6 Tanda Alternator Kereta Rosak dan Bermasalah

Kali terakhir diperbaharui Nov 8, 2023 oleh Shafiq Wahab
6 Tanda Alternator Kereta Rosak dan Bermasalah

Alternator kereta adalah ibarat nadi sesebuah kereta. Tanpa alternator kereta, tak hidup lah kereta korang. Cuba tanya diri soalan-soalan ni; pernah tak enjin kereta korang tiba-tiba mati semasa memandu? Dah cuba hidupkan kereta berkali-kali tapi tak mau juga? Dah tukar bateri tapi masih tak hidup?

Haa itu tandanya alternator kereta korang ada masalah. Bukan sebab bateri korang kong atau masalah bateri. Lagi-lagi kalau yang baru je tukar bateri.

Fungsi Utama Alternator Kereta

Fungsi utama alternator kereta ni adalah sebagai penjana kuasa elektrik dalam kereta dan juga merupakan komponen utama dalam sistem pengecasan kenderaan. Basically, alternator kereta berperanan untuk menjana tenaga elektrik untuk digunakan oleh pelbagai aksesori-aksesori kereta. Contohnya seperti lampu kereta, aircond dan macam-macam lagi.

Bukan tu je, alternator kereta juga berperanan sebagai agen pengecasan bateri agar proses menghidupkan kereta berjalan dengan lancar.

Masalahnya, kalau alternator rosak, kereta tak boleh jalan. Rutin harian kita pun akan terganggu. Jadi, macam mana nak elakkan diri kita daripada terpaksa tersadai tepi jalan?

Oleh sebab itu, penting untuk anda ketahui tanda-tanda alternator kereta rosak.

alternator kereta

Tanda-tanda Alternator Rosak

Penting untuk kita tahu tanda-tanda alternator kereta bermasalah. Secara amnya, sebarang komunikasi antara kereta dengan pemandu adalah melalui lampu amaran pada dashboard. Lampu amaran pada dashboard akan menyala jika terdapat sebarang permasalahan terhadap mana-mana komponen penting kereta.

Selain lampu amaran, berikut merupakan antara tanda alternator rosak untuk panduan dan rujukan korang:

1. Lampu Amaran Bateri Menyala

Kereta-kereta moden yang terkini sudah dilengkapi dengan pelbagai jenis lampu amaran yang boleh dilihat pada dashboard kereta. Apabila alternator rosak, lampu amaran bateri akan menyala sekiranya sistem kereta mengesan ada masalah pada alternator.

Lampu amaran bateri pada dashboard kereta biasanya berbentuk seperti bateri – ada sesetengah model kenderaan memaparkan abjad ALT (alternator) atau GEN (generator).

Ramai sebenarnya menganggap apabila lampu amaran bateri menyala, masalah yang ada hanya pada bateri semata-mata. Tapi sebenarnya, lampu amaran tu boleh menyala disebabkan faktor-faktor lain macam kabel bateri yang longgar atau alternator kereta yang dah rosak.

Lampu amaran ini dihubungkan dengan sistem komputer kenderaan untuk mengesan kapasiti keluaran voltan dari alternator. Secara teknikal, alternator menjalankan fungsi optimum pada kapasiti keluaran voltan tertentu – biasanya sekitar 13-14.5 voltan. Ia akan menyala sekiranya kapasiti voltan yang dihasilkan melebihi had voltan standard atau kurang daripada kapasiti voltan sepatutnya.

2. Lampu Kereta Berkelip-kelip

Lampu kereta korang macam dah malap dan berkelip-kelip? Itulah tandanya alternator kereta korang sedang mengalami kerosakan. Sebabnya, macam yang kita cakap tadi, fungsi utama alternator kereta adalah untuk membekal sumber tenaga elektrik pada kenderaan.

Bila alternator tak berfungsi dengan baik, lampu kereta yang sebelumnya terang benderang boleh menjadi malap. Oleh sebab itu, kalau korang perasan cahaya lampu kereta menjadi lebih terang semasa memecut atau lebih malap semasa memperlahankan kelajuan, ia merupakan petanda serius kerosakan alternator.

Alternator yang berfungsi dengan baik tidak akan menjejaskan kecerahan lampu kereta dalam keadaan standard.

Lampu berkelip-kelip pun boleh jadi satu petanda masalah pada alternator korang. Ia berlaku disebabkan oleh kapasiti voltan dalam alternator yang lemah, tidak sekata dan turun naik. Meskipun isu sebegini kelihatan seperti gangguan kecil, korang disarankan untuk bawa kereta ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut.

