Panduan Cukai Tanah, Cukai Petak & Cukai Taksiran

Kali terakhir diperbaharui Sep 12, 2022 oleh Hariz Hafiz
Panduan Cukai Tanah, Cukai Petak & Cukai Taksiran

Cukai tanah, cukai petak dan cukai taksiran merupakan antara kos pemilikan rumah yang perlu diberi perhatian. Sebagai pemilik rumah, penting untuk anda ketahui dan peka dengan perkara-perkara berkaitan perancangan kewangan isi rumah anda. Secara asasnya, sebaik sahaja anda beli rumah anda terikat dengan belanja dan caj-caj tertentu sebegini. Sekiranya anda masih lagi kurang jelas mengenai cukai-cukai ini, artikel ini akan membantu menjelaskan ketiga-tiga caj hartanah seperti cukai tanah, cukai petak dan cukai pintu untuk panduan anda.

Apa Itu Cukai Tanah, Cukai Petak dan Cukai Pintu?

Ramai pemilik rumah yang sering terlepas pandang tidak mengetahui tentang cukai tanah, cukai petak dan cukai pintu ini. Malah, ramai yang cenderung mengabaikan cukai-cukai berkaitan hartanah ini apabila menguruskan hartanah milik mereka. Anda mungkin pernah mendengar atau membaca berita tentang pemilik rumah yang dikenakan tindakan yang tegas seperti tanah dirampas, dihalau keluar dari rumah, barang isi rumah disita dan sebagainya. Oleh sebab itu, penting untuk anda mengetahui perkara-perkara berkaitan cukai tanah, cukai petak dan cukai pintu untuk mengelakkan kejadian sebegini berlaku kepada anda.

Secara ringkasnya, cukai tanah merupakan cukai tanah tahunan yang dikenakan ke atas hartanah persendirian manakala cukai petak adalah cukai yang dikenakan untuk hartanah berstrata – kedua-duanya perlu dibayar kepada pihak berkuasa negeri. Sementara itu, cukai taksiran atau cukai pintu dikutip oleh pihak berkuasa tempatan bagi membiayai pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur awam.

1. Cukai Tanah

Apa itu cukai tanah? Cukai tanah merupakan cukai yang dikenakan kepada pemilik hartanah atas tanah (rumah landed) yang terdiri daripada rumah freehold (Tanah Pegangan Bebas), leasehold (Pegangan Pajakan) dan hartanah strata. Berdasarkan Seksyen 95 Kanun Tanah Negara 1965, undang-undang wajib telah ditetapkan untuk semua pemilik rumah yang berdaftar atau wakil untuk menjelaskan cukai tanah. Secara asasnya, segala urusan berkaitan pembayaran cukai tanah adalah tanggungjawab anda sebaik sahaja urusan perjanjian jual-beli atau Sales and Purchase Agreement telah dimeterai antara anda dan pihak penjual.

Kebanyakan negeri telah menetapkan tarikh pemotongan untuk pemilik rumah atau hartanah menjelaskan pembayaran cukai tanah iaitu pada 31 Mei setiap tahun. Oleh sebab itu, anda perlu peka dan mengambil tahu tentang hal ini kerana tindakan boleh dikenakan terhadap anda sekiranya lambat menjelaskan cukai tanah. Anda perlu membayar cukai tanah kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri yang berkenaan pada setiap tahun.

Cara Kira Cukai Tanah

Cukai tanah ini dinilai dan dikenakan oleh kerajaan negeri anda menerusi Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri masing-masing. PTG negeri anda akan menilai hartanah milik anda dan mengenakan bayaran yang anda perlu jelaskan pada setiap tahun. Anda perlu membayar cukai tanah anda setiap tahun selagi hartanah itu berada di bawah hak milik anda. Contohnya, anda telah jual rumah tersebut tetapi anda tidak memindah hak milik hartanah kepada pemilik yang baharu. Dalam situasi ini, anda merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk menjelaskan cukai tanah untuk hartanah tersebut.

Untuk mengetahui kadar cukai tanah anda, semak dengan PTG dan kerajaan negeri anda kerana setiap negeri mungkin mengenakan kadar yang berlainan bagi saiz hartanah yang sama. Contohnya, kadar pengiraan cukai tanah di Kuala Lumpur mungkin berbeza dengan cara pengiraan di Negeri Sembilan. Penghitungan cukai tanah dibuat mengikut jumlah tanah yang dikira sebagai sebahagian daripada hartanah anda.

Setiap kaki persegi tanah atas hartanah akan dinilai. Misalnya, kadar kiraan kasar di Kuala Lumpur kebiasaannya dikenakan pada RM0.035 setiap kaki persegi. Katakanlah hartanah anda mempunyai keluasan 2,000 kaki persegi, cukai yang akan dikenakan adalah sebanyak RM70.

