Ekzos Kereta: Tanda Ekzos Kereta Bocor, Kos Repair Ekzos

Kali terakhir diperbaharui Sep 7, 2022 oleh Hariz Hafiz
Ekzos Kereta: Tanda Ekzos Kereta Bocor, Kos Repair Ekzos

Ekzos kereta merupakan antara komponen kereta yang jarang diberi perhatian. Cuba tanya diri anda bila kali terakhir anda check atau servis kereta terutamanya ekzos kereta anda? Tahun lepas, dua tahun lepas atau anda sebenarnya tak pernah check langsung? Secara amnya, ekzos memainkan peranan penting dalam pastikan tahap pelepasan bahan kimia bahaya ke udara berada pada tahap yang selamat selari dengan standard yang ditetapkan oleh sesebuah negara. Oleh sebab itu, sekiranya aspek penjagaan sistem ekzos kereta diabaikan, ia berpotensi untuk mengalami kebocoran kerosakan.

5 Simptom Ekzos Kereta Bocor dan Bermasalah

Pengetahuan asas mengenai masalah ekzos kereta bocor boleh membantu mengurangkan risiko kerosakan kereta yang lebih serius yang mungkin boleh membahayakan nyawa dan keselamatan anda. Jika anda mengesan ada sesuatu yang tidak kena pada sistem ekzos kereta anda, segera bawa kereta anda ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut. Berikut merupakan antara tanda-tanda exzos kereta bocor untuk rujukan anda:

1. Prestasi Enjin, Pecutan Merosot

Kebocoran sistem ekzos secara tidak langsung boleh memberi kesan kepada prestasi enjin kereta. Anda mungkin mendapati pecutan enjin kereta anda semakin hambar, tidak cukup kuat dan pick up tidak seperti biasa apabila anda menekan pedal minyak. Secara teknikal, kereta anda akan terus kehilangan kuasa jika masalah ekzos bocor tidak dibaiki. Jika dahulu anda boleh potong Myvi dengan senang, kini nak potong Kancil pun takut tak lepas.

2. Ekzos Kereta Bunyi Kuat

Sekiranya anda mendapati ekzos kereta anda berbunyi kuat, ia merupakan salah satu tanda kerosakan ekzos kereta yang perlu diberi perhatian. Tahap kekuatan bunyi pula biasanya bergantung pada saiz kebocoran – ekzos kereta yang bocor akan menghasilkan bunyi berdesis atau hissing sama seperti bunyi gas bocor atau ketak-ketik (atau tapping) seperti bunyi hujan jatuh di atas atap rumah. Biasanya, bunyi ini menjadi lebih kuat semasa enjin kereta dalam keadaan sejuk atau semasa kenderaan sedang memecut.

3. Pedal Minyak Bergegar

Selain itu, sekiranya anda mengesan ada gegaran pada bahagian pedal minyak, ia mungkin menandakan ekzos kereta anda sedang bocor atau mengalami masalah lain yang berkaitan. Lazimnya, gegaran pada pedal minyak boleh berlaku meskipun hanya terdapat kebocoran kecil pada paip ekzos. Malah, gegaran ini berkadar langsung dengan saiz kebocoran – semakin besar saiz kebocoran ekzos, semakin teruk dan ketara gegaran yang dirasai. Jika situasi ini diabaikan, ia boleh bertambah buruk sehingga menjejaskan stereng kereta dan lantai kereta.

4. Kereta Kuat Makan Minyak

Minyak kereta yang diisi dengan kerap berbanding biasa juga menunjukkan salah satu tanda kebocoran ekzos kereta. Ini kerana, sistem ekzos memerlukan nisbah kandungan bahan api dan udara yang betul untuk mengekalkan tahap kecekapan bahan api. Sekiranya berlaku kebocoran, prestasi enjin akan terjejas kerana sistem kereta memerlukan kandungan bahan api yang lebih tinggi bagi mencapai tekanan yang betul untuk memberikan jumlah tenaga dan prestasi yang sama seperti kebiasaan.

5. Bau Kurang Menyenangkan 

Sistem ekzos kereta bocor juga boleh dikenal pasti melalui bau yang dihasilkan. Biasanya, gas yang memasuki ruang kabin kereta akan menghasilkan bau yang tidak menyenangkan. Sekiranya berlaku kebocoran di bahagian manifold, gas-gas yang dikeluarkan oleh enjin kereta seperti gas karbon dioksida (CO2) mengeluarkan bauan yang tidak menyenangkan berbeza dengan gas karbon monoksida (CO) yang tidak berwarna, tidak berbau dan tanpa rasa. Gas-gas ini boleh mendatangkan bahaya jika dihidu secara berterusan sepanjang pemanduan. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk sentiasa prihatin terhadap sebarang bunyi, gegaran atau bau persekitaran semasa memandu.

tanda ekzos kereta bocor

4 Warna Asap Ekzos Kereta dan Punca Kerosakan

Selain tanda ekzos kereta rosak seperti dinyatakan di atas, anda juga boleh kenal pasti simptom kerosakan pada kereta anda melalui warna asap ekzos kereta anda. Asap yang keluar dari paip ekzos boleh dikatakan salah satu petunjuk awal jika terdapat kerosakan pada mana-mana komponen kereta anda. Biasanya, terdapat 4 jenis warna asap kereta – warna asap kereta yang berbeza menunjukkan masalah berlainan yang mungkin ada pada kereta anda.

