berbunyi adalah sesuatu yang tidak normal. Sebagai seorang pemandu, kita dinasihatkan untuk tidak lalai dan mengambil mudah tentang tanda-tanda brek kereta yang perlu ditukar. Ini kerana peranan utama brek adalah untuk memberhentikan kereta yang sedang bergerak terutama sekali apabila berlaku kecemasan yang tidak diduga. 

Selain berfungsi untuk memberhentikan kereta yang sedang bergerak, brek juga berfungsi untuk memperlahkan kereta semasa menuruni bukit untuk tujuan keselamatan dan mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak dijangka seperti melanggar belakang kenderaan depan atau pun terbabas terjun ke dalam gaung. 

Untuk pengetahuan anda, ada dua jenis brek yang digunapakai dalam kereta. Iaitu brek dram dan juga brek cakera.

1. Brek Dram VS Brek Cakera

Kedua-dua brek, brek dram dan brek cakera ini mempunyai kekurangan dan kelebihan yang tersendiri. 

Brek Dram 

Brek dram mempunyai permukaan yang lebar. Lazimnya, ia digunapakai pada kenderaan yang lebih besar dan berat seperti bas dan juga lori. Peranan permukaannya yang lebar dan luas ini untuk menimbulkan geseran yang lebih kuat yang mampu memberhentikan kelajuan roda kenderaan yang besar.

Brek Cakera

Brek cakera atau juga dikenali sebagai disc brake pula sering digunakan pada kenderaan yang lebih kecil seperti kereta dan motosikal. Kecil-kecil cili padi. Walaupun brek cakera pada kereta dan motosikal ini mempunyai permukaan yang lebih kecil, pad brek adalah lebih tebal sehingga mampu menghasilkan geseran yang kuat dan juga mampu memberhentikan kereta yang sedang laju bergerak. 

2. Ketahanan Pad Brek Kereta

Brek kereta berbunyi juga berpunca daripada ketahanan pad brek kereta itu sendiri. Lazimnya, jangka masa ketahanan sesebuah pad brek kereta tidak dapat ditetapkan kerana ianya bergantung kepada cara ia dipandu, di mana kereta tersebut dipandu dan berapa kerap kereta itu dipandu.

Secara purata, ketahanan sesebuah pad brek kereta adalah sehingga 80, 000 kilometer. Namun, ia mungkin boleh bertahan lama. Ini antara faktor-faktor yang mempengaruhi ketahanan pad brek kereta anda:

Apabila brek kereta berbunyi, anda perlu membuat pemeriksaan

Lokasi Pemanduan

Brek akan menjadi lebih tahan lama jika pemanduan yang lancar tanpa sebarang gangguan. Sebagai contoh, sekiranya anda kerap memandu di lebuh raya yang lancar perjalanannya, anda akan mendapati pad brek kereta anda dapat bertahan lebih lama. Namun, apabila anda sering memandu kereta di jalanraya yang sibuk dengan trafik yang banyak, pad brek kereta anda akan cepat haus.

Ini kerana apabila anda sering memandu di jalanraya yang sesak, anda akan banyak menggunakan brek untuk memberhentikan kereta. Seperti berhenti di lampu isyarat, simpang atau pun pada bulatan. Ianya berbeza dengan pemanduan di lebuh raya yang tidak mempunyai lampu isyarat, simpang atau bulatan. 

Bilangan Penumpang dan Jarak Perjalanan

Semakin berat kereta anda dengan penumpang, semakin tipislah ketahanan brek kereta anda dan ia juga dapat mengakibatkan brek kereta berbunyi pelik. Ini kerana, jumlah penumpang dalam kereta mempengaruhi berat sesebuah kereta. Ia juga berkaitan dengan jarak perjalanan yang anda pandu. Dengan jumlah penumpang yang ramai dan jarak pemanduan yang jauh, ia akan menggunakan brek dengan banyak dan semestinya brek kereta akan menjadi haus dengan lebih cepat. 

Jenis Pad Brek yang Digunakan

Jenis pad brek yang anda gunakan juga mempengaruhi ketahanannya.