Cara Bayar Cukai Tanah Online

Sebagai pemilik hartanah, anda perlu menjelaskan cukai ini kepada kerajan negeri anda. Dengan adanya kemudahan pembayaran cukai tanah online, anda boleh bayar cukai tanah secara online dengan mudah dan pantas. Anda perlu mendaftar dengan memasukkan butiran-butiran terlebih dahulu sebelum anda boleh log masuk. Berikut merupakan cara melaksanakan pembayaran cukai dalam talian:

1. Layari laman web PTG negeri yang berkenaan:

Negeri  Pautan Bayar Cukai Tanah Online 
Selangor  https://ehasil.selangor.gov.my/app/search
Kuala Lumpur https://www.ptgwp.gov.my/etanah-awam/EBayaranSemakBayarCukaiTanahForm.xhtml
Negeri Sembilan https://e.ptgns.ns.gov.my/
Melaka https://ebayar.melaka.gov.my
Johor https://onlinepayment.johor.gov.my/
Perak https://ptg.perak.gov.my/etanah-awam/
Perlis https://ptg.ptgps.gov.my/esemakan/
Kedah https://ebayaran.ptgkedah.gov.my/
Pulau Pinang https://ebayar.penang.gov.my/
Pahang https://fpxptg.pahang.gov.my/fpx/fpx_qrycukai.php
Kelantan https://hasiltanah.kelantan.gov.my/
Terengganu http://cukaiptg.terengganu.gov.my/esolarweb/main.php
Sabah http://www.quitrent.jtu.sabah.gov.my/

2. Log masuk akaun anda atau masukkan nombor akaun anda

3. Selepas itu, klik pada ‘Semakan dan Bayaran Cukai Tanah’

4. Untuk melakukan  pembayaran, anda boleh pilih cara pembayaran yang anda mahukan  melalui beberapa aplikasi perbankan atas talian seperti Maybank2u, CIMBClicks, RHB Online atau aplikasi Pos Malaysia.

5. Setelah selesai pembayaran, pastikan anda cetak atau download resit untuk rujukan anda

cukai petak

2. Cukai Petak

Apakah maksud cukai petak? Cukai petak merupakan cukai yang dikenakan ke atas hartanah berstrata atau rumah strata tertakluk di bawah Akta Pengurusan Strata (SMA) 2013 dan Akta Hakmilik Strata (STA) 1985. Kebiasaannya, ia merujuk kepada jenis hartanah yang telah dibahagikan kepada petak seperti kondominium, townhouse, apartmen, komuniti berpengawal dan sebagainya.

Di bawah sistem lama, cukai tanah dikenakan terhadap hartanah strata melalui Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang memasukkan caj ini ke dalam yuran penyelenggaraan kepada pemilik rumah. Ia sekali gus menyebabkan pemilik hartanah strata yang ingin menjual atau memindah milik pemilikan unit petak akan menghadapi masalah sekiranya rekod Pejabat Tanah menunjukkan bahawa pemilik ‘petak’ lain pada hartanah itu yang masih tidak membayar cukai mereka.

Disebabkan ini,  cukai tanah yang baharu telah diwujudkan bagi hartanah strata di Selangor yang dikenali sebagai cukai petak atau parcel rent pada Jun 2018.  Tujuan perubahan ini dilakukan adalah untuk memudahkan penjualan dan pemindahan hak milik hartanah strata. Di bawah cukai petak yang baharu ini, caj akan terus dibilkan kepada pemilik rumah dan bukan lagi melalui JMB.

PTG negeri akan boleh memantau dan mengenal pasti pemilik yang tidak membayar cukai petak dengan lebih baik melalui sistem cukai petak. Dengan cara ini, pemilik hartanah strata yang ingin menjual atau memindah hartanah boleh melakukan urusan dengan lebih mudah. Selain Selangor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur juga telah melaksanakan sistem cukai petak ini.

3. Cukai Taksiran/Cukai Pintu

Apa itu cukai taksiran? Cukai taksiran merupakan cukai yang dikutip oleh majlis perbandaran lokasi hartanah anda. Juga dikenali sebagai cukai pintu, jenis cukai ini merupakan cukai tanah tempatan yang dikenakan terhadap pemilik rumah untuk menampung kos membiayai pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur dan perkhidmatan tempatan seperti:

  1. Penyelenggaraan cahaya lampu tepi jalan
  2. Pembersihan taman awam
  3. Pengumpulan sisa perbandaran seperti sampah
  4. Pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur awam
  5. Lain-lain pekerjaan untuk menjadikan tempat tinggal lebih baik dan selesa

Tidak kiralah rumah anda adalah rumah undercon, rumah subsale atau rumah mampu milik, anda wajib membayar cukai taksiran atau cukai pintu ini pada setiap tahun. Hal ini kerana, ia merupakan pembayaran wajib yang dikenakan terhadap semua pemilik hartanah kediaman dan komersil.

