5 Tanda Anda Mungkin Perlu Overhaul Enjin Kereta Anda

Kali terakhir diperbaharui May 19, 2023 oleh Hariz Hafiz
5 Tanda Anda Mungkin Perlu Overhaul Enjin Kereta Anda

Sekiranya anda berdepan situasi enjin kereta meragam, temperature kereta naik atau kereta keluar asap putih, anda mungkin boleh mempertimbangkan untuk bawa kereta anda ke bengkel berhampiran untuk melakukan pemeriksaan dan penyelenggaraan segera. Jika dibiarkan, masalah kerosakan serius pada enjin ini mungkin boleh menyebabkan enjin kereta anda perlu overhaul. Bila sebut pasal overhaul enjin kereta, proses ini boleh dikatakan sebagai salah satu mimpi ngeri bagi kebanyakan pemilik kenderaan. Bukan apa, kos overhaul enjin kereta bukan sedikit dan adakalanya boleh mencecah ribuan ringgit dan memakan masa yang lama untuk disiapkan.

Overhaul Enjin Kereta: 4 Perkara Penting Tentang Overhaul Enjin yang Perlu Anda Tahu

Proses overhaul enjin kereta atau turun enjin perlu dilakukan sekiranya kereta anda menunjukkan tanda-tanda tertentu. Meskipun begitu, anda disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada mekanik profesional yang boleh anda percayai untuk mengelakkan anda daripada tertipu. Ini kerana, proses overhaul enjin kereta melibatkan proses yang rumit dan sukar – kesilapan kecil semasa proses ini dilakukan boleh menyebabkan anda terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi.

Apa itu Overhaul Enjin Kereta?

Secara amnya, overhaul enjin kereta merujuk pada proses baik pulih enjin kereta secara keseluruhan. Ia melibatkan proses meleraikan enjin serta komponen-komponen enjin bagi membolehkan punca kerosakan dikenal pasti dan proses pembaikan dilakukan secara terus pada komponen enjin yang terlibat. Dalam erti kata lain, komponen enjin akan dibuka, dibersihkan dan dibaiki, sebelum dipasang semula seperti struktur asal sama seperti permainan jigsaw puzzle. Oleh sebab itu, proses ini dikatakan sangat rumit dan memerlukan penelitian yang tinggi – kesilapan semasa pemasangan boleh menyebabkan kerosakan enjin yang lebih serius.

Biasanya, overhaul kereta akan dilakukan sekiranya terdapat tanda-tanda seperti berikut:

  • Temperature kereta naik melebihi paras normal;
  • Ada mana-mana komponen enjin yang patah, retak atau bocor;
  • Timing belt putus;
  • Prestasi dan kuasa enjin merosot;
  • Minyak hitam kereta berkurangan walaupun tiada kebocoran yang ketara pada bahagian gasket;
  • Enjin kereta bergegar.

Proses Turun Enjin: Top Overhaul, Full Overhaul Enjin

Biasanya, pemeriksaan yang menyeluruh akan dilakukan ke atas enjin kereta sebelum proses overhaul dilakukan, saranan sama ada perlu top overhaul atau full overhaul bergantung sepenuhnya pada tahap kerosakan enjin.

Top Overhaul Enjin

Merujuk pada proses penyelenggaraan bahagian atas enjin kereta tanpa perlu mengeluarkan keseluruhan enjin daripada badan kenderaan. Dalam erti kata lain, enjin dibuka separuh sahaja atau hanya bahagian cylinder head sahaja yang dibuka. Ia biasanya melibatkan proses penggantian atau penukaran komponen enjin seperti kepala silinder, skru silinder, injap, rocker am, tukar valve seal, head gasket dan komponen-komponen enjin lain yang berkaitan.

Full Overhaul Enjin

Merujuk pada proses membuka dan mengeluarkan keseluruhan enjin kereta daripada badan kenderaan, biasanya melibatkan penukaran dan penggantian bahagian-bahagian enjin yang sukar untuk dicapai dari luar enjin. Sekiranya full overhaul dilakukan, ini bermaksud semakin banyak bahagian enjin yang akan ditukar seperti main bearing, piston ring dan sebagainya. Kos pula semestinya lebih tinggi berbanding top overhaul.

Restore Enjin Kereta

Restore enjin pula merujup pada proses buat balik enjin sepenuhnya dengan menggantikan semua skru, breaker dan komponen-komponen enjin yang lain. Biasanya, kos restoration kereta sebegini menelan belanja yang lebih mahal. Sebagai contoh, kos restore Proton Wira, Iswara dan Saga boleh mencecah sehingga RM5,000. Kerja restoration biasanya disyorkan untuk kereta klasik atau kereta lama yang ingin disimpan untuk jangka masa panjang. Namun sekiranya anda ingin jual kereta lama anda, anda tidak disarankan untuk melakukan restore enjin kereta kereta tidak berbaloi dengan kos yang dikeluarkan.