Lampu berkelip-kelip atau malap merupakan petunjuk penting alternator sedia ada tidak lagi mampu menjana kuasa elektrik yang mencukupi.

3. Enjin Berbunyi Luar Biasa

Tak dinafikan, kereta menghasilkan pelbagai jenis bunyi. Sesetengah bunyi yang dihasilkan oleh enjin kereta adalah normal, manakala sesetengah bunyi yang lain menunjukkan masalah serius pada kereta korang.

Alternator rosak atau tidak berada dalam keadaan baik akan menghasilkan bunyi menderam (growling) atau berkeriut (grinding). Seperti sedia maklum, alternator merupakan komponen kompleks dengan beberapa bahagian yang berputar untuk menghasilkan arus elektrik.

Jika salah satu bahagian ini haus atau rosak, ia akan menghasilkan bunyi-bunyi tertentu. Jika anda mendengar bunyi berkeriut misalnya, ia mungkin petanda anda perlu menggantikan alternator sedia ada. Bawa kereta korang ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut. Bunyi berkeriut biasanya terhasil disebabkan oleh crankshaft pulley atau tali sawat yang telah haus.

4. Bau Macam Getah Terbakar

Kalau korang bau macam ada bau hangit tu, baik check alternator kereta cepat-cepat. Bau getah terbakar atau wayar yang terlalu panas merupakan antara dua situasi yang sering berlaku yang menandakan kerosakan alternator.

Alternator kereta ni bekerjasama dengan tali sawat yang kompleks. Kalau tali sawat tak boleh berputar dengan bebas, bau seakan-akan getah terbakar atau hangit akan terhasil disebabkan oleh haba yang berlebihan.

Kalau kedudukan tali sawat terletak berdekatan enjin dan terdedah kepada bebanan berterusan secara tak langsung meningkatkan risiko haus dan menghasilkan bau getah terbakar yang tak menyenangkan.

Kalau korang macam terbau bau-bauan pelik macam bau getah terbakar masa korang start enjin, tu mungkin tanda-tanda alternator korang tengah overheat. Senang cerita alternator kereta korang tengah ada masalah lah.

Pulley yang sudah rosak akan mengganggu kelancaran pergerakan tali sawat dan menyebabkannya menjadi semakin panas. Ia sekali gus menyebabkan kereta bau getah terbakar atau kereta bau hangit.

5. Komponen Elektrik Tak Berfungsi

Macam apa yang kita sebutkan tadi, alternator kereta merupakan sumber utama kuasa elektrik dalam enjin kereta. Kalau alternator kereta tak dapat menyumbangkan kuasa elektrik yang mencukupi, komponen elektrik kereta tidak dapat berfungsi seperti biasa. Ia mungkin akan beroperasi dengan lebih perlahan atau tidak berfungsi langsung.

Komponen elektrik lain yang mungkin terjejas disebabkan oleh alternator antaranya power locks, wiper kereta dan heated seats. Tanpa sumber kuasa yang mencukupi, komponen elektrik ini biasanya tidak akan berfungsi seperti kebiasaan atau berhenti berfungsi secara tiba-tiba.

6. Kereta Tak Boleh Start

Bila kereta tak boleh start, first thing yang kita terfikir mesti bateri kereta kong kan? Tapi bila dah jump bateri kereta, still tak boleh start. Lepastu kita try lah tukar bateri baru, masih tak boleh start. Kalau dah macam tu, tak lain dan tak bukan, itu tandanya alternator korang sedang mengalami masalah.

Apabila alternator korang rosak, arus elektrik yang cukup tak dapat disalurkan untuk membantu mengecas bateri kereta, sekali gus menyebabkan kereta korang tak boleh start disebabkan kuasa yang kurang.

Korang disarankan untuk mempertimbangkan voltmeter untuk detect sama ada bateri kereta atau altenator yang bermasalah. Voltmeter merupakan alat yang digunakan untuk mengukur perbezaan elektrik antara dua titik pada litar. Dengan menggunakan voltmeter ni juga, ia merupakan cara terpantas untuk mengesan kerosakan alternator kereta.

Cara Uji Alternator Kereta

Ada 6 langkah utama untuk check keadaan alternator kereta sama ada berfungsi atau tidak dengan menggunakan voltmeter

  1. Check belting alternator samada berada dalam keadaan baik atau tidak. Jika belting tak tegang, alternator mungkin tidak berfungsi dengan baik
  2. Check abnormal sound daripada alternator dan check bearing alternator.
  3. Matikan enjin terlebih dahulu
  4. Sambungkan multimeter / voltmeter, lepas tu check bacaan voltage. Bateri yang elok sepatutnya 12.5 – 12.65V.
  5. Selepas itu, start enjin kereta dan observe bacaan multimeter/voltmeter tadi. Sepatutnya paling minimum 13V. Alternator yang bagus, bacaannya antara 13.5V – 14.5V.
  6. Semak pula bacaan dengan bebanan. Buka headlamp, air cond dan sebagainya. Bacaan yang baik dari alternator sepatutnya sama sahaja semasa bacaan tanpa load iaitu range 13.5 to 14.5V.