1. Kereta Keluar Asap Hitam

Bagi kereta enjin diesel, asap berwarna hitam merupakan situasi biasa. Namun begitu, sekiranya kereta anda yang menggunakan enjin petrol mengeluarkan asap hitam, ia menandakan ada masalah dalam enjin kereta yang perlu diberi perhatian. Asap hitam yang keluar daripada ekzos kereta biasanya berpunca daripada kekurangan udara dalam enjin kereta. Udara yang tidak mencukupi menyebabkan proses pembakaran dalam enjin berlaku dengan tidak sempurna – enjin kereta yang tidak mendapat udara yang mencukupi secara tidak langsung menyebabkan lebih banyak bahan api diperlukan untuk proses pembakaran.

Sekiranya anda berdepan situasi ini, periksa penapis udara kereta anda kerana besar kemungkinan komponen ini tersumbat. Selain itu, masalah ini juga kemungkinan berpunca daripada kerosakan pada karburator atau injektor bahan api. Langkah terbaik, bawa kereta anda ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut.

2. Asap Kereta Warna Biru

Biasanya, ekzos kereta akan mengeluarkan asap berwarna biru sekiranya berlaku masalah yang berkaitan dengan enjin kereta seperti kebocoran minyak hitam. Minyak hitam bocor biasanya berlaku apabila kedap injap (valve seal) rosak atau gelang piston (piston ring) haus – enjin kereta yang membakar minyak hitam akan menyebabkan asap berwarna biru. Selain itu, asap biru yang jelas kelihatan ketika memecut pula menandakan kerosakan gelang piston yang berpunca daripada kepala silinder. Untuk keselamatan anda, segera bawa kereta ke bengkel berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

3. Kereta Keluar Asap Putih

Asap putih yang keluar dari ekzos kereta adalah perkara biasa semasa start kereta di waktu pagi. Meskipun begitu, asap putih tebal yang keluar daripada paip ekzos semasa anda sedang memandu pula menandakan ada masalah serius pada kereta yang memerlukan perhatian segera daripada anda. Meskipun kedua-dua situasi ini seakan-akan sama, asap putih pada waktu pagi berlaku disebabkan oleh kehadiran wap air yang menyebabkan proses pemeluwapan berlaku, manakala asap putih tebal semasa memandu pula berlaku disebabkan oleh kebocoran minyak pelincir yang telah memasuki ruang pembakaran dalaman. Biasanya, asap putih tebal yang terhasil akibat kebocoran minyak pelincir menghasilkan bau tertentu.

Selain itu, asap kereta berwarna putih juga menunjukkan terdapat kerosakan pada gasket silinder atau piston yang sudah haus. Sekiranya anda berdepan situasi ini, segera hantar kereta anda untuk dibaiki untuk mengurangkan risiko kerosakan kereta dan mengelakkan anda menanggung kos kerosakan yang lebih tinggi.

4. Asap Kereta Warna Kelabu

Asap berwarna kelabu pula memberi petunjuk bahawa terdapat masalah tertentu pada komponen enjin – enjin membakar minyak gear daripada silinder atau disebabkan kerosakan pada gelang piston. Perhatikan tanda-tanda ini bagi membolehkan pembaikan dapat dilakukan dengan segera. Selain warna asap, sekiranya anda terhidu bau terbakar, ia menunjukkan terdapat masalah pada komponen pengecasan turbo kereta anda. Segera baiki kereta anda untuk mengelakkan kerosakan yang lebih serius daripada berlaku.

Servis Ekzos Kereta: Tips Penjagaan Ekzos

Kebanyakan pemilik kereta kurang menitikberatkan aspek penjagaan ekzos kereta. Oleh sebab itu, Qoala menyenaraikan tips penjagaan ekzos seperti berikut sebagai rujukan dan panduan anda:

  • Lakukan pemeriksaan ekzos sekurang-kurangnya setiap tiga bulan untuk membantu mengenal pasti sebarang kerosakan atau kebocoran pada bahagian ekzos;
  • Anda boleh lakukan pemeriksaan sendiri di rumah dengan menggunakan tangan untuk mengesan sama ada terdapat angin yang keluar daripada paip ekzos. Amalkan langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan tangan anda daripada terkena mana-mana bahagian ekzos yang panas;
  • Sekiranya anda mengesan sebarang kebocoran pada bahagian gasket penyambung blok enjin, anda disarankan untuk menggantikan komponen tersebut. Biasanya, gasket rosak disebabkan perubahan suhu panas dan sejuk – jangka hayat gasket kereta boleh bertahan selama lima hingga 20 tahun bergantung pada penggunaan;
  • Jika kebocoran kecil berlaku di bahagian lain, anda boleh mengimpal kebocoran tersebut. Namun begitu, anda disarankan untuk menukar keseluruhan sistem ekzos kebocoran terlalu besar untuk mengelakkan pembaziran bahan api. 

ekzos kereta bocor

Harga Ekzos Kereta: Kos Baiki Ekzos Bocor

Secara purata, kos repair ekzos kereta bocor biasanya kurang daripada RM50. Ini kerana, kebocoran ekzos akan dibaiki dengan menutup dan mencantum ekzos dengan welding sahaja. Namun begitu, sekiranya anda ingin tukar ekzos secara keseluruhan, ia mungkin menelan belanja yang lebih tinggi bergantung pada jenis ekzos dan model kenderaan anda.

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda mengenal pasti tanda-tanda kerosakan ekzos kereta. Anda disarankan untuk ambil langkah pencegahan dengan segera seperti menghantar kenderaan ke bengkel jika mendapati ekzos anda tidak berfungsi seperti kebiasaan. Selain itu, jika anda mempertimbangkan untuk mendapatkan insurans kereta untuk kereta anda, layari laman web Qoala, platform insurans terbaik di Malaysia untuk info lanjut.

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2022 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60