  1. Pad organik biasanya murah tetapi tidak tahan lama.
  2. Pad low metallic boleh mengeluarkan bunyi bising tetapi tahan lebih lama berbanding pad organik.
  3. Pad semi-metallic mempunyai ketahanan yang tinggi tapi masih haus dalam jangka masa tertentu.
  4. Pad seramik tahan lebih lama dan paling kurang haus tetapi ia biasanya lebih mahal berbanding dengan pad lain.

Pad brek depan biasanya akan haus terlebih dulu kerana bebanan yang lebih berat berada di hadapan.

3. Tanda-tanda Brek Kereta Perlu Ditukar

Bila brek kereta berbunyi, sudah tentu ia mengeluarkan tanda-tanda brek kereta tersebut perlu ditukar. Sistem brek pada sesebuah kereta perlu diselenggara secara konsisten untuk memastikan pemanduan anda selamat. Menyelenggara brek kereta bukan saja menjadi tanggungjawab mekanik, tapi ia menjadi tanggungjawab anda sebagai empunya dan pemandu kereta tersebut. Apakah indikator atau tanda-tanda brek perlu ditukar? Ketahuinya dibawah:

Lampu Indikator Menyala

Apabila lampu indikator menyala, ia adalah tanda paling mudah.  Sesetengah kenderaan dilengkapkan dengan lampu amaran pada panel meter yang menunjukkan pad brek perlu diganti. Namun di Malaysia, tidak semua kereta ada simbol amaran ini kecuali kereta berstatus premium dan mewah.

Bunyi Besi Bergesel

Apabila kereta anda mengeluarkan bunyi seperti besi bergesel, ia adalah salah satu tanda yang memerlukan anda untuk menukar brek. Brek kereta berbunyi juga merupakan satu indikator yang menunjukkan pad brek tersebut sudah haus. Sekiranya anda mengabaikan bunyi ini, ia akan mengakibatkan kerosakan yang lebih teruk seperti kaliper brek dan cakera ang rosak. Ia sekaligus menjejaskan seluruh sistem brek dalam kereta menjadi rosak. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan bunyi-bunyi pelik yang dihasilkan kenderaan anda. 

Berlaku Retak

Tanda-tanda brek yang perlu ditukar adalah apabila berlaku pada retak kepada pad brek cakera kereta anda. Untuk pengetahuan, sistem brek dalam kereta akan menempuhi dan melalui proses kitaran haba. Apabila pemandu memijak pedal brek, geseran yang berlaku untuk memberhentikan kereta akan menghasilkan haba. Untuk merendahkan suhu haba yang panas, brek cakera akan berventilasi secara sendiri sebelum anda menggunakan brek tersebut semula untuk berhenti. Kitaran yang kerap berlaku ini akan menambahkan tekanan dan meletihkan logam pada brek cakera sekali gus menyebabkan ianya retak.

Situasi ini boleh menjadi teruk sekiranya brek cakera anda menjadi terlalu panas dan kembali sejuk dengan terlalu cepat. Situasi ini boleh berlaku sekiranya kereta dipandu di atas jalan raya yang banjir atau pun mencuci kereta sebaik sahaja pemanduan. Pengembangan dan pengecutan logam yang cepat disebabkan oleh perubahan suhu secara tiba-tiba akan menyebabkannya retak. Apabila retakan dapat dilihat, sudah tiba masanya untuk mengganti cakera brek.

Brek Sumbing

Apabila berlaku sumbing pada brek cakera, ia juga menandakan kereta anda memerlukan brek yang baru. Sumbing yang berlaku ini boleh disebabkan oleh perlanggaran atau pun serpihan jalan raya ke ruang roda. Perkara ini jarang berlaku namun ianya tidak mustahil untuk berlaku. Ia turut boleh disebabkan oleh retakan yang kemungkinan berlaku sebelum ini dan diabaikan. 

Brek cakera yang sumbing ini turut mampu untuk mengakibatkan kehausan pad brek prematang, atau situasi terburuk, kegagalan sistem brek pada kereta itu sendiri. 

