Betul ke tak lama lagi kita semua akan guna RFID di tol-tol? Korang pun mesti ada dengar laluan SmartTag dan Touch N Go akan dilupuskan tak lama lagi kan?
Haa, dalam artikel kali ini, Qoala akan menerangkan semua yang korang perlu tahu tentang RFID ini.
Pengumuman Kementerian Kerja Raya mengenai penggunaan RFID di semua lebuhraya di Pantai Barat Semenanjung Malaysia mulai Januari telah menimbulkan kekeliruan di kalangan netizen.
Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup telah menjelaskan peralihan kepada MLFF akan dibuat secara berperingkat.
Buat masa sekarang, laluan Touch n Go dan SmartTAG akan dikekalkan. Korang mesti perasan kan dekat tol-tol tertentu sekarang ni mesti ada satu atau dua laluan khas RFID.
Sekiranya, pengguna RFID bertambah, laluan RFID akan bertambah secara berperingkat. Ini bermakna laluan Touch n Go dan SmartTAG sedia ada akan berkurang dan seterusnya dilupuskan.
Namun, peralihan ini berkemungkinan besar akan mengambil masa dan selamat untuk dikatakan laluan Touch N Go dan Smart Tag akan dikekalkan buat masa sekarang.
Adakah RFID Touch N Go Memudahkan Pengguna Jalan Raya?
RFID menggunakan pelekat yang korang perlu pasangkan pada lampu depan atau cermin depan kenderaan.
Tidak seperti SmartTAG, ia tidak memerlukan bateri dan korang tak perlu beratur untuk memuatkan semula kad fizikal kerana ia dipautkan kepada Touch ‘n Go eWallet (TNG eWallet).
Tambah nilai juga lebih mudah sebab korang boleh melakukannya pada telefon pintar sahaja melalui kad kredit atau debit atau tambah nilai melalui online banking sahaja.
RFID ini merupakan singkatan untuk “Radio-Frequency Identification”. Teknologi ini membolehkan data digital dikodkan dalam tag RFID atau “smart label” ditangkap oleh pembaca melalui gelombang radio.
Kalau korang nak tahu, Tag RFID ni wujud di dalam pelbagai bentuk termasuk Kad Kredit dan Kad Debit korang.
Korang mesti pernah guna Paywave kan? Paywave ini merupakan salah satu contoh penggunaan RFID di Malaysia. Sentuh je kad pada scanner, data akan dibaca dari kad tersebut.
Penggunaan RFID di lebuh raya pula adalah untuk membayar tol. Potongan wang dilakukan secara automatik ketika kereta dengan RFID Tag melalui scanner.
Tujuan utama RFID Touch N Go ini adalah untuk memberikan kemudahan kepada pengguna. Bagaimana? Jom tengok 4 cara RFID memudahkan korang sebagai pengguna jalan raya:
- Dengan RFID, korang tak perlu bimbang bateri Smart Tag habis atau membuka tingkap untuk membayar tol
- Korang boleh tambah nilai secara online pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja melalui platform Touch N Go eWallet
- Penggunaannya lebih kurang seperti Smart Tag TAPI lebih murah dan mudah
- Korang boleh nikmati pengisian minyak tanpa tunai (cashless) dengan pembayaran automatik daripada Touch N Go eWallet. Aktifkan dan nikmati kemudahan pengisian segera di Stesen Shell terpilih.
Semua Yang Korang Perlu Tahu Tentang RFID Touch N Go
1. Sasaran Kerajaan Untuk Melaksanakan Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti Berbilang Laluan (MLFF)
Menjelang tahun 2026, Kerajaan Malaysia menyasarkan MLFF. Apa itu MLFF? Ia merupakan sistem yang membolehkan pemandu membayar tol tanpa berhenti.
Pelaksanakan RFID ini merupakan langkah pertama untuk mencapai sasaran ini. Buat masa sekarang, PLUS mempunyai lebih 20 lorong RFID di 9 plaza tol dan ia akan menyediakan sejumlah 159 lorong RFID di seluruh lebuhraya Utara-Selatan termasuk laluan Juru ke Skudai menjelang 15 Januari 2022.
Walaupun begitu, lorong RFID masih mempunyai kekurangan buat masa sekarang. Kalau korang nak menggunakan RFID, korang perlu memperlahankan kenderaan apabila menghampiri lorong tersebut.
Dalam masa terdekat ini, Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti Laluan Tunggal (SLFF) akan dilaksanakan, di mana palang untuk lorong RFID akan dialihkan.
