Abang Viva, Hero Banjir Yang Tidak Didendang

Kali terakhir diperbaharui Jan 27, 2022 oleh Ramen Hasniran
Abang Viva, Hero Banjir Yang Tidak Didendang

Baru-baru ini satu Malaysia digemparkan dengan bencana banjir yang melanda di beberapa negeri di seluruh negara. Ini termasuklah daerah Shah Alam yang terjejas teruk akibat dinaiki air. Bah besar yang berlaku secara mendadak di Shah Alam menyebabkan beribu-ribu penduduk terperangkap dan memohon bantuan dengan segera kerana air naik dengan cepat.

Jika dilihat di paparan media sosial terlalu banyak mesej, video dan gambar yang ditularkan untuk mendapatkan bantuan kecemasan dengan kadar segera kerana air banjir yang naik terlalu cepat. 

Ramai NGO dan sukarelawan yang tampil memberi bantuan dengan sedaya upaya bagi menyelamatkan mangsa-mangsa yang terkandas di kawasan banjir tersebut. Ini termasuklah seorang lelaki yang berasal dari Melaka membawa sebuah bot dengan hanya menaiki kereta Perodua Viva dan berbekalkan RM50. 

Azwan Omar yang tular dan digelar Abang Viva difahamkan hanya bergerak solo dari Melaka, dengan menaiki Viva dan membawa bot untuk misi membantu mangsa banjir di Shah Alam.

Abang Viva ini mula tular dalam sebuah tweet yang mengatakan dia terus bergerak ke Shah Alam sejurus mendengar bantuan kecemasan diperlukan.

Menurusi laporan FMT, Azwan Omar mengatakan dia hanya mempunyai wang RM50 namun membuat keputusan spontan memohon cuti kecemasan bagi menyelamatkan mangsa banjir di Shah Alam.

Ini jujur saya cakap, saya daripada Melaka hanya berbekalkan RM50, dengan RM50 itu saya beli minyak untuk bot RM20, dan RM30 saya guna untuk beli makanan seperti roti dan air untuk alas perut.

Walaupun hanya mengalas perut dengan roti dan air serta tidur di dalam bot sejak lima hari yang lalu, Azwan mengatakan kesusahannya ini tak boleh nak dibandingkan dengan penderitaan mangsa banjir.

Tambah Azwan lagi, sampai sahaja di lokasi banjir Sabtu lalu, dia melafazkan rasa hiba apabila melihat mangsa duduk dalam keadaan kesujukan di bumbung rumah sambil menunggu bantuan. Paling menyedihkan bila melihat ibu yang baru bersalin meredah banjir bersama bayinya.

Itu yang paling saya tak boleh lupa. Masa saya selamatkan ibu itu, tak silap saya dia baharu lepas bersalin dan dua hari keluar hospital dengan bayinya.

Untuk pengetahuan korang, ketika artikel ini ditulis misi menyelamat di kawasan Sri Muda masih diteruskan. Sama-samalah kita berdoa agar semua yang terperangkap dapat dikeluarkan dengan selamat dan mereka diberikan kekuatan.

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2022 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60