Overhaul Enjin Kereta

5 Tanda-tanda Enjin Kereta Perlu Overhaul

Secara amnya, kereta perlu diselenggara selepas tempoh-tempoh tertentu untuk mengenal pasti sama ada terdapat kerosakan yang berlaku yang boleh memberi kesan kepada prestasi dan fungsi enjin. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk sentiasa peka dengan sebarang amaran atau tanda-tanda pada kereta anda yang mungkin ‘berinteraksi’ dengan anda tentang masalah yang sedang dihadapi. Qoala senaraikan tanda-tanda enjin kereta perlu overhaul seperti berikut untuk rujukan anda:

1. Kereta Keluar Asap Putih

Sekiranya anda mendapati kereta anda mengeluarkan asap berwarna putih, itu menandakan berlaku masalah pada bahagian enjin kereta anda. Besar kemungkinan minyak enjin kereta sudah memasuki ruang pembakaran dalaman kereta anda. Ia berlaku disebabkan oleh gelang piston atau juga dikenali sebagai piston ring sudah haus atau pun rosak.

2. Enjin Kereta Overheat, Temperature Kereta Naik

Sekiranya paras air coolant mencukupi atau komponen-komponen lain yang berkaitan berada dalam keadaan baik tetapi enjin kereta anda masih overheat, besar kemungkinan terdapat masalah dalam bahagian enjin kereta anda. Langkah terbaik yang boleh anda lakukan ialah lakukan diagnosis lengkap untuk mengetahui punca sebenar kerosakan. Biasanya, temperature kereta yang naik dengan tiba-tiba dengan kerap menandakan terdapat masalah kebocoran pada bahagian enjin yang menjejaskan nisbah mampatan. Ia biasanya disebabkan oleh gasket kepala silinder yang rosak lalu menyebabkan air radiator berkurangan dan memasuki ruang pembakaran.

3. Kereta Makan Minyak Hitam

Sekiranya anda perlu topup minyak hitam kereta dengan kerap, besar kemungkinan enjin kereta anda menghadapi masalah yang memerlukan perhatian segera daripada anda. Simptom enjin makan minyak hitam merupakan salah satu tanda enjin kereta perlu overhaul. Hal ini kerana, komponen enjin seperti piston, valve dan sebagainya mungkin sudah rosak disebabkan oleh minyak enjin yang kurang. Macam mana nak tahu enjin kereta makan minyak? Periksa paras minyak enjin kereta secara berkala dengan menggunakan dipstick untuk mengetahui paras sebenar minyak enjin dalam kereta anda.

4. Masalah Underpower, Tekanan Rendah

Antara tanda lain enjin kereta perlu overhaul ialah enjin kereta menghadapi masalah underpower. Sekiranya semasa pemeriksaan dilakukan mendapati spark plug kereta dan ignition coil berada dalam keadaan baik tetapi prestasi enjin masih underpower, overhaul enjin kereta mungkin perlu dilakukan – piston ring dan blok enjin mungkin sudah rosak. Oleh sebab itu, tekanan enjin menjadi rendah dan tidak boleh menjana kuasa yang mencukupi.

5. Spark Plug Berkerak

Minyak enjin yang bocor boleh menyebabkan berlaku penghasilan kerak pada spark plug kereta. Spark plug yang berkerak tidak mampu menjalankan fungsinya secara optimum sekali gus menjejaskan prestasi percikan api. Biasanya, tanda-tanda prestasi enjin merosot boleh dikenal pasti melalui tanda-tanda berikut:

  • Enjin mula meragam, prestasi enjin merosot;
  • Bunyi pelik di bahagian enjin;
  • Enjin kereta tersengguk-sengguk ketika memecut.

tanda enjin kereta perlu overhaul

Kos Overhaul Kereta

Proses overhaul melibatkan pelbagai proses yang kompleks dan kerja-kerja mekanikal. Ini kerana, setiap masalah yang dihadapi oleh enjin kereta memerlukan kaedah dan cara penyelesaian yang berbeza. Secara ringkasnya, harga overhaul kereta dikira berdasarkan servis yang dijalankan semasa proses overhaul enjin. Bagi kereta tempatan misalnya, harga top overhaul adalah pada sekitar RM800-RM3000 manakala kos bagi full overhaul boleh mencecah sehingga RM5000. Sekiranya banyak komponen enjin ditukar atau proses ini memakan masa yang lebih lama, kos overhaul enjin kereta juga mungkin akan menjadi lebih tinggi dan mahal.

Kerja-kerja overhaul enjin sememangnya memerlukan kos yang besar, dan memerlukan kemahiran dan pengetahuan yang betul bagi mengelakkan kos luar jangka lain yang perlu ditanggung. Semoga perkongsian ini membantu anda mengenal pasti tanda overhaul enjin kereta untuk mengelakkan kerosakan lain pada enjin yang lebih serius. Selain itu, sekiranya anda ingin beli insurans kereta untuk kereta anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans kereta terbaik di Malaysia yang menawarkan tawaran harga insurans terbaik dengan perkhidmatan yang mudah, cekap dan pantas.

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

3 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60