2. Pelaksanaan Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik Di Semua Laluan
Sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) menggunakan kamera resolusi tinggi dan kecerdasan buatan (AI) untuk menangkap gambar kenderaan termasuk nombor pendaftaran dan dihubungkan kepada Pusat Validasi Tol (PVT).
Untuk pengetahuan korang, sistem RFID dan ANPR ini telah diaktifkan di laluan Hutan Kampung – Sungai Dua pada 31 Oktober 2021 yang lalu.
Tidak lama lagi, ia akan diluaskan dan digunakan kepada semua plaza tol di lebuhraya yang sama.
Sistem ANPR akan dipasang di semua laluan termasuk RFID, Touch N Go dan SmartTAG.
3. Masuk Tol Guna Touch n Go Atau SmartTag dan Keluar Tol Di Laluan RFID?
Seperti yang dinyatakan di atas, sistem ANPR akan dipasang di semua laluan masuk tak kira RFID, Touch N Go dan SmartTag.
Jadi, korang tak akan menghadapi masalah untuk menggunakan laluan Touch N Go atau SmartTag dan keluar menggunakan RFID.
Hal ini kerana ANPR mempunyai keupayaan untuk merakam titik masuk dengan tepat. Kadar tol yang tepat dan betul akan dikenakan, jadi korang tak perlu risau sebab korang tak akan dicaj lebih.
Pengguna RFID sahaja yang dibenarkan menggunakan kesemua laluan dengan sistem ANPR ini. Palang tak akan dibuka kalau korang tak ada RFID.
Pastikan juga baki korang mencukupi di dalam Touch N Go eWallet apabila menggunakan RFID. Ini akan membolehkan korang menikmati perjalanan yang lebih lancar.
Apa yang akan terjadi kalau baki tak mencukupi dan menyebabkan korang tersekat dekat tol? Korang boleh terus top-up melalui aplikasi Touch N Go eWallet dan baki akan terpapar dengan serta-merta.
4. Pelbagai Cara Pembayaran Untuk RFID
PLUS menyatakan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan Touch N Go untuk menambah lebih banyak cara pembayaran.
Lebih banyak cara pembayaran seperti kad debit dan kad kredit akan diperkenalkan. Seperti yang korang tahu, buat masa sekarang, RFID hanya dihubungkan dengan Touch N Go wallet sahaja.
Melalui sistem pembayaran terbuka RFID, korang akan dapat tambah nilai melalui lebih banyak cara pembayaran. Namun, masih lagi tiada tarikh ditetapkan untuk pelaksanaannya. Jadi, korang gunalah Touch N Go wallet dulu.
5. Masa Depan Touch N Go dan SmartTAG
Berapa lama lagi boleh guna Touch N Go dan SmartTAG?
Menurut Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup, peralihan kepada MLFF akan dilakukan secara berperingkat.
Lorong RFID akan ditambah dan menggantikan laluan Touch N Go dan SmartTag secara berperingkat apabila lebih ramai pengguna jalan raya bertukar kepada RFID.
Malaysia menyasarkan penggunaan RFID sebanyak 60% pada penghujung 2022.
Selepas itu, Kerajaan berancang untuk melupuskan Touch N Go dan SmartTag pada penghujung 2023. Perkara ini telah diperjelaskan oleh Kementerian Kerja Raya.
6. Jadi, Di Mana Nak Dapatkan RFID?
Bagi korang yang berminat nak mula pasang RFID, korang boleh dapatkannya secara online atau melalui platform Touch N Go eWallet.
Tag RFID Touch N Go dijual pada harga RM35.
Antara fakta menarik pada tag RFID ni, ia tak boleh dipindah milik jadi korang tak perlu risau kalau tag kena curi.
Selain itu, kalau korang ada beberapa kenderaan, korang boleh menghubungkan sehingga 10 RFID di dalam satu akaun TNG eWallet supaya ia mudah diuruskan dan ditambah nilai.
Kesimpulannya, pelaksanaan RFID ini boleh dikatakan sebagai satu inisiatif untuk lebih memudahkan urusan pengguna jalan raya untuk membayar tol.
Marilah sama-sama kita tengok bagaimana penerimaan RFID ini secara berperingkat. Korang pun bolehlah mula pertimbangkan untuk dapatkan tag RFID Touch N Go ini. Nampaknya RFID ini masa depan pembayaran tol.
Mahukan insurans kereta terbaik? Dapatkan di Qoala. Mudah dan pantas!