Jikalau kurang daripada 13V @ lebih daripada 15V maka alternator korang mungkin ada masalah samada ada mana-mana cable tidak berada dalam kedudukan sepatutnya atau sememangnya alternator ada masalah. Time ni memang korang disarankan untuk berjumpa dengan yang pakar.

Kenapa Alternator Kereta Boleh Rosak?

Untuk pengetahuan korang, kepanjangan hayat alternator ni tak menentu. Mana-mana yang bertuah tu, alternator kereta tak memberikan sebarang masalah kepada pemilik kereta sepanjang hayat kereta.

Tapi perkara tu jarang-jarang berlaku. Kebiasaannya, jangka hayat alternator biasanya bergantung kepada bebanan alternator, pulley dan juga tali sawat. Ada sesetengah alternator rosak selepas 50,000 km. Ada sesetengah alternator yang lain berfungsi seperti biasa sejauh 150,000 km tanpa sebarang masalah. Macam kita cakap tadi, kepanjangan hayat alternator kereta ni tak menentu.

Kalau kereta korang dah lanjut usiannya, tak mustahil alternator kereta boleh rosak. Korang disarang untuk periksa kapasiti voltan pengecasan, memadai sekitar 13.5 voltan dan beroperasi dengan lancar tanpa sebarang bunyi bising.

Ini antara faktor-faktor yang boleh menyebabkan alternator korang rosak:

  • Kebocoran cecair pada alternator biasanya boleh menjejaskan prestasi keseluruhan alternator kereta. Biasanya, minyak enjin kereta atau cecair stereng kuasa atau power steering boleh masuk ke dalam alternator sekali gus menyebabkan kegagalan dan menjejaskan fungsinya.
  • Tabiat pemanduan juga berpotensi menjejaskan dan memendekkan jangka hayat alternator. Sebagai contoh, jika enjin dibiarkan melahu (idling) dan dalam masa yang sama pelbagai aksesori kereta seperti radio digunakan, ia boleh meningkatkan bebanan alternator sekali gus meningkatkan risiko haus dan lusuh dengan lebih cepat.
  • Kereta moden yang dilengkapi dengan pelbagai aksesori kereta seperti unit GPS, heated seats, power windows dan lain-lain terdedah kepada risiko alternator rosak yang lebih tinggi. Kesemua item elektrik ini perlu dikuasakan oleh alternator sekali gus meningkatkan bebanan yang perlu ditanggung.
  • Alternator kereta terletak di bahagian bawah enjin – lokasi ini terdedah kepada risiko kerosakan disebabkan oleh air dan garam. Kedua-dua elemen ini boleh masuk ke dalam alternator dan menyebabkan kerosakan alternator.

So, apa nak buat bila alternator kereta korang rosak? Ia bergantung kapada kerosakan, jika kerosakan tidak serius biasanya alternator masih boleh diselamatkan. Mekanik yang mahir akan mampu membaikpulih alternator dengan menukar komponen tertentu yang rosak.

Namun, jika kerosakan adalah terlalu serisu, alternator harus ditukar lain. Di Malaysia ini, terdapat pelbagai pilihan berdasarkan bajet anda, boleh dapat yang baharu, recond mahupun di kedai potong.

Berapa Harga Alternator Kereta?

Menurut sebuah portal, dari segi harga, kos penggantian dan pembaikan adalah berbeza bergantung pada tahun, model dan konfigurasi enjin kereta anda. Namun biasanya, harga alternator kereta adalah sekitar RM100 hingga RM300 dengan kos buruh sekitar RM50 hingga RM100 bergantung pada lokasi.

Untuk Perodua Myvi misalnya, harga alternator Myvi adalah sekitar RM165 (varian Myvi 1.0), RM185 (varian Myvi 1.3) dan RM210 untuk varian Myvi 1.5. Namun begitu, harga ini mungkin berubah bergantung pada jenis alternator – alternator OEM, recon atau ori (harga alternator ori lebih mahal berbanding produk OEM).

Sampai di sini sahaja perkongsiang Qoala. Korang nak renew insurans kereta? Renew je dengan Qoala. Pantas dan mudah!

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60