Pad Brek Haus

Brek cakera yang semakin menipis dan haus, ia perlu diganti. Manual servis kereta harus mempunyai maklumat mengenai ketebalan minimum cakera brek atau ada ukiran pada cakera itu sendiri. Sekiranya brek cakera tersebut mempunyai bibir yang kelihatan di tepi di mana ia menyentuh pad, anda boleh lihat dengan jelas bagaimana pad brek telah memakan permukaan cakera itu sendiri.

Ketebalan Tidak Sekata

Selalunya anda boleh rasa keadaan sebegini sebab kadang-kadang ia tidak boleh dilihat dengan mata kasar mahupun diukur. Sekiranya pad brek menempel pada permukaan cakera yang tidak rata, anda boleh rasakan getaran di stereng, pedal brek, atau keduanya.

Getaran brek dan bunyi bising yang dihasilkannya adalah lebih jelas ketika anda brek pada kelajuan yang lebih tinggi, macam cakera brek yang sudah bengkok. Endapan bahan pad brek yang tidak rata pada permukaan rotor akan mendorong pembentukan ‘cementite’, produk sampingan bahan pad dan logam pemutar yang terikat bersama oleh haba.

Anda boleh saja ‘skim’ cakera brek anda untuk menjimatkan kos, tetapi selalunya harga cakera brek baru pun tidaklah mahal sangat. Pad brek baru yang tidak melalui proses ‘running-in’ yang betul akan menyebabkan masalah ini juga.

Karat pada Brek Cakera

Secara umumnya, karat yang berlaku pada permukaan brek cakera adalah perkara yang biasa. Ini kerana brek dioksidakan oleh udara yang lembab. Walau bagaimanapun, sekiranya penghasilan dan pembentukan karat terhasil dengan ketara pada pemisahan serpihan, ia boleh mendatangkan bahaya. Ini kerana karat yang terhasil itu boleh memperluaskan pembentukannya sekali gus menjejaskan integriti struktur bahan pada brek cakera itu sendiri. 

Tahap Kecekapan Brek

Selain brek kereta berbunyi menjadi salah satu tanda yang anda wajib untuk menukarkannya, anda juga boleh mengetahui apabila anda mula sedari brek kereta anda tidak lagi memberi kesan yang optimum dan memerlukan anda menekan pedal yang lebih kuat untuk memberhentikan kereta. Brek tak makan lah orang kata. Ia berkemungkinan besar brek cakera kereta anda tidak mampu untuk memberikan daya tahan yang cukup untuk memberhentikan tenaga kinetik pada roda yang berputar. Ia telah menjadi terlalu lembut sehingga pad brek (walaupun baru sekalipun) tidak dapat melekap padanya dengan betul.

4. Cara Pemeriksaan Pad Brek

Apabila brek kereta berbunyi, sudah tentu kita akan berasa risau bukan? Khuatir jika pemanduan anda tidak selamat dengan brek yang ‘tak makan’. Cara untuk mengelakkan brek kereta berbunyi atau tanda-tanda kerosakan yang lain adalah untuk melakukan pemeriksaan brek dengan kerap.

Ada dua cara untuk anda melakukan pemeriksaan pad brek:

Serahkan pada mekanik sekiranya brek kereta berbunyi

Hantar Ke Pusat Servis

Untuk anda yang tidak mahir dengan cara memeriksa pad brek kereta, anda boleh ke mana-mana pusat servis kereta dan serahkan pada mekanik untuk membuat pemeriksaan. Anda boleh menghantar kereta anda ke pusat servis pada setiap tiga atau enam bulan sekali untuk mengenalpasti ketebalan pad brek. Pusat servis sebenarnya wajib mengukur ketebalan pad brek setiap kali kereta diservis. 

Lakukan Pemeriksaan Sendiri

Sebenarnya, anda boleh melakukan pemeriksaan pad brek dengan sendiri tanpa perlu menghantar ke pusat servis. Mudah saja caranya. Pertama sekali, anda perlu tahu yang setiap pad brek mempunyai penanda logam yang akan menghasilkan bunyi ketika menekan brek. Apabila anda menekan dan brek kereta berbunyi bising seperti sedang berlaga, itu petanda awal pad brek sudah nipis dan haus. Anda dinasihatkan untuk tidak mengabaikan situasi ini kerana tahap kesihatan pad brek anda ini sebenarnya sudah teruk dan perlu ditukar. 