Namun begitu, sekiranya hartanah anda kosong atau tidak diduduki, anda boleh membuat permohonan tuntutan remisi daripada pihak berkuasa tempatan. Syarat utama yang anda harus penuhi adalah permohonan mesti dibuat dalam tempoh tujuh hari bermula daripada tarikh dikosongkan. Jika tidak, pihak berkuasa tempatan akan mengira tarikh hartanah dikosongkan pada tarikh permohonan dibuat. Selain itu, terdapat sesetengah negeri yang menawarkan pengecualian cukai taksiran atau cukai pintu ini bagi perumahan kos rendah dan sederhana. Anda boleh periksa dahulu sama ada anda layak mendapat pengecualian tersebut.

Semakan Cukai Taksiran, Bayar Cukai Taksiran Online

Untuk pengetahuan anda, cukai taksiran dihitung berdasarkan anggaran kasar sewa tahunan hartanah dengan kadar sekitar dua peratus sehingga tujuh peratus. Nilai yang dicaj adalah berbeza-beza bergantung kepada saiz dan jenis hartanah anda. Contohnya, rumah pangsa kos rendah dikenakan caj yang lebih rendah berbanding caj yang dikenakan terhadap rumah teres dua tingkat. Anda perlu menjelaskan bayaran cukai taksiran ini kepada majlis perbandaran yang berkenaan seperti MBSA, DBKL, MBPJ, MPKJ, MPSJ, MPSP, MPAJ dan sebagainya.

Cukai taksiran perlu dibayar sebanyak dua kali setahun iaitu:

      1. Penggal Pertama – 1 Januari hingga 28 Februari
      2. Penggal Kedua – 1 Julai hingga 31 Ogos

Adakah Ketiga-tiga Cukai Ini Wajib? Akibat Tidak Bayar Cukai Tanah, Cukai Petak & Cukai Taksiran

Selain perlu memikirkan kos berkaitan rumah seperti deposit rumah, bayaran pinjaman perumahan, insurans rumah, pemilik hartanah wajib menjelaskan cukai tanah, cukai petak dan cukai taksiran di bawah sistem undang-undang Malaysia. Oleh sebab itu, anda perlu memastikan anda menjelaskan ketiga-tiga cukai ini kerana tindakan yang tegas akan dikenakan oleh kerajaan negeri dan majlis perbandaran terhadap anda. Berikut merupakan akibat sekiranya anda mengabaikan tanggungjawab membayar cukai-cukai ini:

  1. Satu notis tunggakan akan dikeluarkan terhadap anda sekiranya anda lambat menjelaskan pembayaran. Notis tersebut akan memberitahu mengenai tunggakan dan denda yang akan dikenakan terhadap anda.
  2. Sekiranya pembayaran masih belum dijelaskan selepas notis tunggakan dikeluarkan, kerajaan negeri dan majlis perbandaran berhak mengeluarkan waran tangkap terhadap anda dan mengenakan denda disebabkan waran tangkap tersebut.
  3. Apabila anda telah menerima waran, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan undang-undang, menyita sebarang harta yang boleh disita dari rumah dan lelong rumah atau tanah terbabit.

Anda wajib membayar cukai-cukai ini sebaik sahaja anda beli rumah dan memiliki hartanah tersebut. Seperti yang telah dijelaskan di atas, anda akan dikenakan caj penalti dan tindakan undang-undang yang tegas sekiranya anda gagal melangsaikan bayaran yang sepatutnya. cukai taksiran

Laksanakan Tanggungjawab Anda Sebagai Pemilik Rumah

Diharapkan artikel ini dapat membantu anda melaksanakan tanggungjawab anda membayar cukai sebagai seorang pemilik hartanah. Memang tidak dinafikan, memiliki rumah merupakan satu tanggungjawab yang amat besar dan anda perlu bersedia terutama sekali dari segi kewangan. Sebagai pemilik hartanah, perancangan kewangan sangatlah penting kerana kos pemilikan rumah amatlah tinggi daripada bayaran bulanan, insurans rumah seperti MRTA, MLTA, MRTT dan MLTT, perlindungan insurans tambahan rumah banjir sehinggalah cukai-cukai yang telah dijelaskan dalam artikel ini.

Selain itu, sekiranya anda merancang untuk dapatkan insurans rumah terbaik, beli insurans kereta atau insurans motor online, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala menyediakan beberapa pilihan insurans daripada beberapa syarikat insurans terbaik di Malaysia untuk anda pilih!

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2022 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60