Lampu indikator sistem brek juga akan menyala jika pad brek menipis. Cara lain, jika kereta sudah dipandu lebih setahun, atau dipandu lebih 20,000km, pad brek mungkin masih dalam kondisi baik tetapi tahap ketebalan perlu dipantau. Jika sudah haus, bawalah ke bengkel untuk ditukar.

5. Punca Brek Kereta Berbunyi, Kurang Cengkaman

Brek yang baik adalah brek yang memberikan cengkaman yang optimum. Brek yang memberi cengkaman yang optimum ini penting bagi mengelakkan kejadian-kejadian seperti kemalangan. Apabila brek kurang cengkaman, inilah punca-puncanya:

Minyak Brek

Antara punca utama brek kurang beroperasi secara baik adalah kerana kurangnya aktiviti penyelenggaraan. Sekiranya anda menekan pedal brek dan kereta masih berjalan, anda perlu memeriksa bahagian minyak brek. Ini kerana minyak brek yang mampat disebabkan kotoran enjin boleh menyebabkan brek tidak mendapat minyak yang keluar daripada punat yang tersumbat. 

Brek Booster

Antara punca lain yang menyebabkan brek kurang memberikan cengkaman adalah brek booster. Ia akan menyebabkan anda terasa sukar untuk memijak brek kerana pedal brek akan menjadi keras dan biasanya akan berlaku gejala bocor pada komponen brek kereta itu sendiri. Oleh itu, anda disarankan untuk memeriksa bahagian booster dan membersihkan bahagian brek tersebut. 

Kurang Servis

Brek pad akan menjadi nipis, haus dan tidak dapat menghasilkan cengkaman kerana kurangnya servis. Servis yang mengikut jadual adalah kunci utama untuk komponen-komponen dalam kereta bukan sahaja brek, dapat bekerja dengan baik.

6. Kesan Apabila Brek Tidak Ditukar

Seperti yang kita cakap tadi, brek kereta berbunyi atau mengeluarkan tanda-tanda yang luar biasa dapat memberi kesan buruk pada pemanduan kita. Ini antara kesannya:

Komponen Lain Rosak

Fungsi pad brek selain memaksimumkan fungsi menghentikan kenderaan adalah mengelak geseran langsung antara permukaan brek dan roda. Geseran dua komponen daripada besi itu akan menyebabkan kesan seperti bunyi berdecit dan bau seakan terbakar pada bahagian belakang enjin.

Lebih parah, brek dan roda boleh haus dan berubah bentuk. Jadi, apa perlu dilakukan adalah menukar pad brek atau brek baharu. Sila jangan abaikan komponen penting ini kerana kesan yang bakal anda tanggung sangat besar. Selain menyebabkan kerugian secara material, anda juga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Kemalangan

Apabila pad brek sudah habis maka fungsi brek sudah tidak cekap. Akibatnya adalah risiko kecelakaan jalan raya. Sudah tentu semua pemandu tidak mahu perkara sebegitu berlaku. Mujur apabila berlakunya kemalangan ini, kerugiannya boleh diminimakan dengan perlindungan insurans kereta terbaik. Jika tidak, poket anda pula yang haus akibat perlu mengeluarkan banyak duit untuk kos penyelenggaraan. 

Sekarang, anda sudah tahu serba serbi mengenai brek, anda perlu sentiasa peka dengan aktiviti-aktiviti dan bunyi-bunyi yang luar biasa daripada kereta anda. Sekiranya anda dapat mengesan masalah ini dengan lebih cepat, tidak lah perlu anda untuk mengeluarkan duit yang banyak untuk kos membaiki. Ia juga dapat menyelamatkan nyawa anda dan penumpang-penumpang kereta yang lain. Sampai disini sahaja perkongsian Qoala hari ini. Semoga bermanfaat!

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60